AirAsia kenakan caj RM100 jika daftar masuk melalui kaunter, mulai 1 Mac


Bermula 1 Mac 2022, AirAsia dilaporkan akan mengenakan caj pembayaran RM100 bagi perkhidmatan daftar masuk melalui kaunter, lapor portal Rnngt. 


September 2020, AirAsia telah memperkenalkan caj pembayaran bagi perkhidmatan tersebut sebanyak RM20 untuk setiap penumpang penerbangan domestik. Bagi penerbangan antarabangsa, penumpang dikenakan caj RM30. 


Bagiamanapun, bermula 1 Mac ini, caj pembayaran untuk pendaftaran masuk melalui kaunter akan dinaikkan ke RM100 untuk penumpang penerbangan domestik dan antarabangsa. 


Walaupun begitu, AirAsia memberikan pilihan kepada pelanggan sama ada mahu menggunakan perkhidmatan tersebut dengan caj RM100 atau boleh mendaftar masuk melalui web, aplikasi AirAsia atau kiosk yang disediakan di lapangan terbang. 


Menurut AirAsia, langkah mengenakan caj di kaunter adalah untuk menggalakan pengguna memanfaatkan kaedah digital yang disediakan, selaras dengan pematuhan prosedur operasi standard Covid-19. 


Selain itu, AirAsia turut menyenaraikan beberapa kategori penumpang yang tidak akan dikenakan caj tersebut ketika melakukan pendaftaran masuk di kaunter. Antaranya penumpang yang tidak berupaya, ibu bapa dengan bayi bawah 24 bulan, penumpang muda berusia 12 hingga 16 tahun, penumpang yang terjejas akibat perubahan jadual penerbangan dan beberapa lagi kategori lain. 


Sumber: Rnggt

(Video) 'Tergamaknya curi handphone orang' - Wanita kantoi curi iPhone 13 Pro Max milik ibu hamil di Melati Mall


Kebiasaannya apabila kita menemui barang yang bukan hak milik kita, lebih-lebih lagi barang yang berharga, pastinya kita akan cuba mencari dan menyerahkan kembali kepada pemiliknya. Tetapi tidak bagi wanita ini yang memilih untuk 'mengambil' barang tersebut. 


Tular di media sosial semalam video yang menunjukkan seorang wanita mengambil telefon bimbit, iPhone 13 Pro Max milik ibu hamil di sebuah kedai bakeri di Melati Mall. 


Fazrin Ghazali berkata, kejadian itu berlaku pada jam 4.42 petang Selasa, 22 Februari 2022. Mangsa yang juga seorang ibu hamil mengakui tertinggal telefon bimbitnya di kaunter pembayaran. 


"Ada seorang customer (mangsa) ni beli barang di kedai saya. Bila buat pembayaran, dia letak handphone atas meja cashier tu. Dah selesai semua, dia terus pergi tanpa menyedari handphonenya tertinggal di situ. 


"Datang pula pelanggan yang seterusnya (dalam video) untuk buat pembayaran dan dia ternampak ada iPhone di atas tu dan berlakulah kejadian seperti dalam CCTV itu," katanya. 


Menurut Fazrin, kakitangannya tidak menyedari mangsa tertinggal handphone di situ kerana sibuk. Tidak beberapa lama kemudian, mangsa datang bertanya mengenai handphone tersebut. Setelah memeriksa rakaman CCTV, mangsa terus membuat laporan dan polis datang ke lokasi untuk membuat siasatan. 


"Kami cuma membantu apa yang boleh sebab kasihan dengan pemilik handphone itu ibu mengandung. Menangis dia tadi. 



"Kepada puan (tudung baju warna olive green) yang mengambil handphone customer itu, minta tampil bagi kerjasama," katanya. 


Sementara itu, mangsa, Nalissa Azmee (@tatarowk) cuba membuat panggilan ke telefon bimbitnya, namun gagal kerana nombor tersebut telah disekat. 


"Tolong saya dapatkan semula telefon itu sebab dokumen perjalanan saya ke umrah pada hujung minggu ini semua ada dalam telefon itu," katanya. 



Sumber: Facebook Fazrin Ghazali

'Harga ayam naik sebab kekurangan bekalan makanan ayam (jagung import dari Brazil)' - Timb Menteri


Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan II, Datuk Dr Nik Zawawi Salleh berkata, isu harga ayam naik baru-baru ini adalah berpunca dari masalah kekurangan bekalan makanan ayam iaitu jagung import dari Brazil. 


