JAIS serbu banglo mewah, tapi Muhammad Sajjad tiada & disyaki bersembunyi walaupun acah berani di media sosial


Malam Sabtu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dilaporkan telah menyerbu kediaman Muhammad Sajjad Kamaruz Zaman. Namun kelibat lelaki itu tidak kelihatan. 


Lapor Harian Metro, JAIS datang ke banglo mewah lelaki itu di Kota Damansara, Petaling Jaya pada jam 9 malam. 


JAIS tidak menolak kemungkinan bahawa Muhammad Sajjad sebenarnya masih berada di kawasan Lembah Klang dan bersembunyi bagi mengelakkan dirinya ditahan. 


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai serbuan itu. 


Muhammad Sajjad sebelum ini mendedahkan dia tidak takut dan yakin dia tidak melakukan kesalahan yang serius, disyaki bersembunyi di satu lokasi selepas waran tangkap terhadapnya dikeluarkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, 23 Februari 2021. 


Waran tangkap itu dikeluarkan susulan lelaki berkenaan tidak hadir ke perbicaraan atas pertuduhan memakai pakaian menyerupai wanita sehingga menyebabkan agama Islam dihina, dalam satu majlis yang dianjurkan di premisnya pada tahun 2018.


Bagaimanapun, dia menegaskan dia mempunyai surat daripada doktor yang menyatakan dia tidak dapat hadir pada hari kejadian disebabkan muka dan badannya bengkak akibat alahan makanan. 


Beberapa hari yang lalu, Muhammad Sajjad menyindir JAIS secara terbuka melalui Instagramnya. Lelaki itu juga memuat naik banyak screenshot komen-komen puak LGBT yang memberi sokongan terhadapnya. Sedangkan ramai netizen yang mendesak dia untuk tampil menyerah diri sekiranya merasakan diri tidak bersalah. 

Gagal patuh SOP, 2 menteri 'kluster kayangan' dipecat


Dua pemimpin 'kluster kayangan' di Jordan telah dipecat hanya kerana melanggar peraturan kesihatan bagi membendung penularan Covid-19. 


Istana Diraja dalam satu kenyataan memaklumkan, Menteri Kehakiman Bassam Talhouni dan Menteri Dalam Negeri Samir Mobaideen diarahkan melepaskan jawatan masing-masing oleh Perdana Menteri Biseher al-Khawsawneh setelah mendapat kelulusan segera dari Raja Abdullah II. 


Dua menteri berkenaan didapati telah melanggar undang-undang darurat yang dikuatkuasakan oleh kerajaan. 


Difahamkan, Mobaideen dan Talhouni sebelum itu dilaporkan telah menghadiri jamuan makan malam bersama tujuh individu lain di sebuah restoran di Amman. Sedangkan kerajaan telah melaksanakan undang-undang yang hanya membenarkan jumlah maksimum seramai enam orang sahaja. 


Susulan pemecatan dua pemimpin kluster kayangan itu, Timbalan Perdana Menteri yang bertanggungjawab dalam pentadbiran tempatan, Tawfiq Krishan akan dilantik sebagai Menteri Dalam Negeri baharu bersama Setiausaha Negeri bagi Hal Ehwal Undang-Undang, Ahmed Ziyadat pula dilantik sebagai Menteri Kehakiman baharu. - AFP


Sementara itu di sebuah negara di planet Macarena, beberapa pemimpinnya kerap kali didapati melanggar SOP yang ditetapkan. Namun tiada sebarang tindakan tegas dikenakan selepas mereka meminta maaf dan dikenakan denda serta dengan sukarelanya menawarkan gaji bulanan dipotong. 

(Video) Latio langgar lampu isyarat merah jadi punca kemalangan, rider patah kaki


Viral di media sosial video seorang penghantar makanan melanggar sebuah kereta yang membelok ke kanan beberapa saat sebelum lampu isyarat bertukar ke warna hijau. 


Dalam kemalangan yang berlaku pada pagi Ahad, 28 Februari 2021 di persimpangan lampu isyarat Teratai Mewah, Setapak, mangsa mengalami kecederaan patah kaki dan telah dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk mendapatkan rawatan. 


Berdasarkan video dari dashcam pengguna yang kebetulan melalui jalan tersebut menunjukkan, kereta yang dipercayai model Nissan Latio itu membelok ke kanan lebih awal hanya beberapa saat sebelum lampu isyarat bertukar hijau. 


