(Video) 'Penipu! Kata janda tapi masih ada suami & 3 anak' - Pengantin perempuan terciduk, dihalau bakal mertua


Gara-gara mengaku janda padahal masih mempunyai suami, pengantin baru ini dihalau oleh mertuanya sendiri dari pelaminan sehingga menelefon polis untuk datang ke tempat kejadian. 


Suasana majlis perkahwinan yang sepatutnya menjadi hari bahagia bertukar menjadi tegang dalam kejadian yang berlaku di sebuah gereja di Daerah Deli Serdang, Selasa 15 Oktober 2020. 


Hasrat tetamu datang menyaksikan perkahwinan di antara Rina Boru Nasution, 26, dan TOni Sihombing, 32, tidak kesampaian apabila majlis itu terpaksa dibatalkan. 


Bukan kerana tidak saling mencintai, tetapi disebabkan ada pihak ketiga yang hadir membantah perkahwinan itu. Bagaikan adegan dalam sinetron, suami kepada pengantin perempuan ke gereja bagi menghalang majlis itu diteruskan dan menegaskan dia adalah suami yang sah kepada wanita itu. 



Keadaan serta-merta menjadi riuh, keluarga pengantin lelaki terkejut. Video dan gambar kejadian itu viral meluas di media sosial. Dalam gambar tersebut menunjukkan pengantin perempuan diiringi anggota polis, sambil ditunjuk-tunjuk oleh para tetamu yang sedang membawang secara dekat. 


Difahamkan, Rina sebelum ini mengaku janda ekoran kematian suaminya. Tetapi pengakuan Rina itu ternyata bohong apabila suaminya datang pada hari kejadian. 


Pihak gereja kemudian bertindak membatalkan perkahwinan tersebut. Cincin emas yang telah disarungkan pada jari pengantin perempuan juga diambil secara paksa oleh keluarga pengantin lelaki. 


"Dia penipu! Dia penipu! Kata janda, tetapi rupanya masih ada suami, tiga anak," jerit seorang lelaki yang kedengaran dalam video tersebut. 



Ketua Polis Daerah Delitua, Efianto berkata, pihak keluarga pengantin lelaki meminta polis membawa wanita itu ke balai polis untuk tindakan lanjut. Pihaknya turut menerima laporan polis dari suami wanita terbabit. 


Ketika hendak dibawa ke balai, Rina meronta-ronta dan menangis kerana kesal dengan tindakan suami dan bakal mertuanya itu. 


Polis menasihatkan Rina dan suaminya menyelesaikan hal itu dengan baik tanpa melibatkan kekerasan. Pasangan itu bersetuju dengan tiada tindakan dikenakan terhadap Rina. 


Sumber: Agensi

(Video) Anak bawa jenazah ibu naik motor, nak kebumi di kebun sendiri


Viral di media sosial video seorang lelaki menunggang motosikal sambil membawa jenazah di belakang tempat duduknya.


Video yang mula viral di media sosial sejak Khamis, 29 Oktober 2020, meletakkan kotak di belakang motosikal dan jenazah tersebut diletak di atas kotak dan ditutup dengan kain. 


Menurut sumber, jenazah yang dibawa oleh Sutejo (anak bongsu) itu adalah jenazah ibu kandungnya bernama Ginem, berusia 80 tahun yang meninggal dunia pada hari yang sama akibat sakit tua. 


Dua beranak itu merupakan penduduk di Desa Pengging, Jawa Tengah, Indonesia. Ketika dia mengetahui ibunya meninggal dunia, dia membawa jenazah ibunya menggunakan motosikal dan akan dikuburkan di tanah kebun miliknya sendiri. 


Lelaki itu sempat meminjam cangkul dari penduduk, yang membuatkan mereka berasa curiga lalu mula mengekori lelaki itu sebelum mengetahui niat sebenarnya. 


Menurut penduduk, lelaki itu mengalami masalah mental sehingga nekad menguburkan jenazah ibunya seorang diri. Namun perkara itu diketahui oleh penduduk yang kemudian tampil membawa jenazah ibunya ke Rumah Duka, tempat orang meninggal disemayamkan sebelum dikuburkan di tempat yang sepatutnya. 


Sementara itu, kakak kepada lelaki berkenaan, Sri Suyamti, 60, berkata , adiknya tidak mahu menyusahkan jiran dan mahu melakukan urusan pengebumian itu sendirian. 


"Adik saya tidak mahu menyusahkan jiran. Kalau ada apa-apa, ditanggung sendiri," katanya.


Di media sosial, video tersebut mengundang banyak reaksi netizen. 


"Akalnya memang dah tak betul, tetapi dia masih mempunyai naluri untuk menguburkan jenazah ibunya," kata netizen. 



