Pelanggan perlu tulis nama kalau nak beli satu peket minyak masak bersubsidi

Foto sekadar hiasan sahaja


Pengguna di Rantau Panjang dilaporkan perlu menulis nama sebelum dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi stau kilogram yang merupakan barangan terkawal. 


Lapor Harian Metro, tinjauan di beberapa kedai runcit di daerah itu mendapati, peniaga mewajibkan pelanggan mengikuti syarat tersebut bagi pembelian satu peket minyak masak bersubsidi satu kilogram. 


Pengguna, Fatin Nur Najwa Che Razak, 28, berkata, dia menerima arahan daripada peruncit untuk menulis nama sejak dua minggu lalu yang katanya merupakan arahan daripada pihak berkuasa. 


"Saya akur sahaja dengan arahan yang diberikan demi mendapatkan minyak masak untuk kegunaan harian. Setakat ini, minyak masak satu kilogram dijual pada harga RM2.80 sehingga RM3 sepeket di sekitar kawasan kampung," katanya. 


Berbanding sebelum ini, mereka diwajibkan untuk membeli gula terlebih dahulu sebelum dibenarkan membeli minyak masak bersubsidi tersebut. Namun, amalan itu tidak lagi diteruskan selepas isu minyak masak menjadi perbualan hangat. 


Katanya lagi, bukan semua kedai runcit yang menjual barangan terkawal itu berikutan bekalan yang diperolehi oleh peruncit juga terhad. 


Temubual wartawan Harian Metro dengan peniaga yang dikenali sebagai Zailah, 42, berkata, tindakan mewajibkan pelanggan menulis nama adalah bagi memudahkan urusan rekod jual beli untuk ditunjukkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP). 


Sumber: Harian Metro

'Dengan D7 nak main nyorok ye?' - 12 warga emas berjudi di tepi sawah Kuala Kedah, ditahan polis

Foto Harian Metro, Utusan Online


Pegawai dan anggota Bahagian Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah berjaya menahan sekumpulan warga emas yang sedang leka berjudi (Pok Deng) di bangsa di tepi sawah berhampiran Taman Bersatu, Kuala Kedah, semalam. 


Kesemua suspek berusia dari 50 hingga 73 tahun sebelum itu cuba menyorok di kawasan sawah sebelum berjaya ditahan polis pada jam 4 petang. 


Timbalan Ketua Polis Kedah, Datuk Mohd Roze Shaari berkata, 12 individu yang ditahan turut termasuk dua wanita, seorang wanita warga tempatan dan seorang lagi warga Indonesia. Penganjur perjudian berusia 57, juga ditahan untuk membantu siasatan. 


Selain itu, polis merampas wang tunai berjumlah RM5,948 yang disyaki berkaitan dengan aktiviti perjudian haram itu. 


Siasatan mendapati, kesemua suspek terbabit dalam kegiatan tersebut sejak tiga bulan lalu dan setiap seorang hanya dibenarkan bermain judi itu sebanyak dua atau tiga kali. 


Kesemua suspek ditahan dan dibawa ke IPD Kota Setar untuk tindakan lanjut di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Terbuka 1953. 


Sumber: Harian Metro

Bayi lemas dalam tab mandi ketika bapanya keluar merokok sambil layan Facebook



Seorang bayi perempuan meninggal dunia selepas ditinggalkan di bersendirian di bilik mandi selama tujuh minit tanpa oleh bapanya yang keluar untuk merokok sambil melayari aplikasi Facebook. 


Daniel James Gallagher, 26, mengaku bersalah di atas kecuaiannya itu sehingga menyebabkan kematian anak perempuannya, Leah Jayde, 9 bulan, dalam kejadian 2 April 2021. 


Mengikut fakta kes, Daniel meninggalkan anaknya bersendirian di bilik mandi di kediaman mereka di Queensland, Australia, dengan pili air yang masih terbuka dan dalam masa yang sama dia keluar seketika untuk menguruskan masalah bekalan elektrik. 


Selepas selesai, Daniel dikatakan menghisap rokok dan melayari aplikasi Facebook untuk beberapa minit berbanding pergi ke bilik mandi untuk mengawasi anaknya. 


Selesai merokok, Daniel kembali ke bilik mandi dan mendapati Leah sudah terapung dalam tab mandi. Panik melihat keadaan itu, Daniel segera menghubungi talian kecemasan untuk meminta bantuan.


Daniel turut memberi bantuan pernafasan (CPR) sebelum paramedik tiba di kediamannya. 


Ibu mangsa, Shaylan Gallagher, yang sudah bercerai dengan Daniel pada 2020, segera datang ke rumah bekas suaminya selepas dimaklumkan mengenai kejadian itu. 


Leah dikejarkan ke Hospital Hervey Bay, namun doktor mengesahkan kanak-kanak itu telah meninggal dunia. 


