Campak anak dari jejantas


Kejam! Seorang lelaki didakwa cuba membunuh anak lelakinya dengan mencampak kanak-kanak itu dari atas jejantas, lapor Shanghaiist. 

Ahad lalu, lelaki itu yang dikenali sebagai Jiang, menaiki bas bersama anaknya berusia tujuh tahun dari rumah mereka di Chengdu ke bandar Chongqing. 

Apabila mereka tiba di destinasi, Jiang, 32, membawa anaknya naik ke jejantas di sebatang jalan yang sesak dan terus mencampak mangsa ke bawah. 

Mangsa yang terjatuh di tengah jalan kemudian dilanggar kereta yang sedang lalu lalang. 

Mangsa mengalami kecederaan parah dikejarkan ke hospital, namun doktor tidak sempat menyelamatkannya dan mangsa disahkan meninggal dunia. 

Jiang kemudian ditahan polis untuk siasatan lanjut. 



Menurut ahli keluarganya, semenjak Jiang berpisah dengan isterinya, dia berkelakuan aneh. Tetapi tidak dapat dipastikan apa yang mendorong Jiang untuk mengambil nyawa anaknya sendiri.

Harga petrol dan diesel kekal untuk minggu ke-7


Harga runcit bagi RON95, RON97 dan diesel dilaporkan kekal bagi tempoh 3 Mei hingga 9 Mei depan, lapor Harian Metro. 

Ia sekali gus menyaksikan harga runcit bagi tiga minyak berkenaan kekal untuk tujuh minggu berturut-turut semenjak 22 Mac lalu.

Berkuat kuasa jam 12.01 tengah malam ini, harga runcit RON95 dan RON97 masing-masing kekal pada harga RM2.20 dan RM2.47 seliter, manakala diesel RM2.18 seliter. 

Harga baharu itu diumumkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) melalui Twitter rasminya hari ini. 

Terdahulu dalam laporan sebuah portal berita tempatan menyiarkan kenyataan menteri bahawa, harga runcit bagi petrol dan diesel dikekalkan pada harga yang sama untuk sementara waktu bagi memudahkan rakyat untuk pulang mengundi pada 9 Mei depan. 

Bagaimanapun, laporan itu telah dipadamkan.

'Gila betul depa ni, ingat manusia ni macam ular ka nak bersalin kulit?'


Lumrah seorang wanita, sentiasa inginkan kecantikan lebih-lebih lagi ingin memberikan penampilan menarik di musim perayaan nanti. Oleh kerana itu, lambakan produk kosmetik sentiasa menghiasi media sosial untuk menarik perhatian golongan ini. Kata orang jika ingin tampil cantik biar berpada-pada jangan sampai merana. 

Seorang usahawan muda menjadi tular di media sosial ketika ini kerana menyediakan perkhidmatan suntikan pemutih kulit. Kebanyakan wanita berminat untuk mengambil perkhidmatan ini kerana inginkan kulit yang putih dan gebu tanpa memikirkan kesan pengambilannya. 

Dr. Rusyainie Ramli melalui status di Facebook berasa kesal dengan individu yang mengambil suntikan pemutihan ini. Beliau juga tidak mengerti mengapa ada yang sanggup mengambil suntikan ini tanpa memikirkan kesan di sebaliknya.

SUNTIKAN NAK CANTIK

Akak ni dah tak tahu macam mana nak bebel dengan nada sebaik malaikat bab yang memudaratkan macam suntikan Vitamin C ni. Akak tak sanggup tengok betapa ada makhluk yang mampu meraih pendapatan begini punya besar dek sebab adik-adik yang kemaruk nak rupa macam artis. Terkejut dot com bila akak tengok dia ada dekat 100,000 pengikut di FB. 

1. Suntikan Vitamin C DIHARAMKAN di negara kita. Doktor perubatan yang bertauliah dan berdaftar pun boleh ditarik lesen amalan kalau bagi suntikan Vitamin C. Tengok gambar tu, yang buat bisnes ni bukan pengamal perubatan pun. Kalau ini bukan kerja dajal, nak panggil apa?

