Berang dengan orang sebelah, jiran bina tembok depan rumah


Penghuni di sebuah rumah di Desa Sudimoro, Kabupaten Jombang, Jawa Timur, terkurung gara-gara tembok yang dibina oleh jirannya sejak Februari 2018. 

Rumah tersebut didiami oleh pasangan suami isteri, Siti Khotijah, 35, dan Abdul Karim, 40, bersama dengan seorang anak mereka sejak tahun 2006. 

Difahamkan, tanah itu adalah tanah pemberian orang tua Siti dan dibina rumah untuk dijadikan tempat tinggal tetap selama bertahun-tahun tidak pernah mengalami sebarang masalah dengan jiran di sekeliling. 

Sehinggalah enam bulan lalu apabila Siti mencuci kenderaan miliknya di depan rumah. Air cucian mengalir masuk ke halaman rumah jirannya yang kemudian mencetuskan pertengkaran. 

Ekoran dari kejadian itu, jiran terbabit membina tembok setinggi satu meter dengan lebar enam meter di hadapan rumah Siti. 

Tembok yang dibina dengan batu bata merah, simen dan pasir itu berdiri tegak di hadapan pintu rumah Siti sehingga mengganggu jalan keluar masuk ke rumah. 

"Pada awalnya, saya tidak menyangka dia akan membina tembok di sini," katanya. 

Meskipun kesal dengan tindakan jirannya itu, Siti dan keluarganya terpaksa melalui ruang sempit itu setiap hari. 


Difahamkan, pihak berkuasa juga terpaksa campur tangan untuk menyelesaikan masalah dua pihak berkenaan, namun menemui kegagalan kerana jiran berkenaan mendakwa tanah yang diduduki Siti dan keluarganya itu adalah tanah miliknya. 

Kes itu menjadi berlarutan dan memaksa pihak berkuasa menyiasat dakwaan itu. 

Sementara itu, jiran berkenaan mendakwa dia membina tembok itu kerana berasa jengkel dengan sikap Siti yang juga kerap kali menyebut tanah itu adalah tanah milik orang tuanya. Padahal tanah itu adalah miliknya. 

"Awal-awal lagi dia terus cari pasal dengan saya. Saya berasa jengkel apabila dia sering kali mengata saya sebagai pencuri tanah. Bukan sebulan dua, tapi sampai tujuh bulan," katanya. 

Jirannya itu bagaimanapun tiada masalah untuk merobohkan semula tembok itu tetapi dengan beberapa syarat yang perlu dipatuhi oleh Siti sekeluarga. - Kompas.com

'Mastika, nantikan surat saman dari saya dan Skop Productions' - Syamsul Yusof


26 September lalu, Majalah Mastika telah mewujudkan bebenang di Twitter kisah benar mengenai watak yang dilakonkan oleh Nasir Bilal Khan dalam filem Munafik 2. 

Thread tersebut dikicau lebih 30 ribu kali dan mencetuskan pelbagai reaksi netizen kerana ia memetik kisah arwarh Abuya Ashaari Muhamad, pengasas Al-Arqam. 

Bagaimanapun, bebenang itu menimbulkan rasa kurang senang pengarah filem tersebut, Syamsul Yusof yang mendakwa bebenang itu adalah fitnah atau tuduhan yang tidak berasas. 

"Wow Mastika, suka-suka melemparkan fitnah/tuduhan pada filem saya. Nantikan surat saman dari saya dan Skop Productions ya? Jumpa di mahkamah," tweet balas Syamsul pada Mastika. 



Ada segelintir netizen tidak bersetuju dengan tindakan Syamsul, namun tampil seorang netizen menjelaskan Syamsul ada sebab dan hak untuk berbuat demikian atas beberapa perkara berikut.

"Poyo atau tidak, hakikatnya memang dia ada hak untuk saman sebab thread Mastika itu secara tidak langsung akan membuatkan Skop Productions terdedah kepada tindakan saman malu/fitnah dari keluarga Abuya. 

"Jangan main-main dalam menghasilkan karya seni yang inspired from real characters/event ini sebab apa-apa pun perlukan keizinan dari ahli waris. 

"Renyah dan payah sikit bab-bab keizinan ini, sebab itu siap-siap buat penafian kisah ini adalah rekaan semata-mata, tiada kaitan dengan yang masih hidup atau sudah mati untuk apa-apa cerita yang seperti itu. Bukan saja-saja letak penafian itu, ada tujuannya. Even untuk cerita yang berdasarkan kisah benar pun ada penafiannya sendiri sebab sesetengah kejadian atau watak pun akan diolah sikit-sikit tujuan dramatik agar tidak ada ummah yang acah-acah tahu segala mempertikaikannya kelak," kata Hzln di forum Cari. 

Sementara tu, Mastika dalam tweet balasnya pada Syamsul menjelaskan pihaknya ada ada memaklumkan di akhir bebenang bahawa itu cuma andaian sahaja. 

"Di akhir tweet, diletakkan tidak sama, ini cuma andaian. Perkara begini pun hendak disaman? Maafkan saya jika ini satu kesalahan. Tweet ini akan dipadamkan," kata Mastika.


Budak maut dicampak abangnya dari bumbung apartment


Seorang kanak-kanak berusia empat tahun maut selepas dicampak dari tingkap empat bangunan kediamannya di New York pada 29 September lalu. 

