'Nak sangat masuk syurga, usahalah sendiri!' - Anak alami depression akibat terlalu ditekan ibu bapa


Kehidupan setiap individu berbeza-beza. Ada kelebihan dan kekurangan masing-masing. Ada juga yang berasa sedih dan duka dengan kehidupan, tetapi ada yang lebih bahagia kehidupannya. Dan kita sebagai individu yang tidak ‘memakai saiz kasut yang sama,’ tidak perlu terus menunding jari dengan setiap perkara yang berlaku. 

Kebelakangan ini, kita seringkali mendengar isu-isu mengenai tekanan yang dihadapi oleh seseorang. Ada yang memperlekehkan isu ini sedangkan isu ini sangat perlu dititikberatkan dan memerlukan sokongan moral dari orang sekeliling. 

Seperti perkongsian wanita ini, selain daripada mendekatkan diri dengan agama, individu yang mengalami tekanan amat memerlukan kasih sayang dari orang sekelilingnya. Selain itu juga, wanita ini juga berpesan supaya individu yang mempunyai simptom-simptom depresi, segera berjumpa dengan doktor atau meluahkan pada orang yang terdekat.

SITUASI di kafe hospital:

"Dik, sebelah ni ada orang?"

"Takde kak, jemputlah duduk. Saya seorang je." 

"Akak pagi-pagi mesti kena kopi dulu. Kalau tidak, layu jer."

"Eh samalah kita kak, saya pun."

"Ada appointment ke kak?"

"Ya."

Kami pun borak-borak biasa, tanya itu ini. 

"Bagus dik, jaga Mak. Akak dulu pun jaga Mak akak. Akak anak tunggal. Hinggalah Mak takde.  Lepas tu Ayah pulak.  5 tahun lepas Mak meninggal, Ayah pun pergi. Cuma masa Ayah meninggal, Akak di luar negara, ikut suami kerja. Akak balik seorang, walaupun tak sempat nak tengok wajah akhir Ayah.  Dan itulah kali terakhir akak menangis."

Akak tu teruskan bercerita, muka memang sebak, tapi,  betul, takde air mata. 

"Akak ke sini, appointment klinik apa?"

"Psikitrik."

Terkedu saya. Pause. Tak tau nak cakap apa. Bimbang salah tanya, akak tu kecik hati. Mungkin akak tu faham perasaan saya, dia teruskan perbualan. 

"Ni lah sejak Ayah akak meninggal, 2007, sejak tu lah jadi depression. 

(Dah 13 tahun dia menderita depression). Akak tak boleh menangis. Setiap kali rasa sedih, sebak, perasaan tu tersekat ke tekak. Akak tak boleh nak luahkan dengan menangis."

"Bila macam tu, apa jadi kak?"

"Akak rasa emosi, nak marah. Bengang. Memang tak boleh tahan."

"Jadi, setiap kali sesi dengan Psikiatris, buat apa?" 

"Dia tahu nak tackle kita. Kita akan cerita dan dia tahu nak handle. Orang macam akak ni, tak boleh  orang setakat nak cakap sabar, sabar. Akak ni ada anak perempuan seorang. Buat masa ni, dia sibukkan diri dengan aktiviti sekolah anak dia. Kurang masa untuk dia sendirian. She is the reason for me to live and stay"

Senyum dia, begitu besar makna anak dia. Allahuakbar. Akak ni cerita juga tadi tentang anak buah kawan dia yang menghadapi depression. Remaja lelaki, umur sekitar 16-17. Anak ini seorang yang yang bijak, taat pada ibu ayah. Bersekolah di asrama sekolah sains tahfiz.

Anaknya pernah mengadu tak mampu nak bawak dua-dua aliran, tapi mak ayah terus-terusan  pujuk. Jadi anak ini kuatkan hati dan dapat keputusan PT3 yang cemerlang. 

"This is for you.” kata si anak ketika dia hulurkan result PT3. 

