Peniaga tamak, jual durian harga ikut model kenderaan pelanggan

Gambar sekadar hiasan sahaja

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali mendedahkan, ada peniaga durian yang dipercayai menjual harga buah berkenaan dengan harga berbeza mengikut model kenderaan pelanggan. 

Faktor itu dipercayai menjadi sebab mengapa kebanyakan peniaga durian tidak meletakkan tanda harga pada produk jualan walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Selain itu, permintaan tinggi terhadap buah durian mendorong peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. 

"Sebagai contoh, harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah. Mereka sanggup berbuat demikian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda," katanya. 

Bagi mengelakkan perkara itu dari terus berlaku, KPDNHEP akan selalu melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian di tepi jalan di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh. 

Peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga akan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Setakat ini, empat peniaga durian telah dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga termasuk menggunakan alat tidak ditentusah. 

Sumber: Harian Metro

Tukang kebun sorok bawah katil, cabul pelajar asrama pada jam 3 pagi


Polis menahan seorang tukang kebun kerana disyaki menceroboh dan mencabul seorang pelajar perempuan tingkatan lima di sebuah asrama sekolah di Kemaman, semalam.

Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Hanyan Ramlan berkata lelaki berumur 32 tahun itu dikatakan memakai topeng muka dan bersembunyi di bawah katil, kira-kira 3 pagi.

"Dalam kejadian itu, suspek dikatakan keluar dari bawah katil secara tiba-tiba dan terus menghampiri tiga pelajar perempuan, lalu meminta telefon bimbit sambil meraba seorang daripadanya di bahagian paha.

"Suspek turut mengugut pelajar berkenaan supaya berdiam diri dan mengancam dengan menyatakan dia mempunyai pisau. Bagaimanapun, seorang daripada pelajar itu nekad menjerit meminta tolong dan melarikan diri," katanya dalam kenyataan di Chukai, hari ini.

Hanyan berkata suspek pada awalnya cuba mengejar pelajar itu namun akhirnya dia melarikan diri.

Kejadian itu hanya diketahui oleh warden apabila menerima aduan melalui aplikasi WhatsApp oleh seorang pelajar perempuan tingkatan lima, kira-kira 3.15 pagi.

"Hasil rondaan warden dan pengawal keselamatan mendapati pagar asrama dipotong dan pisau pemotong dijumpai di bawah katil pelajar yang dikatakan suspek bersembunyi," katanya.

Ketika kejadian, mangsa ternampak sebahagian muka suspek yang berambut pendek, fizikalnya berbadan gempal dan memakai sarung tangan dengan anggaran usia 30-an. 

Berdasarkan keterangan mangsa, polis kemudian menahan tukang kebuh sekolah yang berusia 32 tahun. Polis turut merampas sarung tangan kebun, topeng muka dan pakaian suspek serta telefon bimbitnya. 

Selepas disoal siasat, suspek akhirnya mengakui melakukan jenayah itu dan kes disiasat mengikut seksyen 448 Kanun Keseksaan serta seksyen 14 (A) Akta Seksual Kanak-Kanak 2017.

Budak 3 tahun mati tercekik buah rambutan


Seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun mati akibat tercekik buah rambutan pada 3 Julai lalu di kediamannya di Kampung Belakang Masjid, Bukit Selambau, Baling. 

Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, kejadian yang berlaku lebih kurang pada jam 5 petang itu, mangsa, Muhammad Hakim Amsyar Mohd Kasturi makan buah rambutan yang dikait oleh bapanya. 

Ketika kejadian itu, bapa mangsa bersama ahli keluarga lain yang sedang mengait buah rambutan di depan rumah datuk mereka. 

"Namun tiba-tiba mangsa berlari ke arah abangnya sambil menjerit serta memegang leher. Bapanya cuba menepuk belakang mangsa, tetapi tidak berhasil," katanya. 

Mangsa kemudian dibawa ke Klinik Kesihatan Kuala Ketil. Malangnya disahkan meninggal dunia semasa dalam perjalanan. 

Polis mengklasifikasikan kes itu sebagai kes mati mengejut. 

Sumber: Harian Metro

Enggan susahkan suami, model hanya minta selipar Jepun sebagai mas kahwin


Enggan menyusahkan suami dan keluarga, seorang wanita yang juga merupakan model hanya meminta sepasang selipar Jepun dan segelas air sebagai mas kahwin. 

Model bernama Helmi yang berusia 20 tahun, sah mendirikan rumah tangga dengan suaminya, Yudi Anggata, 24, minggu lalu. 