2. Tak ada kajian klinikal yang menunjukkan suntikan Vitamin C boleh kasi kulit kita ni jadi elastik atau jadi putih melepak macam mayat. TAK ADA. Campur la Vitamin C dengan Glutathion atau Kolagen pun, tak ada bukti boleh jadi anti kedutan atau anti penuaan kulit. Akak serius tak faham. Yang adik-adik ni takut sangat jadi tua kenapa? Tu kan lumrah hidup. Cetek sangat definisi cantik adik-adik ni. 

3. Adik-adik cucuk Vitamin C tu tahu ke bahan tu selamat ke tak. Dahlah diseludup masuk ke negara kita. Sepatah haram pun kita tak faham apa tertulis kat vial suntikan tu. Ada kontaminasi ke tak. Berani mati punya kerja ni adik-adik.

4. Akak nak tambah lagi. Mana adik-adik tahu, sakan nak buat suntikan Vitamin C, elok masuk saja ubat, boleh gerenti ke tak kena alahan teruk? 

Ni keadaan kita panggil reaksi anafilaksis. Bermakna, dengan suntikan tu tadi, sistem immunisasi badan bertindak menghasilkan bahan-bahan kimia kompleks yang boleh buat tekanan darah turun mendadak dan saluran udara jadi sempit malah boleh tertutup terus. Habis tu macam mana nak bernafas? Bahagian badan seperti mata, mulut, lidah pun boleh bengkak dan kulit jadi merah seperti kena gegata. Ni memang kes kecemasan sebab nyawa menjadi taruhan. 

Bayangkan kes macam tu terjadi kat rumah, kat hotel atau kat mana-mana yang adik buat suntikan tu. Tak ada kemudahan perubatan. Ya Allah. Seram sejuk akak bila difikirkan.

5. Masa tengah buat prosedur cucuk tu, macam mana kalau ada gelembung udara yang tak dikeluarkan betul-betul dari aparatus tiub intravena? Gelembung udara akan masuk ikut saluran darah vena yang disuntik tu, elok lah kalau kena air embolism. Tulah sebenar-benarnya masuk angin ikut saluran darah dan ini kes cari nahas. Kena pergi hospital segera ok sebab bahaya sangat. 

6. Tu belum kira bab potensi jangkitan kuman yang boleh terjadi dari prosedur yang belum tentu ikut piawaian aseptik yang ditetapkan. Adik-adik, tukang cucuk ni main bedal saja sebenarnya. Sebab dia tidak pernah ada latihan formal pun kan. Kalau tengok cara dia letak plaster kat branula tu pun akak tahu dia tu ilmunya dalam perubatan kat tahap mana. 






Akak dah jalankan tanggungjawab akak bila akak dah laporkan pada KKM di emel aduanproduk@moh.gov.my. Dah lah tu adik-adik, insaf la. Jangan sengaja ditempa pintu malapetaka tu. Hina sangat kot berkulit gelap sampai sanggup ambil risiko. Tak terjangkau pemikiran tahap taksub adik-adik. 

Akak doktor yang semulajadi kulit cokelat gelap.

(Video) Pengasuh 'kerjakan' bayi berusia 1 tahun dan tuduh angkara budak lain


Seorang bayi lelaki berusia satu tahun cedera di bahagian muka akibat dianiaya pengasuhnya di sebuah pusat penjagaan kanak-kanak di Indiana, lapor Daily Mail. 

Mangsa, Jesse Harris IV, cedera di kedua belah mata, pipi dan mulutnya juga bengkak teruk sehingga terpaksa ditahan di hospital untuk diberikan rawatan. 

Dalam kejadian Isnin lalu, ibu mangsa, Tiffany Griffin, berkata, dia sendiri terkejut melihat keadaan wajah anaknya yang cedera teruk, 

Menurut Griffin, dia menghantar Jesse dan abangnya ke pusat penjagaan itu pada waktu pagi. Namun beberapa jam kemudian, dia dihubungi oleh pihak pusat berkenaan yang memintanya datang untuk melihat keadaan Jesse. 

