'Tangguhkan pembukaan prasekolah & tadika kerana banyak yang belum bersedia untuk beroperasi ikut SOP' - NUTP


Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Semenanjung Malaysia (NUTP) meminta agar kerajaan menangguhkan pembukaan prasekolah dan tadika yang dijadual bermula 1 Julai ini.

Presiden NUTP Aminudin Awang berkata pihaknya mendapati kebanyakan prasekolah dan tadika belum bersedia untuk beroperasi berikutan kekangan infrastruktur dalam memenuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Kemudahan dimiliki setiap prasekolah ini biasanya tidak sama, contohnya ada yang dua kelas, dan bila dilaksanakan jarak sosial, akan berlaku masalah seperti tidak mampu menampung jumlah murid, " katanya pada sidang media di Kuala Lumpur7 hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan untuk membenarkan prasekolah dan Taman Didikan Kanak-Kanak (Tadika) dibuka sepenuhnya bermula 1 Julai ini, tertakluk kepada SOP ditetapkan.

Sementara itu, Aminudin berkata NUTP mencadangkan beberapa kaedah bagi membantu guru menjalankan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dalam kebiasaan baru berikutan Covid-19.

Aminudin berkata kaedah yang dinamakan Model Pedagogi Penjarakan Sosial itu merupakan hasil penyelidikan pakar pendidikan dari Universiti Malaya dengan mengambil kira pandangan pelbagai pihak.

"Menerusi kaedah ini, guru perlu cerakinkan topik mata pelajaran mengikut kesesuaian dan kepentingan, sama ada akan diajar menerusi platform dalam talian, secara bersemuka ataupun menerusi sistem yang boleh diakses ketika pelajar mempunyai talian internet," katanya.

Aminudin berkata pembelajaran dalam kebiasaan baharu memerlukan gabungan kedua-dua kaedah pembelajaran dalam talian dan luar talian memandangkan kekangan akses internet di kawasan tertentu.

"Ada segelintir topik tetap memerlukan guru mengajar secara bersemuka, ada yang boleh diajar secara langsung seperti menerusi persidangan web yang memerlukan guru dan murid mempunyai akses internet serentak pada masa yang sama.

"Namun bagi mengatasi masalah akses internet ini, sistem pengurusan pembelajaran seperti Google Classroom dan Moodle ataupun YouTube boleh digunakan kerana ia boleh dirujuk pelajar pada bila-bila masa ada jaringan internet," katanya.

Menjelas lanjut, beliau berkata proses pembelajaran tanpa jaringan internet menggunakan bahan digital seperti CD-ROM atau flash drive yang telah dimuat turun dalam peranti juga perlu diguna pakai.

Tambah beliau, pemberian tugasan menerusi platform mesej WhatsApp, Telegram atau e-mel juga boleh menjadi kebiasaan baharu dalam berkomunikasi antara guru dan pelajar.

"Justeru, kami bersedia untuk menganjurkan bengkel dalam memberi latihan kepada guru-guru untuk praktik semua kaedah baharu ini bermula Julai ini," katanya.

Sumber: Bernama

'Saya tidak tahu apa kepentingan bermain aplikasi ini' - Pensyarah Kanan UPSI nasihat jauhi FaceApp


Pensyarah Kanan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Rozaimi Ramle meminta orang ramai berhenti dari terus menggunakan aplikasi menukar gambar bagi mengubah wajah jantina, Face App, yang semakin banyak digunakan oleh netizen di media sosial. 

"Saya melihat terdapat permainan menukar muka lelaki menjadi wanita. Ramai juga yang mencubanya lalu berkongsi di Facebook. 

"Bukankah terdapat larangan lelaki menyerupai wanita yang disebutkan di dalam hadis?

"Saya tidak tahu apa kepentingan bermain aplikasi ini. Kalau hanya sekadar suka-suka, ia bukanlah termasuk dalam keperluan yang mendesak," katanya. 

Dalam pada itu juga, beliau turut mempersoalkan sama ada aplikasi itu turut termasuk dalam larangan lelaki menyerupai wanita dan sebaliknya.

