'Dah tu, kamu hasilkan kandungan kreatif' - Ellie Suriati gesa KKMM kenakan lesen terhadap owner channel YouTube

Jumaat lalu (7 Ogos 2020), Ellie Suriati Omar mencadangkan Akta Perbadanan Kemajuan Nasional Malaysia (FINAS) 1981 ditambahbaik selaras dengan perkembangan teknologi hari ini. 

Ellie berkata, akta itu perlu dirombak bagi melindungi hak dan kepentingan masa depan industri perfileman tanah air. 

Antaranya, mengenakan lesen untuk pemilik saluran YouTube yang banyak menjana pendapatan lumayan daripada platform tersebut. 

"Sebagai pemain industri, kami nak utarakan pendapat sebab ini platform anak seni sebelum sebarang penambahbaikan dilaksana kerajaan. 

"Kami mahu akta baru yang lebih kukuh dan boleh membawa kebaikan menyeluruh kepada pelakon, penerbit, royalti dan muzik. 

"Antara penambahbaikan itu, menteri (KKMM) diseru melaksanakan lesen pengguna YouTube kerana mereka berjaya dengan kandungan kreatif disiarkan," katanya. 

Bagi Ellie, jika cadangan itu tidak dilaksanakan, akan ada dalam kalangan pemilik saluran YouTube mengambil kesempatan mengaut keuntungan peribadi. Sebagai contoh, mereka boleh menggunakan wajahnya yang sedang berucap pada suatu perhimpunan tanpa mendapat kebenaran dan dimuat naik di saluran tertentu. 

Sedar bahawa cadangan itu akan mendapat banyak kritikan, Ellie menegaskan dia tidak kisah kerana sudah tidak tahan melihat penggiat seni sering menjadi mangsa keadaan. 

"Sekiranya mereka ingin mengecam saya, silakan. Kami ada alasan tersendiri kenapa menggesa kerajaan untuk melaksanakan lesen tersebut. 

"Kenapa tidak kamu (pemilik saluran YouTube) membayar lesen? Tak suka saya cakap macam tu? Dah tu, kamu hasilkan kandungan kreatif," katanya. 

Bagaimanapun, Ellie menjelaskan saranannya itu bukan untuk dikuatkuasakan ke atas pengguna Facebook mahupun TikTok. 

Dalam pada itu juga, Ellie juga berharap Seksyen 233 dan 221 Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1998 dipinda. Ini kerana Ellie kesal ada pemilik saluran YouTube yang menggunakan platform itu untuk mengkritik filem tempat sehingga menjejaskan jumlah kutipan tayangan. 

"Ia mengakibatkan kerugian besar kepada penerbit, pengarah dan juga kru produksi kerana tiada orang mahu menonton filem kami selepas ia digelar produk sampah. 

"Industri kita bukan macam Hollywood, 10 peratus saja penggiat filem yang kaya dan selebihnya kategori B40," katanya. 

Sumber: MalaysiaKini

'Menyorok dalam hotel ke tu?' - Si polan ditahan reman 4 hari

Padah memukul penghantar makanan, suspek dalam video viral di media sosial beberapa hari lalu telah ditahan reman selama empat hari untuk disoal siasat. 

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd Samad berkata, suspek berusia 33 tahun itu merupakan pelajar di sebuah kolej swasta. 

Suspek ditahan pada jam 7.22 malam Jumaat (7 Ogos 2020) di sebuah hotel di Bukit Mertajam. 

"Polis sudah mendapat perintah reman selama empat hari bermula hari ini (Sabtu) bagi membantu siasatan kes terbabit. Kami masih menjalankan siasatan lanjut termasuk punca suspek bertindak sedemikian," katanya memetik laporan dari Bernama. 

Selain itu, polis juga akan mengambil keterangan dari mangsa dan pemilik rumah inap desa yang disewa oleh suspek. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kecederaan dan 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

'Dia minum air milo tu sebab dia sentiasa beringat kerja keras untuk adik dia, tapi adik dia dah takde...'