Menurut pihak berkuasa, suspek kejadian disyaki adalah abang kandungnya sendiri yang berusia 20 tahun. 

Pada jam 3.30 pagi, polis menemui mangsa, Shimron Smith, dalam keadaan tidak bernyata di belakang bangunan kediaman itu dan dilaporkan mati di lokasi kejadian. 

Ekoran kejadian itu, polis menahan abangnya, Shawn Smith, yang kemudian mengaku mencampak kanak-kanak lelaki itu dari bumbung bangunan tujuh tingkat itu. 

Ada beberapa jiran sebelum itu ternampak suspek naik dan turun dari atas bumbung selepas kejadian itu. Mereka juga terkejut dengan berita kematian mangsa.

Shawn pernah mengalami masalah kesihatan mental dan dirawat di hospital serta disahkan menghidap schizophrenia. Suspek kini didakwa atas tuduhan membunuh dan siasatan masih dijalankan. - Asia One

(Video) 'Kau nak kena pecat?!' - Maxis gantung pegawai maki dua kakitangannya


Sebuah video menunjukkan seorang wanita memaki hamun dua pekerja premis telekomunikasi termasuk ibu yang sarat mengandung menjadi tular di media sosial.

Video berdurasi seminit 37 saat itu menimbulkan kemarahan netizen kerana beranggapan perbuatan itu adalah keterlaluan.

Sehingga kini, rakaman tersebut sudah ditonton lebih 447,000 kali dan mendapat  lebih 4,700 perkongsian di Facebook.

Dalam video berkenaan, wanita yang dipercayai berpangkat lebih tinggi daripada dua wanita yang dimarahinya itu mengherdik pekerjanya kerana gagal menjalankan tugas seperti diarah.


"Kamu duduk di sini dan hantar 'SMS' sekarang! Tengok sini, kenapa kamu tidak boleh buat apabila saya suruh kamu lakukannya?

"Kamu (wanita hamil)! Apa yang kamu pandai buat?," kata wanita tersebut kepada pekerjanya.


Sementara itu, seorang pengguna Twitter @HaniffHussein berkata: "Pecat dia atau kami sebagai pelanggan Maxis akan bertukar kepada pembekal perkhidmatan lain!

"Ulang kicau jika anda akan lakukan perkara sama."

Dalam pada itu, Maxis melalui akaun Twitter rasmi telco tersebut berkata, kakitangan terbabit telah digantung tugas untuk suatu tempoh yang tidak diketahui.


"Baru-baru ini, sebuah video tentang insiden di tempat kerja telah menarik perhatian kami.

"Kami sesal dengan insiden tersebut yang kini dalam siasatan. Sementara itu, pekerja tersebut telah digantung tugas," menurut tweet tersebut pada Sabtu.

Tambah Maxis, insiden berkenaan tidak mewakili nilai-nilai yang dipegang syarikat telekomunikasi tersebut.

Nilai-nilai itu adalah bersemangat tinggi, positif dan persekitaran kerja yang harmoni untuk semua pekerja.

"Kami telah menghubungi pekerja yang terjejas dan meluahkan kekesalan terhadap insiden tersebut," jelas Maxis. - mStar Online

Pengasuh sumbat cili dalam mulut kanak-kanak sehingga mati, dipenjara 18 bulan


Tindakan kejam seorang pengasuh yang memasukkan cili ke dalam mulut seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun enam bulan sehingga menyebabkan kematiannya Jun lalu, dibalas dengan hukuman penjara 18 bulan oleh Mahkamah Tinggi Seremban di sini hari ini.

Hakim Datuk Abu Bakar Jais menjatuhkan hukuman tersebut selepas Asmarani Ghazali, 39, yang merupakan ibu kepada tiga anak mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 31(5)(b) Akta Kanak-kanak 2001.

Tertuduh didakwa meng­a­niaya Muhammad Afif Ka­marol Azli dengan cara memasukkan sebiji cili berwarna hijau ke dalam mulut mangsa sehingga menyebabkan kematian mangsa di sebuah rumah di Jalan TTJ 3/1B, Taman Tuanku Jaafar, Sungai Gadut di sini antara pukul 9.30 pagi dan pukul 10 pagi, 13 Jun lalu.

Pertuduhan pilihan terha­dapnya dikemukakan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin mengikut seksyen tersebut yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau ke­dua-duanya, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam, Datuk Hanif Hassan yang mewakili tertuduh memohon hukuman yang ringan atas alasan anak guamnya telah menjaga mangsa sejak berusia lima bulan dan sepanjang tempoh penjagaan sebelumnya, tiada masalah berlaku antara tertuduh, mangsa dan keluarga mangsa.

“Saya juga memohon hukuman ke atas tertuduh diringankan kerana ini merupakan kesalahan pertama dan tertuduh tiada sebarang rekod jenayah dan dia telah menyesal dengan apa yang berlaku serta berjanji tidak akan mengulangi sebarang kesalahan yang melanggar undang-undang,” kata Hanif.

Bagaimanapun, pihak pendakwa memohon mahkamah menjatuhkan hukuman penjara antara 10 tahun hingga 15 tahun terhadap Asmarani kerana menyifatkan kesalahan dilakukannya amat serius selain hukuman tersebut sebagai pengajaran kepada masyarakat yang ingin melakukan perbuatan sama. - Utusan Malaysia