Beberapa minit kemudian, Griffin tiba di pusat tersebut dan terdengar suara tangisan kanak-kanak. Salah seorang pengasuh berumur 22 tahun tampil memaklumkan Jesse cedera kerana dipukul oleh seorang kanak-kanak perempuan berusia dua tahun. 

Tidak puas hati dengan penjelasan dari pengasuh terbabit, Griffin terus menghadiahkan penumbuk kepada pengasuh itu. Namun menurut pemilik pusat jagaan, Haben Ghrebremichael berkata, terdapat kesan darah pada tangan kanak-kanak perempuan yang dituduh oleh pengasuh terbabit selepas mangsa didapati cedera. 




Griffin juga sempat membuat rakaman video secara langsung di Facebook yang menunjukkan keadaan anaknya yang agak teruk terutamanya di bahagian bibir. 

"Beginilah keadaan anak saya. Ada kesan darah pada kanak-kanak perempuan itu (yang dituduh) dan kejadian ini berlaku di pusat jagaan kanak-kanak.

"Saya cuba bertenang, tetapi saya tidak dapat menahan rasa sedih melihat keadaan anak saya yang berdarah ini," katanya yang menegaskan dia tidak percaya dengan dakwaan pengasuh itu kononnya Jesse dicederakan oleh kanak-kanak lain. 

"Tak mungkin, budak itu baru berusia dua tahun dan saiz badannya kecil, tambahan dia tidak kelihatan seperti ganas. Malah ibunya sendiri kata anaknya bukan jenis memukul anak orang. 

"Apabila dia melihat gambar keadaan anak saya, dia mula menangis. Dia berkata anak perempuan tidak akan melakukan perbuatan seperti itu.  


Kejadian itu membuatkan Griffin fobia dan tidak yakin mahu menghantar anaknya ke pusat asuhan lain kerana bimbang dengan keselamatan Jesse. 

Ekoran kejadian itu, polis telah menahan suspek berusia 22 tahun yang disyaki memukul mangsa. Pihak pusat penjagaan juga telah memecat suspek serta-merta. 

'Tak sangka suami seromantik ini' - Izreen terkejut dapat bunga dari Ude


Pelakon Izreen Azminda meluahkan rasa terkejutnya di Instagram yang dirinya terkejut apabila menerima sejambak bunga dari pemberian suaminya, Muhammad Radzi Abdul Wahid, petang tadi, lapor Harian Metro. 

Pelakon berusia 33 tahun itu berkata, dia tidak menyangka suaminya mempunyai sifat romantik seperti itu dan mengakui bahawa itu adalah kali pertama dia mendapat bunga daripada lelaki. 

"Allahuakbar, ingatkan ada penyangak depan rumah tekan loceng banyak kali. Tetapi kalau nak merompak, takkan tekan loceng pula kan? 

"Buka pintu terus nampak bunga. Tidak sangka pula orang itu (suami) seromantik ini. Berkurun saya tak pernah merasa dapat bunga. Selalu tengok dalam TV saja. 

"Kalau berlakon pun babak hero bagi bunga boleh kira dengan jari. Tidak menjangka hari ini betul pula (dapat bunga)," tulisnya pada kapsyen gambar sejambak bunga ros merah itu. 

Terharu dengan pemberian suaminya itu, Izreen mengucapkan terima kasih dan mengatakan dia akna mencintai Ude walau apa pun yang terjadi. 

"Apa pun, terima kasih suami dan saya cintakan awak walau apa pun terjadi. Terharu pula. Terima kasih, terima kasih, terima kasih," katanya.


Izreen dan Ude bernikah pada 8 Ogos lalu tanpa pengetahuan isteri pertama, Intan Liana Salleh. Ude kemudian telah berpisah dengan Intan atas alasan sudah tiada persefahaman. 

Semenjak berita perkahwinan Izreen dengan Ude tersebar, netizen tidak henti-henti menyerang Instagram Izreen dan Ude. Keadaan itu memaksa Izreen terpaksa menyahaktifkan akaun Instagramnya buat sementara waktu. Namun Izreen kembali lagi mengaktifkan Instagramnya tetapi ruangan komen ditutup sehingga ke hari ini.