2 mangsa langgar lari hanya cedera ringan, pemandu Camry direman 4 hari


Salahguna lorong kecemasan sehingga menyebabkan penunggang dan pembonceng motosikal mengalami kemalangan, pemandu Toyota Camry yang videonya viral di media sosial, direman selama empat hari untuk siasatan lanjut. 

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Yusuf Unis berkata, lelaki berusia 37 tahun itu direman bermula dari hari ini sehingga 4 September dan kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sementara itu, dua mangsa kejadian langgar lari di Kilometer 56.4 Lebuh Raya Kuala Lumpur - Karak tempoh hari hanya mengalami kecederaan ringan sahaja. 

Kedua-dua mereka berjaya dikesan di mana mereka berdua dirawat sebagai pesakit luar di Hospital Bentong. 

Dalam masa yang sama, polis turut mengucapkan terima kasih kepada pengguna jalan raya yang prihatin dan peka ke atas kejadian itu. Malah mengalu-alukan individu yang menjadi saksi kejadian untuk tampil membantu siasatan. 

Sumber: Harian Metro

LAPORAN BERKAITAN

'Tiba-tiba keluar dari pagar rumah' - Budak main basikal, maut dilanggar kereta


Seorang kanak-kanak perempuan berusia enam tahun maut akibat dilanggar sebuah kereta pacuan empat roda, semalam. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3 petang Isnin, di Jalan Delima, Kampung Cacar Baru Paka, Dungun, mangsa, Nur Aira Awatif Mohammad Fadzil, cedera parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Difahamkan, mangsa sebelum itu bermain basikal di kawasan rumahnya bersama dengan dua lagi rakannya berusia 8 dan 7 tahun. 

Kemudian datang sebuah kereta pacuan empat roda yang dipandu oleh lelaki berusia 59 tahun yang menjalankan perniagaan durian di jalan besar tidak jauh dari kampung itu, dalam perjalanan ke sebuah surau untuk menunaikan solat Zohor. 

Mangsa dikatakan secara tiba-tiba keluar dari pagar rumahnya membuatkan pemandu itu terkejut dan gagal mengelak lalu melanggar mangsa. 


Mangsa kemudian dikejarkan ke Klinik Kesihatan Paka, tetapi disahkan telah meninggal dunia. 

Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Dungun untuk siasatan lanjut dan telah dituntut oleh keluarganya untuk urusan pengebumian. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan APJ 1987. 

Sumber: Harian Metro

'Saya teringin nak jumpa dia' - Wan Maimunah cari semula 'peragut' yang pernah 'meragutnya' dalam iklan


Pelakon Wan Maimunah meluahkan hasrat untuk bertemu kembali dengan 'peragut' yang pernah 'meragutnya' dalam iklan khidmat masyarakat hampir 20 tahun lalu. 

Wan Maimunah berkata, meskipun iklan itu berusia hampir dua dekad, namun dia tidak menyangka iklan itu masih mempunyai impak dan disukai serta diingati setiap babak dalam iklan tersebut. 

"Kalau ada peluang, saya teringin nak berjumpa dengan individu yang jadi 'peragut' itu. Mana tahu, kalau dia membaca berita ini, sila hubungi saya," katanya. 

Menceritakan semula kenangan ketika membuat iklan tersebut, Wan Maimunah berkata, dia melakukan sendiri adegan aksi bagi menampakkannya lebih realistik. 

"Pihak produk nak sediakan tilam untuk babak saya terjatuh selepas diragut. Tetapi saya tolak kena nak bagi nampak realistik. 

"Lelaki yang berlaku sebagai 'peragut' itu pun bukanlah pelakon. Jadi, saya yang ajar dia bagaimana untuk menampakkan adegan ragut itu seakan realistik," katanya. 

Menurut Wan Maimunah, iklan khidmat masyarakat itu sedikit sebanyak dapat memberi peringatan kepada orang ramai khususnya golongan wanita agar berhati-hati apabila berada di jalanan. Elak dari menjadi mangsa ragut. 

Sumber: Harian Metro

(Video) 'Kereta saya tidak mengalami apa-apa kerosakan' - Pemandu Camry tampil serah diri, akui cuai


Viral di media sosial semalam video sebuah kereta sedan yang menyalahgunakan lorong kecemasan untuk kepentingan dirinya sehingga menyebabkan dua individu yang menunggang motosikal terbabit dalam kemalangan. 

Dalam kejadian yang berlaku pada petang semalam di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak berhampiran Bentong, Pahang, pemandu Toyota Camry terbabit pada awalnya berada di lorong kiri bersama kenderaan lain menempuh sedikit kesesakkan lalu lintas.

Enggan menunggu lama, pemandu Camry itu kemudian bertindak memberikan isyarat ke kiri dan terus masuk ke lorong kecemasan tanpa memeriksa keadaan jalan pada ketika itu.

Akibatnya, penunggang motosikal dan pemboncengnya tidak sempat mengelak lalu bergesel dengan bahagian kiri Camry sebelum terjatuh. 

Pemandu Camry itu pula tidak memberhentikan kenderaannya dan meneruskan perjalanan tanpa sebarang rasa bersalah. 

Insiden itu sempat dirakam kamera papan pemuka (dashcam) sebuah kereta yang berada di lokasi kejadian dan video tersebut viral meluas di media sosial. 


Ada individu yang mengenali pemandu Camry itu tampil menghubungi lelaki terbabit dan menasihatkannya untuk menyerah diri ke balai berhampiran. 

Tidak beberapa lama selepas kejadian itu, pemandu terbabit yang dikenali sebagai Foo, akhirnya tampil menyerah diri di Balai Polis Gombak pada jam 6.51 petang. 



Suspek kemudian ditahan dan diarahkan untuk menjalani ujian saringan air kencing. Polis turut merampas kenderaan suspek untuk siasatan lanjut. 

Sementara itu, polis sedang mengesan dua individu yang menjadi mangsa dalam kejadian itu. 

Difahamkan, motosikal itu ditunggang oleh lelaki Orang Asli, manakala pemboncengnya adalah wanita Melayu. 

Kes disiasat mengikut Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987. 

Sumber: Harian Metro, Info Roadblock JPJ/POLIS