Kali ini anak sudah sedikit berani, kekal dengan keputusan untuk teruskan aliran sains sahaja di Tingkatan 4.  Tapi ayah terus memujuk, "Ayah naklah seorang anak ayah jadi tahfiz, boleh bawa kami masuk syurga"

Tak tau dari mana datang keberanian, si anak membentak, 

"Nak sangat masuk syurga, usahalah sendiri! Ibu Ayah bangun jam 6 pagi nak pegi kerja. Abang pukul 4 pagi dah kena bangun, siapkan diri. Pergilah Ibu Ayah cuba duduk di asrama tu sebulan, tengok, boleh tahan ke tidak!"

Terus dia nak ke bilik, dihempas pintu bilik. Si Ayah masih fikir positif.

"Tak apa, biarkan dia. Dia marah tu.  Nanti baiklah dia"

Si anak masih tak keluar bilik hingga keesokan pagi.  Bila emaknya check dalam bilik, jenuh ketuk, tak berbunyi. Mujur ada kunci spare.  Keadaan anak "mute". Duduk atas katil, merenung kosong dinding. Dihulur makanan, ya makan, tapi takde bunyi. 

Emak dan Ayah tak tau nak buat apa. Kebetulan adik emaknya tinggal berdekatan, dipanggilnya.  Bila makciknya datang, ditarik perlahan-lahan anak itu, dipeluk dan di baringkan diatas paha. Kemudian, ditepuk belakang anak itu perlahan-lahan dan dibisikkan, "It's ok, aunty ada. It's ok to cry."

Serta merta, si anak menangis sekuat-kuat  dan terhengut seakan bayi kecil. 

Alhamdullilah, cut story short, si anak kini tinggal bersama auntynya dan kini menjalani rawatan psikiatris. 

Sungguh, ini kali pertama saya berdepan dengan pesakit yang mengaku beliau ada masalah depression. (Yang disahkan doktor).

Secara zahirnya, beliau kelihatan sama macam kita semua, normal. Berbaju kurung, bertudung. Mukanya lembut dan ramah. Tiada yang pelik pada dirinya. Namun, itu luaran, rupanya dalamannya amat "sakit". Beliau menderita bertarung dengan "kesakitannya". 

Sebelum meninggalkan beliau saya peluk akak tu. Baru kenal, tapi saya yakin, ianya bukan kebetulan. Allah temukan saya dengan beliau untuk memberi pengajaran pada saya. 

Mari kawan-kawan, jika ada rasa gelisah, tak tenteram, ada yang tak kena, dapatkan rawatan.
  1. Jumpa psikiatrik, bukan bermakna awak gila. 
  2. Berjumpa dengan yang pakar  boleh membantu kita meneruskan kehidupan dengan lebih baik. 
  3. Pelukan terhadap insan yang kita sayang, suami/isteri, anak-anak, mak/ayah, adik beradik mampu menenangkan jiwa. Dapat memecahkan ego hati seorang manusia. 
  4. Perancangan kita tak selalunya terbaik. Kita rasa itulah plan kita yang harus dibentuk untuk anak², end of the day, Allah juga Maha Mengetahui. Dialah sebaik-baik perancang. 
  5. Sentiasa dekatkan diri dengan Allah. Al Quran itu penenang jiwa. Setiap kali buka Al Quran, doa dan katakan, Ya Allah, aku ingin bersahabat dengan AlQuran. Jadikan ia peneman hidupku. Mudahkan urusanku untuk membacanya siang dan malam. 

Maka, benarlah, kasih sayang itu perlu ditunjuk, bukan sekadar kata-kata. Depression, sesiapa pun  mudah menyebutnya, tak semudah orang yang menanggung. Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. 

Saya izinkan #SHARE, #Tag sahabat, ahli keluarga dan sesiapa saja,  kita tak tahu mungkin ada jiwa yang sedang sakit, tapi tidak kelihatan secara zahir. Mudahan perkongsian ini bermanfaat. 