Kebelakangan ini, isu Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) tular diperkatakan sehingga menimbulkan rasa marah dalam kalangan rakyat Malaysia. Umum mengetahui, layanan yang diberikan kepada mereka tidak seperti yang diceritakan kepada stesen televisyen tersebut. Kesan daripada itu juga, warga asing mula dikecam sehingga netizen meminta mereka pulang ke negara asal mereka.

Tetapi, tidak semua warga asing itu bersikap demikian, ada yang berasa bersyukur diterima masuk ke negara kita dan bekerja keras demi menyara hidup keluarga mereka. 

Seperti yang diceritakan oleh pemuda ini, salah seorang pekerjanya warganegara Myanmar datang ke Malaysia bekerja keras dan ingatannya sentiasa pada adik dan ibunya. Tetapi apa yang menyedihkan kedua-dua insan yang disayangi itu sudah tiada.

DEKAT kilang aku ada sorang pekerja asing dari Myanmar. Aku selalu tengok dia time rehat dengan sebungkus air milo je. Tapi dia tak tertarik untuk makan makanan yang lain atau air lain.

Then aku sapa lah dia, aku tanya "suka air milo ke?" Then dia jawab saya suka bang, sedap. Tapi dalam nada percakapan pelat-pelat sikitlah. Pastu aku suggestlah dekat dia suruh beli milo tin dengan susu boleh buat dekat rumah. Dia angguk je.

Lepas tu datang kawan dia cakap dengan dia dalam bahasa dorang. Lepas tu yang suka milo tu pun macam happy semacam. Aku tanya yang kawan dia tu. You cakap apa dengan dia. Pastu dia jawab, "Saya cakap abang ambil berat dengan workers lain, kitorg suka abang kerja sini.”

Then aku cakaplah sama-sama manusia. Tak boleh ada beza-beza layanan. Lepas tu yang kawan dia tu cerita yang suka air milo tu tak tau membaca sangat dan tak tau cakap sangat. Lepas tu aku tanya kenapa dia suka sangat minum air milo. Aku jadi tertanya- tanya sebab yela setiap hari dia minum milo.

Then kawan dia tu cerita yang sebenarnya dia dari keluarga yang betul-betul susah. Dekat kampung dia, ada seorang adik OKU dan mak dia. Ayah dah takde. Adik dia yang OKU tu suka sangat air coklat. Masa ni aku dh pelik, apa kena mengena adik dia yang suka, kenapa dia yang minum pulak kan.

Then kawan dia bagitau, ada satu hari adik dia yang OKU tu main-main dekat luar rumah lepas tu secara tak sedar adik dia tu dah berjalan sampai dekat kedai makan. Then dia nampak air coklat atas meja tapi takde orang. Adik dia tu pun minumlah sampai habis.

Datang tuan air tu, marahlah sebab air dia habis. Sekali tuan air tu pukul adik dia sampai pengsan. Tak silap aku dia kata sebab tuan air tu terlempang tepat dekat rahang. Lepastu orang-orang semua angkat pi kedai. Nak bangunkan dia dan akhirnya si adik dia tu mati dekat kedai.

Abang dia baliklah bawak sekotak air coklat untuk adik dia tapi adik dia dah takde. Orang yang lempang tu hilang tah ke mana dia kata. Tak dapat dikesan. Seminggu lepas adik dia mati, mak dia pulak mati sebab takde selera makan sebab rindukan adik tu.

Dia pun hidup sebatang kara sampailah dia dapat datang Malaysia. Dia minum air milo tu sebab dia nak sentiasa beringat untuk kerja keras untuk adik dia  Tapi sebenarnya adik dia dah takde dan dia takleh terima adik dengan mak dia mati.

Tapi kawan dia cakap, dia sedar je yang adik dengan mak dia mati. Cuma dia tak mampu nak lepaskan kenangan tu semua. Dia takde smartphone, dia cuma ada gambar adik dengan mak dia masa zaman kodak tu je.

Aku tak tau apa yang Allah dah uji dia tapi warga asing macam ni still cuba survive seorang walaupun ada kawan-kawan tapi bila semua call family. Dia just duduk, baring-baring dan layan air milo. Tak pun tengok gambar family dia tu.

