Parah ditikam pisau pemotong bawang


Lelaki parah ditikam dengan pisau pemotong bawang selepas penyewanya berang mangsa membuat bising dalam kejadian di Kampung Kolopis, di Penampang, semalam.

Dalam kejadian kira-kira 11 malam itu, mangsa berusia 43 tahun yang bekerja sebagai anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) parah di perut dan kini menerima rawatan di Hospital Queen Elizabeth (HQE).

Difahamkan, kejadian disedari oleh rakannya lalu menghantar mangsa ke HQE sebelum melaporkan kejadian itu kepada polis.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, siasatan lanjut mendapati punca pergaduhan itu dipercayai selepas suspek menegur mangsa yang membuat bising.

"Suspek yang tidak puas hati lalu menikam mangsa di bahagian perut sebelah kiri dipercayai menggunakan sebilah pisau pemotong bawang yang diambil di tempat kejadian.

"Akibat tikaman itu, mangsa parah dan berada dalam keadaan kritikal," katanya ketika dihubungi.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan dan risikan, suspek berusia 47 tahun yang juga penyewa rumah milik mangsa ditahan polis Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang, pada jam 3 pagi.

"Siasatan lanjut juga mendapati sebelum kejadian mangsa dan suspek bersama-sama meminum arak buatan sendiri atau tuak.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata," katanya.

Sumber: Harian Metro

'Bantulah kami supaya anak kami dapat meneruskan hidupnya'


Seorang ibu yang masih berada dalam pantang sanggup berulang-alik ke hospital setiap hari kerana tidak sanggup membiarkan bayinya yang berusia 27 hari menanggung derita masalah jantung, lapor Harian Metro. 

Ermal Ermiral Azhar, 29, yang masih lemah selepas melahirkan Nur Eliya Daruisha, pada 3 April lalu, tetap menguatkan semangat berulang dari kediaman ibunya di Perumahan Awam Seri Johor ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz. 

Suaminya, Muhammad Yusman Ab Rahman, 29, berkata, sejak Nur Eliya Daruisha dilahirkan, anak bongsunya itu hanya dalam Unit Rawatan Rapi Neonatal kerana terpaksa bergantung hidup sepenuhnya dengan mesin bantuan pernafasan.

“Bayi kami seberat 1.94 kilogram dilahirkan cukup bulan, namun dia mengalami masalah jantung berlubang dan saluran pernafasan sempit yang menyebabkan tumbesarannya tidak normal seperti bayi lain dan memerlukan mesin pernafasan untuk meneruskan hidup.

“Sejak lahir, badan bayi kami berselirat dengan wayar dan hanya minum susu badan isteri yang dimasukkan menerusi saluran daripada mulut ke perutnya,” katanya.



Menurut Muhammad Yusman, pakar menyarankan bayi mereka menjalani pembedahan segera bagi menyelamatkan nyawanya. Namun perlu menunggu berat bayi mencecah 2.5 kilogram. 

“Sebenarnya peluang anak kami tipis, namun jalan terbaik dengan melakukan pembedahan seberapa segera untuk menutup lubang jantung dan membesarkan saluran pernafasan sebaik beratnya mencukupi,” katanya.

Bagaimanapun, kos pembedahan itu dianggarkan RM150,000 adalah di luar kemampuannya yang bergaji RM1,350 sebulan sebagai mekanik bengkel. Mereka kini buntu dan berusaha mencari dana bagi membiayai kos pembedahan bayi mereka. 

“Pendapatan saya RM1,350 sebulan sebagai mekanik bengkel membaiki kenderaan hanya cukup untuk menyara kami empat beranak saja.

“Kami sudah berikhtiar meminta bantuan di Facebook, namun setakat hari ini hanya berjaya mengumpul RM4,600,” katanya.



Ermal Ermiral pula berharap dapat melihat bayinya hidup seperti anak orang lain dan memohon mana-mana pihak tampil membantu anaknya. 

“Saya harap rakyat Malaysia bantulah kami, tidak banyak sedikit pun memadai supaya anak kami dapat meneruskan hidupnya. Mohon doakan anak kami dapat diselamatkan,” katanya.