Nik Zawawi yakin bahawa harga ayam akan kembali ke paras normal selepas masalah Covid-19 selesai. 


"Saya yakin apabila masalah Covid-19 selesai, harga ayam akan turun sebab isunya adalah harga makanan (ayam). Makanan ini bukan kita yang naikkan harga, ia adalah harga antarabangsa daripada Brazil yang kita import jagung. 


"(Bekalan) di sana sekarangg pun tidak mencukupi. Jadi apabila (bekalan itu) menjadi rebutan dalam dunia, harga di semua negara naik, bukan kita sahaja. 


"Jordan, harga ayam kira-kira RM18 sekilogram, kenaikan di negara lain lebih parah daripada kita dan kerajaan mereka tidak mampu (memberi subsidi)," katanya. 


Tambah Nik Zawawi lagi, walaupun Malaysia menghadapi pandemik Covid-19 dan dilanda musibah banjir besar baru-baru ini, kerajaan Malaysia antara negara yang masih mampu memberi subsidi dan bantuan kepada rakyat. 


"Banyak negara lain tiada kemampuan (memberi bantuan pada rakyat)," katanya. 


Sumber: Bernama

Cuepacs minta gaji minimum penjawat awam dinaikkan ke RM1,800 berbanding RM1,200 sebulan


Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Di Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) sekali lagi mengulangi cadangan gaji minimum baharu RM1,800 sebulan untuk sektor awam berbanding RM1,200 sebulan ketika ini.


Presiden Cuepacs Datuk Adnan Mat berkata pihaknya sebelum ini telah mengutarakan hal itu kepada Perdana Menteri dan mencadangkan gaji RM1,800 sebulan kerana berpendapat angka berkenaan adalah munasabah untuk dinilai kerajaan.


"Pada masa sama, Perdana Menteri juga telah memaklumkan di dalam Kabinet dan di Parlimen pada 27 November lalu di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12), kerajaan mensasarkan (status sebagai) negara berpendapatan tinggi menjelang tahun 2025 dengan meletakkan pendapatan isi rumah kepada RM10,000.


"Namun sasaran di bawah RMK12 ini sudah tentu tidak akan tercapai sekiranya gaji minimum yang baharu ini tidak diubah oleh kerajaan sendiri," katanya ketika menjadi tetamu secara maya dalam program Koresponden terbitan Bernama TV bertajuk 'Penentuan Nasib Penjawat Awam' hari ini.


Beliau juga berkata sebelum ini, kerajaan telah menetapkan bahawa gaji penjawat awam disemak setiap 10 tahun dan kali terakhir sistem saraan perkhidmatan awam disemak ialah pada 2002.


"Cuepacs melihat apabila kerajaan sendiri menetapkan setiap 10 tahun maknanya tahun ini adalah tahun yang memerlukan kerajaan untuk menyemaknya semula.


"Sistem saraan yang baharu ini hendaklah boleh menampung keperluan penjawat awam supaya menerima gaji yang selesa, yang setimpal dengan kos perbelanjaan harian minimum yang juga telah berubah dengan (harga) barangan meningkat berkali-kali sejak tahun lalu," katanya.


Sumber: Bernama

Lelaki Bangladesh tarik & cabul wanita dalam bilik penyimpanan barang pusat beli-belah di Sri Hartamas


Seorang lelaki warga Bangladesh yang gagal mengawal nafsu bertindak mencabul seorang wanita di bilik penyimpanan barang dalam kejadian Sabtu lalu. 


Lapor Harian Metro, kejadian itu berlaku pada jam 3.15 petang di sebuah pusat beli belah Sri Hartamas. 


Difahamkan, mangsa terdahulu pergi ke tandas sementara rakannya menunggu di luar. Sebaik saja mahu keluar dari tandas, suspek secara tiba-tiba menariknya masuk ke dalam bilik penyimpanan barang di hadapan tandas. 


Mangsa cuba menjerit meminta tolong tetapi tidak berjaya kerana mulutnya ditutup oleh suspek yang kemudian mencabulnya. 


Mangsa enggan mengalah bertindak melawan suspek beberapa kali sehingga dia berjaya menyelamatkan diri. Mangsa yang mengalami lebam di bahagian paha tampil membuat laporan polis untuk tindakan lanjut. 


Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, mengesahkan pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu. 


Suspek telah ditahan untuk membantu siasatan. 


Sumber: Harian Metro