Sumber: Agensi

'Tak adil kata penjawat awam tak layak terima BPN' - CUEPACS selar kenyataan perunding kewangan


Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS) hari ini menyelar pihak tertentu yang berpandangan penjawat awam tidak patut menerima Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kerana tidak terjejas oleh penularan COVID-19.


Sambil menyifatkan kenyataan itu sebagai pandangan sempit, Presiden CUEPACS Adnan Mat berkata pemberian BPN ialah untuk isi rumah dalam kategori B40 dan M40 tanpa mengambil kira mereka bekerja di sektor kerajaan atau swasta.


“Jika pendapatan isi rumah mereka lebih daripada yang ditetapkan, maka ia tetap tidak layak walaupun bergelar penjawat awam. Begitu juga di sektor swasta, jika pendapatan isi rumah lebih daripada syarat ditetapkan mereka juga tidak layak untuk menerima BPN,” katanya dalam kenyataan.


Beliau mengulas kenyataan seorang perunding kewangan menerusi program Sinar Live semalam yang menyatakan penjawat awam tidak sepatutnya menerima BPN kerana tidak terkesan atau tidak dipotong gaji sepanjang penularan COVID-19 serta pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).


Adnan juga menegaskan adalah tidak adil untuk mengatakan penjawat awam tidak layak menerima BPN hanya disebabkan mereka masih menerima gaji seperti biasa sepanjang PKP dan penularan COVID-19.


“Harus diingatkan sekali lagi, tidak semua pasangan penjawat awam turut sama-sama bekerja di sektor kerajaan. Ada dalam kalangan pasangan yang merupakan suri rumah sepenuh masa, bekerja sendiri seperti penjaja kecil serta bekerja di sektor swasta,” tegasnya.


Katanya ada juga dalam kalangan pasangan terbabit telah dibuang kerja, tidak dapat berniaga dan terjejas pendapatan.


“Dalam hal ini, tidak kira sektor mana mereka bekerja, jika isi rumah itu mempunyai pasangan terjejas, sewajarnya dibantu, apatah lagi dapatan daripada kerajaan mengelaskan isi rumah tersebut sebagai B40 atau M40.


“Justeru, adalah tidak adil jika kita melabelkan atau membuat keputusan dengan hanya melihat konteks yang sempit. CUEPACS percaya keputusan yang dibuat oleh kerajaan adalah adil dan memikirkan keseluruhan rakyat yang terkesan oleh COVID-19,” katanya.


Sumber: Bernama

Pemandu e-hailing ugut & bogelkan remaja tersilap buat tempahan


Malang nasib seorang remaja lelaki berusia 18 tahun, dibogel dan diperas ugut oleh seorang pemandu e-hailing yang tidak berpuas hati dengannya. 


Dalam kejadian yang berlaku pada jam 1 pagi Khamis, 29 Oktober 2020, mangsa yang berada di rumahnya di Hiliran Ampang, memuat naik aplikasi e-hailing dan secara tidak sengaja membuat tempahan.  


Mangsa kemudian segera membatalkan tempahan itu. Tetapi dia dihubungi oleh pemandu e-hailing berkenaan yang bertindak memarahinya dan menuduh mangsa membuat tempahan palsu. 


Mangsa memberi penjelasan dia tidak sengaja berbuat demikian. Masih tidak berpuas hati, suspek kemudian menghantar tiga mesej melalui WhatsApp dan mahu bertemu dengan mangsa. Mangsa akur dan mahu membayar kadar tambang RM25.50 sebagai ganti rugi.


Jam 1.10 pagi, mereka bertemu di rumah mangsa yang kemudian memohon maaf dan menyerahkan wang tersebut. Tetapi, suspek pula bertindak melampaui batas apabila dia bukan sahaja mengugut mangsa dengan menggunakan nama polis, malah mengarahkan mangsa menanggalkan pakaian.


Mangsa pada awalnya membantah, suspek sekali lagi mengugut akan membuat laporan polis atas dakwaan mangsa membuat tempahan palsu. Suspek turut meminta mangsa membayarnya RM200 sebagai ganti rugi. Mangsa sekali lagi akur dan membuat pemindahan wang itu secara online ke akaun bank suspek. 


Sudah diberi betis, hendak paha, suspek yang tamak kemudian meminta mangsa membayar RM2,000 melalui WhatsApp. Jika permintaan itu tidak dipenuhi, video mangsa yang tidak berpakaian dakan disebarkan dan laporan polis terhadap mangsa juga akan diteruskan. Suspek memberi mangsa tempoh selama dua hari untuk membuat pembayaran itu. 