Korang ingatlah, sesuatu yang kecil pada kita mungkin besar makna dia pada orang lain. Hargailah apa je yang ada dengan kita sekarang. Sampai satu masa, Allah akan ambik semula.

Sumber: Aimstenholme

420,000 pengguna terjejas, gangguan bekalan air di Petaling, Klang, Gombak, KL & Kuala Langat


Sebanyak 420,000 akaun pengguna di 290 kawasan di Petaling, Klang, Gombak, Kuala Lumpur dan Kuala Langat akan mengalami gangguan bekalan air berjadual dari 14 hingga 17 Julai ini.

Ketua Operasi Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) Abas Abdullah berkata, gangguan itu berikutan kerja penambahbaikan Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 3.

Kerja itu merangkumi penggantian beberapa rangkaian injap utama untuk meningkatkan kecekapan sistem dan membolehkan LRA beroperasi dengan lebih baik.

"Tempoh masa gangguan dan pemulihan bekalan air juga berbeza mengikut kawasan, lokasi geografi dan tahap ketinggian premis pelanggan.

"Pemulihan bekalan air ke kawasan terbabit akan bermula pada 15 Julai (9 pagi) dan kita juga membuat anggaran bahawa 48 peratus daripada semua kawasan yang terjejas akan mendapat bekalan air sebelum 16 Julai (9 pagi)," katanya dalam sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.

Menurutnya, sebanyak 80 peratus kawasan yang terbabit akan pulih pada 9 pagi, 17 Julai.

Pemulihan bekalan air sepenuhnya dijangka pada hari yang sama pada jam 5 petang.

Abas berkata, Air Selangor juga akan menggerakkan 91 lori tangki air ke kawasan terjejas dengan mengutamakan premis kritikal seperti hospital dan pusat dialisis.

"Kita juga akan membuka lapan pusat khidmat setempat (PKS) dan menyediakan enam pili air awam pada 16 dan 17 Julai untuk membantu pelanggan yang terjejas," katanya.

Senarai lengkap kawasan terjejas dan waktu pemulihan bekalan air, lokasi PKS, pili air awam dan stesen pengisian air setempat boleh dirujuk di laman sesawang Air Selangor atau aplikasi telefon pintar yang boleh dimuat turun daripada Google Play Store dan Apple App Store.

Sumber: Bernama

Peniaga tamak, jual durian harga ikut model kenderaan pelanggan

Gambar sekadar hiasan sahaja

Ketua Pegawai Penguat Kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Pahang, Ahmad Fitri Ali mendedahkan, ada peniaga durian yang dipercayai menjual harga buah berkenaan dengan harga berbeza mengikut model kenderaan pelanggan. 

Faktor itu dipercayai menjadi sebab mengapa kebanyakan peniaga durian tidak meletakkan tanda harga pada produk jualan walaupun mereka tahu bahawa perbuatan itu adalah salah dan boleh dikenakan tindakan undang-undang. 

Selain itu, permintaan tinggi terhadap buah durian mendorong peniaga mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan. 

"Sebagai contoh, harga durian naik dua hingga tiga kali ganda apabila pelanggan yang singgah menggunakan kenderaan mewah. Mereka sanggup berbuat demikian bagi mengaut keuntungan berlipat ganda," katanya. 

Bagi mengelakkan perkara itu dari terus berlaku, KPDNHEP akan selalu melakukan pemeriksaan terhadap semua pusat jualan durian di tepi jalan di Kuantan, Jerantut, Bentong, Lipis, Raub dan Temerloh. 

Peniaga yang didapati gagal mempamerkan tanda harga akan kompaun RM1,000 mengikut Perintah 3(1) Perintah Kawalan Harga (Penandaan Harga Oleh Penjual Runcit) 1993.

Setakat ini, empat peniaga durian telah dikenakan kompaun kerana gagal mempamerkan tanda harga termasuk menggunakan alat tidak ditentusah. 

Sumber: Harian Metro