Orang ramai yang mahu membantu pasangan ini boleh berbuat demikian dengan menyumbang ke akaun Maybank 114384163269 atau BSN 1400341000030814 atas nama Ermal Ermiral.

Sumber: Harian Metro

(Video) Dendam mangsa buli


Seorang lelaki berusia 28 tahun ditahan pada petang Jumaat lalu selepas menyerang tujuh pelajar sehingga terkorban dan mencederakan 19 lagi pelajar yang lain dalam serangan menggunakan pisau, lapor Shanghaiist.

Dalam kejadian pada jam 6 petang Jumaat di sebuah sekolah menengah di Yulin, wilayah Shaanxi, suspek yang dikenali sebagai Zhao, telah menyerang 5 pelajar perempuan dan 2 pelajar lelaki yang pada ketika itu baru sahaja tamat sesi persekolahan. 

19 mangsa yang cedera dihantar dan dirawat di hospital. Namun keadaan mereka yang terkini tidak diketahui. 

Difahamkan, suspek terdahulu pernah bersekolah di sekolah tersebut dan menjadi mangsa buli rakan sekelasnya.

Ketika disoal siasat, suspek menjelaskan dia berbuat demikian kerana dirinya masih berdendam dengan bekas rakan sekelas yang pernah membulinya sedekad lalu. 

Gambar-gambar kejadian itu viral di media sosial China dan netizen melancarkan kempen derma darah untuk membantu mangsa-mangsa yang terlibat. Kempen itu mendapat sambutan ramai, termasuk dari golongan artis. 



'Salmonella enteritis boleh menyebabkan keguguran' - Pakar nasihatkan ibu hamil elak makan telur separuh masak


Jika berada di kedai mamak atau kedai-kedai makanan yang lain, kebiasaannya tidak sah kalau tidak mengambil pesanan telur separuh masak sebagai santapan.  Keenakan rasa telur separuh masak itu menepiskan segala makanan lain yang terhidang. 

Namun begitu, di sebalik keenakan rasa tersebut, tanpa kita sedari makanan tersebut perlu dielakkan oleh ibu-ibu hamil, kanak-kanak bawah lima tahun, orang-orang tua dan mereka yang mempunyai kekebalan sistem imunisasi yang tidak kuat. Kita juga seringkali didedahkan dengan kebaikan telur separuh masak ini yang dikaitkan dengan protein dan tenaga.

Pakar Perunding Obstetrik dan Ginekologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), Profesor Dr. Imelda Balchin menjelaskan dua sebab mengapa makanan tersebut perlu dielakkan oleh golongan-golongan ini. 

Berdasarkan penjelasannya yang dimuatnaik di dalam Facebook itu, dia juga menasihati agar sama-sama melindungi ibu hamil, anak-anak dan warga emas terutamanya sekali bila telur ayam mentah itu tidak disimpan di dalam peti sejuk.

RAMAI ibu yang hamil bertanya saya, kenapa saya nasihatkan mereka elakkan memakan telur mentah atau telur separuh masak. 

Hari ini saya nak bagi penjelasan kenapa ibu-ibu hamil, kanak-kanak bawah lima tahun, orang-orang tua dan mereka yang kekebalan immune system yang tidak kuat (penyakit HIV, diabetes yang tidak terkawal) tidak digalakkan memakan telur mentah atau telur separuh masak. Ada dua sebab mengapa makanan ini perlu dielakkan oleh golongan ini. 

PERTAMA, dari segi khasiat, telur yang dimasak sangat baik untuk kita, tapi telur yang mentah tidak boleh dihadam proteinnya dengan sepenuhnya. 

Bila kita makan telur masak, 90% protein boleh dihadam oleh usus manusia, tetapi bila kita makan telur mentah hanya 50% daripada protein telur mentah boleh dihadam. Dari segi khasiat, telur mentah itu tak elok untuk kita.