Bimbang dengan keselamatan diri, mangsa membuat laporan polis di Balai Polis Pudu untuk tindakan lanjut. Bertindak di atas laporan itu, polis sedang mengesan suspek yang berasal dari Pulau Pinang dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro

'Saya dah agak ada orang masuk rumah, bunuh anak saya' - Remaja maut dibunuh perompak di depan mata ibunya yang terlantar sakit


Seorang remaja perempuan ditemui mati dalam kejadian samun di kediamannya di Kampung Lubok Batu, Telemong, kira-kira jam 2.30 petang Ahad, 1 November 2020. 


Mangsa, Siti Nur Surya, 19, ditemui mati tertiarap di ruang tamu oleh adiknya, Siti Nur Syuhada Ismail, 15, yang baru sahaja pulang dari sekolah, dipercayai dibunuh.


Adik mangsa kemudian segera menghubungi abangnya, Mohd Zaid Azroi, 28, yang ketika itu sedang bekerja di Kampung Bukit Payong. 


"Adik dibunuh dengan kejam dan terdapat beberapa kesan tikaman yang dipercayai menggunakan senjata tajam, di beberapa bahagian badan termasuk putus pergelangan tangan kiri. 


"Ketika kejadian, hanya ibu sahaja yang ada di rumah. Ibu yang terlantar sakit hanya mampu melihat kerana dia menghidapi kanser otak," katanya. 


Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Terengganu, Asisten Komisioner Mohd Marzhuki Mohd Mokhtar mengesahkan kejadian itu dan siasatan sedang dijalankan. 


Mohd Marzhuki percaya, kejadian itu didalangi oleh seorang individu dan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku pada jam 9 pagi dan barangan yang hilang membabitkan wang tunai. 


Sementara itu, Siti Nur Syuhada berkata, dia pada awalnya menyangka kakaknya terkena renjatan elektrik sebelum menyedari mangsa sudah tidak bernyawa. 


"Saya ingat kakak kena karan, saya terus telefon ayah," katanya. 


Sebelum pulang ke rumah, Siti Nur Syuhada menjelaskan, mangsa sepatutnya datang menjemput dia pulang dari sekolah. Ketiadaan kakaknya pada tengah hari itu membuatkan dia terus menghubungi telefon bimbit mangsa beberapa kali, tetapi panggilan tidak dijawab dan dia mula mengesyaki ada sesuatu yang tidak kena. 


"Rutin kakak menjemput saya pulang dari sekolah. Tetapi selepas mendapati kakak tidak ada di perkarangan sekolah, saya berasa hairan dan menghubunginya beberapa kali. Saya syak sesuatu berlaku selepas kakak tidak menjawab panggilan telefon dan segera berlari pulang ke rumah yang terletak lebih kurang satu kilometer. 


"Sebaik tiba di perkarangan rumah, saya lihat pintu terbuka dan segera masuk sebelum melihat kakak tertiarap di depan televisyen di ruang tamu dengan pergelangan tangan kirinya putus. Saya segera menghubungi bapa, Ismail Muda, 58, memberitahu kakak kena karan, pergelangan tangan kiri putus," katanya. 


Sementara itu, Ismail sudah menjangka anak perempuannya itu dibunuh sebaik saja dimaklumkan oleh Siti Nur Syuhada. Ketika dihubungi anaknya itu, dia sedang bekerja di Kampung Banggol Katong, Bukit Payong, kira-kira lima kilometer dari rumah. 


"Saya sudah agak ada orang masuk rumah dan bunuh anak saya. Saya agak kejadian ini berlaku sebaik anak lelaki saya keluar rumah untuk kembali ke tempat kerja kira-kira jam 8.30 pagi," katanya. 


Menurut Ismail, dia menganggarkan kejadian itu berlaku sebelum jam 10 pagi. Ini berikutan bubur nasi yang dibeli anaknya tidak terusik dan lampin pakai buang basah (isterinya), bermakna belum ditukar. 


Anak lelakinya, Mohd Zaid Azroi, pada kebiasaannya akan pulang ke rumah menghantar bubur nasi pada jam 8 pagi dan keluar semula ke tempat kerja setelah selesai bersarapan.


Ismail percaya, Siti Nur Surya bergelut dengan perompak sebelum dibunuh di depan isterinya yang terlantar di katil hanya mampu melihat kejadian itu. 


Wang perbelanjaan harian sebanyak RM400 dan wang milik mangsa RM2,000 serta dua telefon bimbitnya yang disimpan dalam beg tangan, hilang. Wang RM2,000 itu adalah wang yang dikumpul setelah diberi oleh bapanya RM100 setiap sebulan sebagai saguhati menjaga ibunya yang terlantar. 


Ismail tidak mengetahui siapa yang melakukan kejadian itu sehingga meragut nyawa anaknya dan berserah kepada pihak polis untuk melakukan siasatan. 


Sumber: Harian Metro