Kisah pasangan itu kemudian viral di media sosial dan mendapat banyak perhatian pelbagai pihak.

Dalam video tersebut, Yudi yang memakai kemeja putih dengan kain sarung berwarna merah, beberapa kali melafazkan akad nikah sebelum disahkan sebagai suami isteri. 

"Saya memilih selipar Jepun dan segelas air sebagai mas kahwin kerana tidak mahu membebankan suami dan keluarganya. 

"Tiada alasan lain dan saya minta selipar Jepun itu diletakkan di dalam bekas. Sekurang-kurangnya pemberian suami itu akan menjadi kenangan yang boleh diceritakan kepada anak kami nanti," katanya. 

Sumber: Kompas, Harian Metro

'Anak saya berusia 18 bulan berjaya reverse kereta, nasib baik tak berundur ke jalan utama'


Kanak-kanak yang masih kecil seringkali akan mengikut segala perbuatan atau tingkah laku kedua ibu bapa mereka. Ketika itu juga lah kanak-kanak ini mudah dilentur sikap mereka. Tetapi, sebagai ibu bapa kita perlu sentiasa mengawasi pergerakan anak-anak agar kejadian buruk tidak berlaku.

Dikongsi kepada umum sebagai pengajaran, wanita ini berkongsikan kisah anaknya yang berusia setahun enam bulan telah berjaya mengundurkan kereta yang diparkir wanita ini di dalam garaj. Dentuman yang kuat mengejutkannya lantas mendapatkan anaknya yang duduk di tempat memandu sambil memegang stereng.

TOLONG jangan kecam. Cerita ni adalah untuk iktibar semua. Manusia hanya hanya boleh merancang dan kita selalu melakukan kesilapan. Kadang-kadang Allah memang akan beri kita peringatan dengan ujian ujian yang akan menjentik hati kita. Supaya kita sedar akan kesilapan kita.

Hari ni anak saya yang baru je berusia 1 tahun 6 bulan telah berjaya reverse kereta yang saya parking dalam garaj.

Saya nak keluar rumah dengan anak-anak. Selepas masukkan anak-anak dalam kereta, saya hidupkan enjin kereta dan buka aircond. Sementara saya masuk ke dalam rumah sebentar untuk ambil beg dan kunci pintu rumah.

Silap saya adalah, saya tak terus letak anak di carseat sebab saya plan untuk letak bila dah nak gerak. Tiba-tiba bunyi dentuman kuat datang dari luar rumah. Hampir gugur jantung mendengar bunyi tersebut. Sepantas kilat saya berlari keluar dan dapati kereta telah berundur dan bonet kereta melekat di pintu pagar.


Allahuakhbar. Habis semua roti jala, beg dan kunci rumah saya campak ke lantai. Saya terus buka pintu kereta. Dan saya dapati anak saya yang kecil ni sedang duduk di tempat duduk pemandu sambil bermain stereng kereta.

Ya Allah. Saya terus peluk anak sebab Allah masih jaga mereka. Kerana pintu pagar yang masih tertutup inilah kereta tidak berundur sampai ke jalan utama yang sibuk dengan kenderaan yang lalu lalang.

Saya silap sebab saya sangka anak saya kecil lagi dan tidak pandai untuk menggerakkan gear kereta. Tapi anak anak yang kecil inilah yang akan memerhati dan tiru apa sahaja yang kita buat. Anak saya dah mula pandai tiru saya cara membawa kereta.




So nasihat saya kepada ibu atau ayah yang ada anak anak kecil seperti saya:
  1. Jika ingin tinggalkan anak kecil khususnya di bawah 3 atau 4 tahun sebentar di dalam kereta, pastikan mereka duduk menetap di kerusi mereka atau car seat.
  2. Pastikan ada anak-anak yang lebih besar menjaga mereka di dalam kereta.
  3. Kenal pasti kebolehan anak dan perkara perkara yang mungkin anak kecil kita boleh lakukan dan boleh membahayakan keselamatan mereka.
  4. Sentiasa ajar anak yang lebih besar untuk kunci pintu daripada dalam.
  5. Kenal pasti segala macam keadaan yang mungkin berlaku apabila kita tinggalkan anak-anak walaupun sebentar.
Ini adalah sekiranya ibu atau ayah terpaksa keluar bersama anak anak dan tinggalkan mereka sebentar di dalam kereta. Jika boleh dielakkan itu lebih baik.

Sumber: Faiza Tuban