'Saya minta dia bersabar, tapi hati dia sudah tawar' - Padah bergurau mahu poligami, isteri tuntut cerai dari suami


Apabila menyebut sahaja isu poligami, kebanyakan lelaki tersenyum simpul, manakala si isteri pula bermuram duka mengenangkan nasib jika bermadu. Hakikat sebenar rasa madu itu manis tetapi madu berpoligami sebaliknya. 

Seorang wanita yang juga merupakan seorang peguam berkongsikan kisah anak guamnya  yang mahu meminta cerai dari suaminya hanya kerana gurauan untuk berpoligami. Isu ini tampak mudah, tetapi bagi seorang isteri perkara ini meninggalkan kesan yang mendalam dalam jiwanya. 

POLIGAMI. Gurauan yang melukakan. Malam ini saya menangis. Emosi saya sebagai isteri tersentuh dengan luahan hati seorang anak guam. Seorang isteri mengadu kepada saya bahawa dia ingin meminta cerai dari suaminya kerana tidak tahan dengan suami yang suka bergurau mengenai poligami. 

Ya, nampak sebegitu remeh, namun saya yang juga seorang isteri, boleh memahami. walaupun ianya sekadar gurauan tapi jika sudah diulang bertahun-tahun, luka yang terguris itu boleh menjadi dalam dan meretakkan hati si isteri.

Saya minta dia bersabar dan cuba bertenang sebelum ambil tindakan terburu-buru. Namun hatinya tawar, bukan kerana si suami memang akan melakukan poligami, tapi kerana gurauan berulang kali itu menunjukkan suaminya tidak endah dengan perasaannya sebagai isteri. 

Isteri yang berkorban jiwa raga melahirkan dan membesarkan anak-anak, isteri yang berkorban wang ringgit untuk membantu belanja rumahtangga bagi meringankan beban suami, isteri yang mengutamakan keluarga suami lebih dari keluarganya sendiri demi mengharapkan redha si suami dan demi kasihnya kepada suami. 

Saya sebagai peguam syarie perlu profesional, walaupun saya sendiri sangat geram bila mendengar ceritanya, saya tidak boleh terhanyut dengan perasaan sebagai isteri dan mendorongnya supaya meneruskan dengan niat ingin bercerai. Kerana seorang peguam syarie perlu menasihati mengikut apa yang dibenarkan syarak. Dan syarak membenarkan poligami bagi yang layak.

Cuma pesanan saya kepada para suami, sekalipun anda layak berpoligami atau anda hanya bergurau, ketahuilah bahawa seorang isteri, sekalipun dia diam, atau sekalipun dia seorang yang faham agama dan menerima poligami sebagai amalan dibenarkan Islam, ianya bukanlah lesen untuk anda melukakan hatinya sebelum masanya. Kalau belum lagi layak berpoligami atau tak ada niat untuk berpoligami, buat apalah bergurau sebegitu. 

Apa tujuan anda sebenarnya? Adakah sebab nak prepare mental isteri awal-awal supaya bila berlaku nanti, dia takkan terkejut sangat?

Buat apa merosakkan kebahagiaan sedia ada dengan benda-benda yang belum pasti? Kalau memang dah jodoh anda akan beristeri lebih, tunggu sajalah bila Allah kata sudah sampai masanya. Tak perlulah menjejaskan perasaan isteri sebelum tiba masanya. Tak berbaloi langsung.

Saya katakan pada si isteri, tanyakan suami puan,

"Abang suka ke kalau ayah abang menduakan ibu abang? Suka ke kalau ipar abang menduakan adik beradik perempuan abang? Suka ke kalau anak perempuan kita nanti dimadukan?"

Walaupun ia dibenarkan islam. Saya hampir pasti jawapan si suami “Tidak suka”. 