Dalam perbicaraan di Mahkamah Brisbane, Pendakwa Raya Chris Cook mendakwa kecuaian dan pengabaian mangsa selama tujuh minit oleh Daniel telah menyebabkan kematian anak perempuannya. 


"Tidak dinafikan bapanya bersedih tetapi kematian Leah bukan sesuatu yang tidak disengajakan. Ia lebih kepada kecuaian yang menyebabkan kematian," katanya. 


Mahkamah juga diberitahu bahawa oleh Shaylan di mana sebelum ini pernah berlaku semasa dia pulang ke rumah untuk mencari anaknya dan mendapati kanak-kanak itu berada di bilik mandi tanpa pengawasan Daniel yang keluar merokok. 


Hakim Peter Applegarth berkata, kejadian yang pertama sepatutnya menjadi peringatan kepada Daniel untuk tidak mengulangi perbuatannya itu. Justeru, Hakim menjatuhkan hukuman penjara lima tahun terhadap Daniel.


Sumber: Daily Star

Rakyat Kelantan lebih bahagia dari Selangor yang kaya tapi rakyatnya tak bahagia - Kajian



Laporan Indeks Kebahagiaan Rakyat Malaysia (MHI) 2021 mendedahkan, Kelantan berada di kedudukan kelima, sekali gus membuktikan rakyat di negeri itu berpuas hati dan bahagia dengan kehidupan mereka. 


Ketua Perangkawan Malaysia, Dr Mohd Uzir Mahidin berkata, laporan itu dibuat berasaskan Survei Kebahagiaan Rakyat Malaysia 2021 yang dilaksanakan untuk mengukur tahap kebahagiaan rakyat Malaysia dari aspek fizikal, sosial, emosi dan spiritual. 


Tahap kebahagiaan rakyat Malaysia diketegorikan kepada lima skor iaitu nilai 0.00 - 2.00 sangat tidak bahagia; 2.01- 4.00 tidak bahagia; 4.01- 6.00 sederhana bahagia; 6.01 - 8.00 bahagia dan 8.01 - 10.00 sangat bahagia.


Sementara itu, Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohd Amar Nik Abdullah dengan bangganya memaklumkan perkara itu kepada rakyat dalam sesi ceramah pasca sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Pengkalan Chepa, malam kelmarin. 


Menurut Mohd Amar, Kelantan yang mendapat skor 7.0 itu jauh lebih tinggi dari Selangor yang hanya mendapat skor 5.0, sedangkan negeri itu lebih maju dari Kelantan. 


"Kelantan termasuk antara negeri yang bahagia. Bahagia ini bermaksud rakyat puas hati, rakyat senang walaupun ada lah masalah. Maka sebab itu kita masuk dalam indeks bahagia. 


"Kita dapat skor 7.0 berbanding Selangor mendapat markah 5.0 iaitu jauh berbeza memandangkan negeri itu kaya, hasil bumi banyak namun rakyatnya tidak bahagia," katanya. 


Justeru Mohd Amar menasihatkan rakyat Kelantan berfikir dengan baik dan tidak mengikut perasaan ketika ada pihak yang mahu menukar pentadbiran negeri itu. 


Sumber: Harian Metro

Berita tak baik untuk Guru Kafa, kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh ditangguhkan



Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) mengambil keputusan menangguhkan kemudahan cuti bersalin dengan elaun penuh selama 60 hari kepada guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) seperti yang diumumkan pada awal tahun ini. 


Kemudahan itu hanya diberi sekali sepanjang tempoh kontrak lantikan semasa yang sedang berkuat kuasa dan selaras penambahbaikan Peraturan Kafa Tahun 2022 yang memasukkan perkara berkaitan cuti bersalin berelaun selama 60 hari. 


Menurut Ketua Pengarah Jakim, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, keputusan itu dibuat sebagai mematuhi saran dan pandangan Kementerian Kewangan. 


Difahamkan, Kementerian Kewangan pada 6 Julai lalu mengeluarkan pandangan bahawa pelaksanaan kemudahan itu adalah tidak sesuai dibuat pada ketika ini kerana kedudukan status perjawatan guru Kafa. 


Bagaimanapun, Jakim dikatakan sedang berusaha membuat rayuan kepada Kementerian Kewangan dan menjustifikasikan langkah yang diuat bagi pertimbangan semula kementeriaan berkenaan. 


Dalam pada iatu, Jakim bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Idris Ahmad juga sudah berbincang dengan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam berhubung isu kebajikan guru serta penyelia Kafa. 


"Jakim sentiasa berbincang dan mencari jalan bagi menjaga kebajikan semua pihak di bawah jabatannya termasuk guru Kafa, selain mengharapkan sokongan serta doa supaya usaha berterusan yang dibuat oleh pihak kerajaan melalui Jakim selama ini dipermudahkan oleh Allah SWT," katanya. 


Sumber: Harian Metro