"Saya bukan mahu memberikan fatwa dalam isu ini, biarlah mufti mengkaji hukumnya kerana ia isu baru yang memerlukan kajian. Tetapi sikap seorang mukmin itu ialah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya. 

"Antara sifat baik iman seseorang adalah meninggalkan perkara yang tidak penting baginya. Seeloknya jauhkanlah diri dari perkara ini. Moga Allah pelihara kita semua," katanya. 


Sumber: MalaysiaKini

Kes berebut tapak, peniaga dibelasah & dibaling dengan durian


Polis kini sedang mengesan seorang lelaki bernama 'Joe' bersama empat lagi individu lain yang berkaitan dengan kes pergaduhan berhampiran Surau Al-Amin, Bandar Baru Bangi, semalam. 

Ketua Polis Daerah Kajang, ACP Mohd Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima laporan dari mangsa yang mendakwa telah diserang oleh sekumpulan lelaki ketika sedang berniaga buah-buahan di lokasi kejadian pada jam 6 petang. 

"Suspek dikatakan memukul serta membaling buah durian ke arah mangsa, selain merosakkan tapak perniagaan milik lelaki berkenaan. 

"Siasatan awal mendapati, punca kejadian kerana perebutan tapak perniagaan," katanya. 

Difahamkan, kejadian itu berlaku kira-kira jam 1 petang dan video kejadian itu turut viral di media sosial. Mangsa kemudian membuat laporan pada jam 6.11 petang.

Polis sedang giat mengesan lima suspek terbabit yang dianggarkan berusia 40-an hingga 50-an untuk membantu siasatan. 

Orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor K Suresh di talian 017-4333795 untuk membantu siasatan. 

'Silap juga tak dengar cakap bini suruh beli emas' - Tokey terkesan dengan PKP, 30 bentuk cincin perak tak dapat tolong semasa susah


Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, bukan sahaja rakyat Malaysia terkesan dengan situasi tersebut, malah satu dunia mengalami perkara yang sama. Peniaga, terutamanya antara golongan yang berasa terbeban dengan keadaan ini. 

Di dalam tempoh itu juga, tular beberapa video dan gambar orang ramai mula membanjiri kedai pajak gadai dan juga kedai emas. Rata-rata netizen berpendapat hanya itu cara mereka untuk meneruskan kelangsungan hidup sepanjang tempoh PKP. Situasi tersebut juga dapat mengaitkan emas merupakan satu pelaburan aset yang menguntungkan. Emas dikatakan tidak mengalami susut nilai berbanding aset lain.

Melihat emas sebagai satu aset yang menguntungkan, wanita ini juga berkongsikan satu kisah pengajaran yang diceritakan oleh seorang pengusaha kedai makan. Sepanjang tempoh PKP tersebut, pengusaha tersebut mengalami masalah kewangan. Namun, demikian dia terkilan kerana 30 bentuk cincin yang dimiliki berharga RM10,000 tidak dapat ditukar dengan wang ringgit.

SATU contoh situasi sebgai pengajaran untuk hari ni. Masa makan kedai tokey gulai kawah tadi tokey dia duk cerita pasal kewangan sepanjang PKP. Betul-betul terasa ujian. Katanya saving keluar untuk kos harian sepanjang PKP. Dia kata dia ada 30 bentuk cincin perak katanya kos dalam RM10,000.

Point kat sini, time terdesak cincin yang dia kumpul tak boleh tolong dia untuk ditukar pada wang. Bini dia cakap tu la suruh beli barang kemas, tak nak. Dia kata silap jugak dulu tak dengar cakap bini dia. Bisnes dia bukan calang-calang ye. Memang bisnes besar, kedai makan dia sentiasa penuh. Time saving susut, ada rumah tak boleh jual on the spot, ada tanah pun tak boleh jual on the spot.

Kalau ada emas,pergi mana-mana kedai pajak gadai, dapat wang. Tak nak, boleh pajak, boleh jual. Terus dapat wang.