Jadi kalau si suami boleh memahami perasaan perempuan yang sedarah-daging dalam keluarganya, kenapa susah nak memahami perasaan isteri sendiri? Kenapa perlu perasaan si isteri diremehkan dengan gurau senda yang menyakiti hati. Walaupun dibenarkan syarak untuk suami yang layak berpoligami, syarak tidak membenarkan suami menyakiti hati isterinya dengan sengaja. Walaupun si isteri tidak melawan hukum Allah berkenaan poligami, tapi mana-mana isteri tetap akan terluka dengan tindakan suami yang menduakan tanpa redhanya. 

Kalau isteri sendiri redha suami berpoligami dari awal, then takpe, tapi golongan sebegini memang sangat sukar dicari. Kebanyakan isteri hanyalah manusia biasa yang punyai perasaan. Seperti mana suami-suami tak boleh terima jika isteri berkahwin dengan lelaki lain selepas bercerai dengannya, begitu jugalah seorang isteri sukar menerima suaminya dikongsi dengan perempuan lain. 

Saya faham, namun saya terkilan kerana tidak dapat memenangkan si isteri kerana hakikatnya perceraian itu tidaklah sepatutnya atas alasan hanya disebabkan gurauan suami. Melainkan suami sudah berpoligami dan terbukti dia tidak adil. 

Semua ini pengajaran untuk seorang isteri juga. Bahawa cinta manusia itu sangatlah sementara. Jangan dikejar cinta suami kerana dia hanyalah manusia yang boleh berubah hatinya. Cinta yang layak kita utamakan hanyalah cinta Allah dan RasulNya. 

Tapi saya mohon para suami tetap sensitif dengan hati isteri anda. Isteri hanya manusia biasa. Simpanlah gurauan itu hanya bila nak eksyen dengan kawan-kawan sesama lelaki. 

Isteri biasa,
Ashikin Rahim
13-2-2020

'Nak tegur tapi takut makin teruk nanti' - Pihak Uni buat kem sampai langgar sensitiviti agama


Bagi memupuk semangat kepimpinan dan kerjasama para pelajar, pihak sekolah atau universiti akan mengadakan kem-kem tertentu yang kebiasaannya diadakan di luar kawasan sekolah. Kem-kem seperti ini kebiasaannya mencapai objektif yang ingin disampaikan.

Namun begitu di dalam merealisasikan objektif tersebut, ada perkara yang tidak dipandang serius.  

Melihat kepada situasi ini, remaja ini berpandangan kem-kem yang dijalankan kebanyakkan tidak menghiraukan sensitiviti agama apabila ada aktiviti yang dilakukan bercampur jantina dan tanpa batasan.

BISMILLAH. Tergerak hati untuk buat posting berkenaan ni. Maaf terlebih dahulu. Tidak berniat untuk menjatuhkan atau mengaibkan mana-mana pihak. Cuma rasa terpanggil untuk menyuarakan pendapat.

Rasa sedih sebenarnya tengok gambar-gambar ni. Saya tak nafikan, saya juga pernah join kem-kem seperti ni, saya juga pernah jadi peserta, saya juga pernah rasa marah semasa jadi peserta tapi saya tiada kekuatan, tiada kuasa untuk menghalang. Hanya ikut dan marah dalam hati. Tapi bila tidak ditegur, takut akan makin teruk nantinya. 



Mungkin ada di kalangan peserta yang rasa kekok dengan kem yang sebegini, mungkin ada juga yang rasa biasa bila bercampur laki perempuan macam ni. Mungkin juga ada yang rasa 'kami tak buat apa pun, makan satu dulang je', 'kami hanya nak berbonding ja nak bagi selesa bergerak kerja'.