KEDUA, dari segi kuman penyakit, telur mentah ialah pembawa kuman bakteria salmonella. Bakteria ini didapati dari usus dan tahi ayam. Ia boleh masuk ke dalam telur semasa ayam bertelur dan sebelum kulit telur menjadi keras. Untuk mengelakkan pembiakan bakteria ini supaya tidak menjadi banyak, telur-telur mentah sepatutnya disimpan dalam peti sejuk, bukannya di atas rak kedai-kedai runcit. Bakteria Salmonela dihapuskan bila telur dimasak atau dipasteurkan. 

Orang dewasa yang kuat kekebalan imun mereka, boleh melawan bakteria ini, jika hanya sedikit sahaja bakteria Salmonela dimakan dengan telur mentah atau separuh mentah. Kebanyakan bakteria salmonella ini juga dihapuskan oleh acid di dalam perut. Hanya segelintir yang terlepas masuk ke dalam usus dan kemudiannya masuk ke dalam dinding usus. Di sini, bakteria yang mati akan melepaskan toksin di dalam dinding usus kita. 

Kita akan mulai rasa sakit dalam masa 6 hingga 72 jam selepas memakan telur yang mengandungi bakteria salmonella yang hidup. Toksin ini boleh menyebabkan keradangan dalam usus, sakit perut, demam, muntah-muntah dan cirit-birit selama 4 hingga 7 hari. Inilah penyakit Salmonela enteritis. 

Orang dewasa akan baik dengan sendiri tanpa rawatan sebab immune system kita akan melawan toxin. Antibiotik tidak mencepatkan kesembuhan penyakit ini sebab masalahnya ialah toksin yang dilepaskan. Sebab inilah doktor selalunya tidak memberi antibiotik untuk 'food poisoning'. Pesakit dinasihatkan minum air bersih banyak-banyak sehingga sembuh sendiri. 

Tetapi mereka yang immune system lebih lemah seperti ibu hamil (semua immune system wanita menjadi lemah semasa hamil untuk menghalang ibu melawan baka janin yang datangnya dari suami), salmonella enteritis boleh menjadi penyakit yang lebih teruk dan menyebabkan keguguran atau kematian janin. 

Jika ibu hamil mendapat salmonella enteritis, keguguran berlaku dalam 80% ibu hamil. Anak-anak kecil pula boleh mendapat sawan jika toksin sampai ke bahagian otak. Ini semua boleh dielakkan dengan memasak telur sebelum dimakan. 

Di negara barat, restoran tidak dibenarkan menjamu telur separuh masak, tapi kita di Malaysia santai saja order 'roti goyang', sebab memang sedap makan telur separuh masak. Undang-undang di negara kita tidak ketat seperti di negara barat, mungkin sebab kita belum lagi dapat Salmonela epidemic seperti di negara barat pada tahun 1970-1980-an di mana ramai kematian disebabkan Salmonela. Di Amerika masih lagi terdapat 30 kematian setahun disebabkan telur yang dicemari Salmonela. 

Jangan kata di Malaysia tak ada Salmonela. Di Malaysia, kajian ke atas ayam hidup menunjukkan yang 12 dalam 100 ayam membawa bakteria Salmonela. Kajian ke atas makanan mentah pula menunjukkan 39 dalam 100 sample daging ayam mentah mengandungi Salmonela dan 3 dalam 100 telur mengandungi kuman bakteria Salmonela. 

Kalau tak masak ayam betul-betul, boleh terjadi keracunan makanan yang teruk. Tidak ada restoran yang berani jamu ayam mentah, tidak ada siapa yang berani makan ayam separuh masak. Tetapi ramai suka makan telur separuh masak. Langkah berjaga-jaga jika hendak makan telur separuh masak ialah memastikan telur mentah itu di simpan dalam peti sejuk dan elakkan menjamu telur separuh masak kepada ibu hamil, kanak-kanak kecil dan orang tua-tua. 

Jadi dengan ilmu pengetahuan ini, kita mesti lebih bertanggungjawab untuk memberi nasihat yang baik supaya kita sama-sama melindungi ibu hamil, anak-anak dan warga emas kita, terutama sekali bila telur ayam mentah itu tidak disimpan di dalam peti sejuk. 







Prof Dr Imelda,
Pusat Perubatan Universiti Malaya,
Kuala Lumpur.