Tindakannya itu menyebabkan mangsa yang berada di lorong bertentang tidak sempat mengelak lalu melanggar kereta itu dan terjatuh. 


Tidak diketahui status pemandu kereta itu sama ada berhenti atau meneruskan perjalanannya selepas kejadian itu. Menurut saksi, orang ramai yang menyaksikan kejadian itu datang menghulurkan bantuan.


Di media sosial, netizen berpandangan kemalangan itu berlaku disebabkan pemandu kereta yang dipercayai bergerak mengikut penunggang motosikal di depannya yang jelas sekali melanggar lampu isyarat merah. 


Tidak kurang juga ada yang berpendapat, mangsa juga memecut motosikalnya sewaktu lampu isyarat bertukar kuning berikutan hanya beberapa saat sebelum itu lampu isyarat di lorong bertentangan dengannya bertukar hijau. 




Orang ramai dinasihatkan untuk sentiasa memandu dengan berhati-hati terutamanya ketika melalui persimpangan lampu isyarat. Usah dikejar lampu kuning dan merah sekiranya tidak mahu menanggung risiko kecederaan atau kematian di kemudian hari. Ingatlah keluarga tersayang dan paling tidak pun kucing tersayang. 


Sumber: Info Roadblock JPJ/POLIS

Syok main futsal tak ikut SOP, 30 individu terkedu dikenakan kompaun

Gara-gara tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), seramai 30 individu yang bermain futsal dikenakan kompaun. 


Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, pihaknya menerima aduan berhubung kejadian itu pada jam 9.30 malam di sebuah premis di Taman Sri Gombak, kelmarin. 


Bertindak di atas aduan itu, pasukan pematuhan SOP dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak turun ke lokasi untuk melakukan pemeriksaan. 


Tiba di lokasi, pihaknya mendapati seramai 28 individu berusia 19 hingga 23 tahun sedang bermain futsal dan gagal mematuhi SOP PKP iaitu penjarak fizikal dan aktiviti yang masih tidak dibenarkan dalam sektor sukan dan rekreasi. 



Turut dikenakan kompuan adalah dua pemilik premis berkenaan yang gagal mematuhi SOP mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (APPPB 1988). 


Sumber: Harian Metro

'Tiada sebarang tugas mengiring orang kenamaan' - Polis nafi dakwaan netizen, anggotanya jadi punca kemalangan


Susulan viral perkongsian seorang individu bernama Min Rossa yang mendakwa sebuah kereta mengalami kemalangan selepas polis trafik yang menghalang laluan di persimpangan lampu isyarat bagi memberi laluan kepada orang kenamaan, polis tampil menafikan dakwaan tersebut. 


Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Melaka, Superintendan Hasan Basri Yahya berkata, netizen berkenaan mendakwa dia terbabit dalam kemalangan dengan sebuah motosikal pada jam 9.40 pagi kelmarin ketika melalui persimpangan lampu isyarat Krubong/Cheng di Melaka Tengah. 


Indivitu terbabit mengatakan ia berikutan tindakan polis yang sedang mengiringi orang kenamaan melalui jalan tersebut. 


"Pihak JSPT Melaka mengambil maklum perkara berkenaan dan melakukan siasatan dan terdapat satu laporan kemalangan jalan raya bersangkutan dibuat pengadu dan disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59. 


"Bagaimanapun sehingga sekarang, penunggang motosikal terbabit masih belum membuat laporan polis dan usaha mengesan sedang dijalankan," katanya. 


Siasatan awal mendapati, ketika kemalangan itu berlaku tiada sebarang tugas mengiring orang kenamaan seperti dinyatakan netizen. Tetapi anggota terbabit sedang membuat kawalan lalu lintas sempena perayaan Masimagam di Kuil Krubong, Tampoi. 


Ketika kejadianm berlaku, anggota trafik sedang melancarkan pergerakan kenderaan dengan memberi laluan kepada pengangkutan membawa patung berhala dari arah bandar Melaka menghala ke arah Jalan Krubong. 


Menurut Hassan, tindakan itu selaras dengan Seksyen 21 (1)(a) Akta Polis 1967 iaitu mengatur, mengawal dan melencongkan mana-mana lalu lintas. Malah ia selaras dengan arahan Pengarah JSPT nombor 7, mengawal lalu lintas jika berlaku kesesakan. 


Sehubungan itu, pihaknya kini sedang melakukan siasatan terhadap pemilik laman sosial berkenaan di bawah Seksyen 223 Akta Telekomunikasi dan Seksyen 505 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Harian Metro