Tuan-tuan, banyak cara lagi boleh kita buat untuk berbonding. Tujuan kem sebegini sebab nak bonding kan? Untuk timbulkan kefahaman dan keserasian dalam bergerak kerja kan? Tujuannya sangat baik, memang penting untuk dapatkan keserasian dalam bergerak kerja, tapi mungkin pelaksanaannya kurang baik. Boleh nak guna modul yang sedia ada tapi mungkin perlu diolah supaya nampak kita orang islam. Tiada masalah nak masak sekali lelaki perempuan, boleh nak beraktiviti lelaki perempuan, tapi jagalah batas-batasnya. Tak perlu la sampai bersentuhan.

Ya, saya juga tak nafikan, kita bukan universiti islam yang ditekankan berkenaan hukum agama islam. Kita universiti engineering yang sentiasa sempoi, santai setiap masa. Tapi tuan-tuan, jangan kita lupa, kita adalah orang islam. Majoritinya orang islam, pengurusannya orang islam, yang ada kuasa juga adalah beragama Islam. Jadi, tiada alasan kita tidak mampu untuk mengubahnya. Kita mampu sebenarnya.




Hormatilah sensitiviti agama kita. Saya bercakap bukan bermakna saya baik. Saya juga orang islam yang tak lepas dari buat kesalahan. Tapi, sebagai seorang muslim, kita kena amar makruf, nahi mungkar bukan?

Last but not least, tak salah nak berbonding, tak salah nak buat kem-kem bertujuan untuk bonding sebegini, tapi perlulah untuk dikaji semula pelaksanaannya supaya tidak melanggar sensitiviti agama kita. 

Di sini, saya bagi juga sedikit cadangan yang boleh dibuat untuk kem-kem sebegini:

1. Untuk aktiviti berkumpulan, pastikan jarak antara lelaki dan perempuan terjaga. Boleh buat lelaki di hadapan dan perempuan di belakang sebagai contohnya, tak perlu duduk bercampur, rapat-rapat.

2. Untuk aktiviti memasak, boleh buat pembahagian kerja. Lelaki jadi tukang masak, perempuan jadi pembawang (potong-potong bahan), tak perlu bercampur sekali, rapat-rapat. Tapi bukanlah bermakna tak boleh bercakap antara satu sama lain, boleh ja nak cari keserasian tu.

3. Untuk aktiviti yang melibatkan dua orang atau pasangan yang perlu kepada sentuhan atau jarak yang dekat, pastikan pasangan adalah sama jantina. Suka untuk saya ingatkan, Sajad tetap lelaki, Zee Matanawee tetap perempuan.

#sayasayanguniversitisaya
#bukannakaibkan
#sayajugabanyakbuatkesilapan

'6 bulan tak bayar sewa, jumlah kerosakan RM42K!' - Tuan rumah


Apabila kadar sewa dan deposit ditetapkan pada harga tinggi, ramai yang tertanya-tanya dan merungut. Tetapi tahukah anda apa sebabnya tuan rumah atau ejen hartanah berbuat demikian? 

Seperti yang berlaku pada seorang pemilik di Amerika Syarikat, rumah yang disewa kepada satu keluarga dalam tempoh enam bulan, musnah dan menyebabkan dia mengalami kerugian yang besar. 

ORANG selalu tertanya-tanya kenapa kadar sewa dan deposit rumah sewa yang dipinta terlalu tinggi atau kenapa ejen hartanah atau tuan rumah meminta latar belakang penyewa sebelum bersetuju memberi sewa kepada penyewa baru. Semua itu adalah bersebab dan ini adalah contoh jawapan bagi semua persoalan itu. 

Saya sewakan apartmen ini kepada satu keluarga dalam tempoh enam bulan, latar belakang mereka menepati syarat. Bayaran sewa pertama dan deposit dibayar, dari situ bermulanya mimpi ngeri. 

Apabila tempoh sewaan telah tamat, keluarga itu telah menyebabkan saya mengalami kerugian lebih dari $10,000 (RM42,000), selain itu sewa selama enam bulan juga tidak dibayar kira-kira $15,000 (RM63,000).