Saya pun tunjukkan simpanan tabung khas saya buat pada tahun 2018 dengan 2019. Biar la apa saja benda orang nak pandang negatif. Ingat, time susah, sekurang-kurangnya kita tak cari orang lain dulu untuk bantuan. Kita cari barang kemas dulu. 




Saya tak kisah apa pun orang nak cakap, tak minat barang kemas ke, tak suka ke. Tu je nak bagitahu pengajaran untuk hari ini simpanlah emas walau tak suka sekalipun. Cuba dari 1 gram dulu.

'Dia kata ayah dah menang Toyota Vios...' - Lagi warga emas kena scam di parkir pasar raya Kelana Jaya


Kes jenayah dan kemalangan maut direkodkan menurun susulan Perintah Kawalan Pegerakan (PKP) yang dikuatkuasakan baru-baru ini. Memetik laporan Berita Harian pada Mac lalu, kes jenayah sahaja sudah menurun sehingga 67.8 peratus berbanding sebelumnya. Namun begitu, semenjak Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan diumumkan, kes jenayah dikatakan mula kembali aktif.

Seorang lelaki warga emas juga tidak terkecuali terkena dengan penipuan yang dilakukan oleh penjenayah (scammer). Berdasarkan status yang dimuat naik oleh anaknya di Twitter, bapanya dikatakan telah ditipu oleh seorang lelaki yang dikenali sebagai Desmond Lee di lot parkir sebuah pasar raya di Kelana Jaya.  

MENANG KERETA SCAM ( G***T, Kelana Jaya)

"My 76 year old father was scammed. He gave his credit card, ATM cards, he even gave away his pin number and driving license.

"Don’t  know what the fella said that my dad believed and gave all those away."


Tidak diketahui apa yang telah diperkatakan oleh lelaki tersebut, bapanya terus percaya dan memberikan segala apa yang diminta.

Menerusi komen netizen, mereka merasakan bapa kepada wanita ini telah dipukau oleh lelaki terbabit. Namun, kata wanita ini dia tidak merasakan bapanya dipukau, sebaliknya bapanya merupakan seorang yang terlalu mudah percayakan orang lain.

"Dia kata Ayah dah menang Toyota Vios lah, jadi pergi sampai Klang, dia kata nak fotostat IC Ayah, lesen kereta dan beberapa kad lagi. Dia ambik kad CIMB, kad kredit CIMB, Citibank Visa, lesen memandu, kad Maybank, telefon dia ambik" kata bapanya melalui rakaman video.

Pada mulanya, bapanya telah didekati lelaki berkenaan  dan mendakwa bapanya baru sahaja memenangi sebuah kereta lalu meminta untuk  mengikutinya ke Klang.

"This guy approached my dad at parking lot. And said my dad won a car, gave his business card, asked to follow him to Klang. The fella said nak pergi fotostat, then he didn’t come back. Dahla phone kena ambik. Kenapa my dad percaya?"

Wanita ini masih tidak percaya dengan apa yang berlaku ke atas bapanya.  Kesemua akaun bank milik bapanya telah disekat, tetapi penjenayah tersebut sempat mengeluarkan sejumlah wang dari akaun bapanya. Walaubagaimanpun, dia bersyukur bapanya selamat dan tidak diapa-apakan.

"Still in disbelief (and a bit angry) macam mana dia boleh percaya. All relevant accounts dah block tapi orang tu kerja laju, sempat keluarkan some. Will be making a police report. Please remind your elderly parents and anyone else to not end up as a victim. Thankful my dad was not harmed."

Kejadian seumpama ini dikatakan bukan sahaja berlaku pada bapa wanita terbabit. Rata-rata netizen turut berkongsikan kejadian yang sama menimpa mereka dan keluarga mereka di lokasi yang sama.

Sehubungan dengan itu juga, wanita ini menasihati kepada orang ramai di luar sana terutamanya pada warga emas, agar berhati-hati dengan kes penipuan seperti ini.

Sumber:  Sue Anna Joe