Malah, mereka mengurung haiwan peliharaan dalam bilik menyebabkan bilik itu berbau dan air kencing haiwan mereka bocor dan mendatangkan masalah kepada premis di bawah. 

Terdapat kesan najis haiwan atau manusia di setiap bilik. Dinding juga dipenuh dengan karya contengan kanak-kanak. Bau di dalam rumah begitu teruk sekali sehingga mengundang kehadiran lalat. Saya tak pasti sama ada kami dapat bersihkan semua kekotoran ini. 












Biasanya saya tak kongsikan benda-benda seperti ini, tetapi kali ini saya mahu orang ramai tahu apa yang dilalui oleh tuan rumah apabila mereka menyewa kediaman mereka kepada penyewa. 

Selama ini, penyewa kami baik-baik sahaja. Tetapi kali ini sungguh menjijikkan. 

'Korang maki, hina & ejek Tun, tapi korang buta yang Tun buat itu semua untuk rakyat'


Kemelut politik yang melanda negara sejak minggu lalu, sudahpun berakhir dengan perlantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri ke-8, yang menggantikan Tun Dr Mahathir yang meletak jawatan baru-baru ini. 

Dalam tempoh itu, terlalu banyak spekulasi yang timbul sehingga ada yang menuduh Tun Dr Mahathir terlalu gilakan kuasa dan tidak mahu menyerahkan jawatan itu kepada 'PM Tepi', Datuk Seri Anwar Ibrahim. 

Tetapi menurut seorang individu ini, apa yang dibuat oleh Tun Dr Mahathir itu adalah satu pengorbanan yang tidak dapat dijangkakan demi menyelamatkan negara dipimpin oleh pemimpin yang tidak berkelayakan.

INI hanya pendapat aku tentang Tun Dr Mahathir dan permainan dia dalam politik Pakatan Harapan (PH). Hanya tuhan, agong dan yang berkenaan sahaja tahu rancangan Tun macam mana. Yang berfikiran macam aku saja dapat faham, kita sama. 

Kenapa Tun tak nak lantik Anwar dan calonkan terus semasa perletakan jawatan Perdana Menteri (PM)? Padahal dia sudah berjanji pada Anwar untuk lantik dia menjadi PM ke-8? Dan kenapa Tun letak jawatan terus menghadap agong untuk agong tentukan sendiri PM ke-8? Di sini korang mesti dah pelik apa hint yang Tun nak beritahu pada rakyat? Apa yang dah berlaku. 

Part Tun letak jawatan, automatik semua terus hilang jawatan sekelip mata. Masing-masing terpinga, masing-masing paksa Tun jadi PM balik masa ini. Korang perasan? Betapa goyangnya diorang bila hilang kuasa.

Selepas peletakkan jawatan, dia ada buat pengumuman khas dan pemohonan maaf ketika sidang media berjalan dan cerita sebab-sebab tertentu kenapa dia letak. Korang cari balik video itu dan dengar betul-betul apa yang Tun sampaikan.

Dia sendiri kata tak dapat nak pilih dari orang-orang dalam PH dan seolah dia tidak percaya pada orang-orang dalam PH itu sendiri. Tun juga ada kata, dia dituduh gila kuasa dan tamak. Sekarang dia dah letak sendiri, itu ke dinamakan tamak? Game part ni ramai terlupa dengan kata-kata dia masa ni. Masing-masing fikirkan kuasa.

Part seterusnya. Dalam diam dan tak sedar, nama-nama yang diminta oleh agong untuk dicalonkan menjadi Perdana Menteri ke-8 semuanya tidak layak. Orang yang diam dan tenang yang dah awal-awal Tun rancang dengan agong itulah Tan Sri Muhyiddin Yassin (TSMY). Tun pun kenalah berlakon depan diorang nak sedapkan hati yang kena game dengan Tun sendiri. Biar tak nampak sangat Tun bersalah. 

Part last, tiba-tiba diorang umum lambat pasal kerusi paling banyak dekat agong. Sengaja Tun lambat-lambatkan. Memang dia tahu tak akan menang sekali pun kalau diumum awal-awal berapa kerusi dapat.

Selepas itu, diorang yang kena game ini paksa Tun menghadap agong semula, agong pula dah keluarkan kenyataan tak nak jumpa Tun dah. So dari sini diorang dah tak boleh buat apa lagi. Bak kata orang, 'Jalan Mati', dah tak boleh pusing dan tak boleh buat apa-apa.

Pandai kan Tun aturkan strategi permainan ini. Segala-galanya Tun dah rancang awal dengan orang-orang yang terlibat. 


Tetapi, ini hanya pendapat aku dan pemerhatian aku sahaja selama kemelut politik Tun dan PH sehingga terlantiknya PM ke-8 TSMY. Kalau korang tengok balik dari awal masa diorang perintah, apa jadi selama setahun setengah ini? Kes tolak jawi, hina agong, hina polis dan tentera, kes arwah Adib tidak selesai, LGBT berleluasa, kes LTTE digugurkan senang-senang oleh bekas peguam negara dan kes pemandu mabuk langgar orang sampai mati.

Apa diorang buat selama berkuasa? Diorang langsung tak pedulikan suara rakyat. Rakyat meronta-ronta meminta menteri yang bertanggungjawab mengambil tindakan. Tetapi sayang, mereka sibuk dengan jawatan dan kuasa masing-masing dan dalam masa yang sama tuduh dan menekan Tun supaya meletak jawatan. 

Dikatanya Tun gila kuasa. Bila Tun letak jawatan, semua melopong terngaga. Tapi yang paling kesiannya, ramai yang tak teliti dan faham apa yang Tun cuba tunjuk dan katanya selama terlantiknya PM ke-8, ramai kata dia U-Turn dan nyanyok. Tu bila otak paling lama dalam politik dua kali naik jadi PM, segala hal politik latar belakang orang-orang yang dia kenal semua dalam poket seluar dia. 

Aku tahu, Tun naik jadi PM ke-7 sebab nak memperbetulkan balik kesilapan dia yang dahulunya pernah dia buat. Dan sekarang dia dah cuba yang terbaik untuk satu padukan balik bangsa, agama dan hak bumiputera kepada rakyat sebelum dia pergi.

Tun, apa yang diorang cakap, janganlah kecil hati dan sedih. Saya anggap Tun dah berjaya kali ini dan tebus kesilapan Tun yang dulu. Terima kasih Tun M. 

Part Tun dah selesai, dia serahkan semua kuasa dan jawatannya kepada agong untuk diserahkan pada kerajaan dan PM baharu supaya dapat mentadbir negara, bela nasib bangsa, agama dan ambil peduli suara rakyat. Part ini korang kenalah bersatu padu. Kalau tak nak ditindas, jangan tamakkan kuasa dan leka.

Dua ayat yang Tun selalu cuit pada kita, "Melayu mudah lupa" dan "Melayu Pemalas", benda ini fakta. Tun sengaja bagi kita panas supaya kita berfikir dan rajin. Come on guys, kaji dan fikir dari awal setiap rentak dan apa yang Tun sampaikan itu. Hadam. Nanti korang akan faham. 

Tapi sayang, ada sesetengahnya gembira bila PM ke-8 TSMY naik. Korang bersorak bergembira tetapi dalam sorakan dan kemenangan itu korang selitkan dengan makian, hinaan dan ejekan terhadap Tun. Korang buta, Tun buat semua itu untuk kita semua. 

Pendapat kita berlainan. Ini atas pemerhatian yang aku nilaikan dan aku sedia dikecam. Tetapi yang penting, selepas ini kita bersatu untuk agama, bangsa dan negara. Kalau tak nak ditindas seperti negara luar. 

#RespectAgongKami
#RespectPM8
#TerimaKasihTun

Sumber: Amar Je