(Video) 'Mayatnya ditemui dalam keadaan tidak sempurna' - Wanita cuba selamatkan ibu, maut dibaham buaya



Sabtu lalu, seorang wanita berusia 32 tahun dilaporkan hilang ketika memancing di tebing air di Kampung Tanjung Bulat, Kinabatangan, Sabah. 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 3.40 petang, mangsa, Norsila Sayong, disambar reptilia berkenaan. Mangsa juga dikatakan cuba menyelamatkan ibunya daripada disambar buaya itu. 


Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kinabatangan, Nurul Azlan Shah Jamaluddin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kes itu pada jam 3.42 petang lalu mengerahkan lima anggota bergegas ke lokasi untuk menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR). 


"Sebelum kejadian, mangsa sedang memancing di tebing anak sungai yang bersambung dengan Sungai Kinabatangan. Lokasi itu memang menjadi lokasi memancing penduduk ketika air sungai pasang. Tiba-tiba mangsa dilaporkan disambar lalu dibawa ke dalam dan hilang," katanya. 


Keesokan harinya, mayat Norsila ditemui penduduk kampung bersama pasukan SAR pada jam 6.35 pagi Ahad, di mana penduduk berkenaan terdengar pergerakan buaya itu sebelum memaklumkan kepada bomba. 



"Pasukan SAR kemudiannya bergerak ke lokasi dilaporkan sebelum menemui tubuh mangsa dalam keadaan kurang sempurna kira-kira 800 meter dari tempat mangsa dilaporkan disambar buaya. 


"Mangsa dibawa ke darat dan diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya. 


Sumber: Harian Metro

'Jangan hanya minta kerajaan turunkan harga baranga, kita (rakyat) juga perlu kawal diri & berjimat' - Nordiah

Foto sekadar hiasan sahaja | RASA


Di kala ramai yang merungut harga barang naik dan menuduh kerajaan seolah-olah melepaskan tangan dalam usaha meringankan bebanan rakyat, seorang warga emas pula berfikiran sebaliknya. 


Nordiah, 62, dari Seksyen 23 Shah Alam berkata, rakyat tidak sepatutnya bergantung kepada kerajaan, sebaliknya mengawal diri dari berbelanja melebihi keperluan atau tidak perlu. 


"Jangan hanya minta kerajaan menurunkan harga barang, tetapi kita sebagai pengguna juga perlu kawal diri dan nafsu membeli," katanya. 


Nordiah mengakui, dia juga terkesan tetapi cuba mencari jalan untuk mengawal dan menguruskan perbelanjaannya. 


"Kalau dulu makan ayam, kini mungkin kena kurangkan. Jika dulu makan ikan tenggiri, sekarang boleh cari alternatif makan ikan lain. Sama juga seperti cili, guna ikut keperluan kerana setiap biji cili itu berharga. 


"Penjimatan seharusnya bermula daripada diri kita sendiri, contohnya dengan kurangkan pembelian perabot misalnya atau bercuti saja dalam negara," katanya. 


Seorang juruteknik berusia 40 tahun pula berpendapat, sebagai ketua keluarga dia perlu berjimat cermat dalam berbelanja dan mendahulukan keperluan berbanding kehendak. 


Mohammed Firdaus Zakaria berkata, dalam masa sama dia juga dapat menyimpan wang untuk persediaan menghadapi perkara yang tidak dijangkakan. 


"Jujurnya sangat terkesan dengan kenaikan harga barang kini terutama barangan lusuh, namun bukan sampai tidak dapat makan langsung. 


"Cuma, saya sebagai ketua keluarga perlu mendahulukan pendapatan bulanan dengan membeli makanan dan keperluan anak-anak. 


"Salah satu caranya adalah dengan kurangkan pembelian seperti pakaian dan tangguhkan dahulu kehendak membeli barangan bukan keperluan," katanya. 


Bagi Mazliza Mali, 33, dia memilih untuk memasak dan makan di rumah untuk langkah berjimat cermat. 


"Kebanyakan orang kini memang terkesan dengan kenaikan harga barang, sama juga seperti saya yang baru berkahwin dan tinggal menyewa.


"Adalah lebih baik jika kita cuba mengurangkan makan di luar dan beli barang keperluan serta masak di rumah. Saya sendiri masak setiap hari walaupun hidangan yang ringkas.


"Memandangkan harga kenaikan harga barang basah agak ketara, saya dan suami cuma kawal perbelanjaan dengan berbelanja sekali saja dalam dua minggu," katanya.


Sumber: Harian Metro

Gangguan elektrik Rabu, Menteri tak jamin pengguna terjejas akan diberi rebat oleh TNB



Rabu lalu, kira-kira sejuta pengguna di beberapa buah negeri di Semenanjung Malaysia dilaporkan mengalami gangguan bekalan elektrik bermula jam 12.39 tengah hari.


Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagaimanapun berjaya memulihkan kembali bekalan elektrik selepas 20 minit hingga 2 jam 21 minit secara berperingkat. Dalam tempoh itu, ada beberapa pihak mengatakan mereka mengalami kerugian disebabkan gangguan bekalan elektrik yang tidak dijangkakan itu. 


Menurut TNB, gangguan itu berpunca dari kerosakan peralatan di Pencawang Masuk Utama (PMU) Yong Peng North di Yong Peng, Johor. 


30 Julai, Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Takiyuddin Hassan mengeluarkan kenyataan bahawa TNB akan menyediakan rebat kepada pengguna yang terjejas akibat kejadian itu. 


Katanya, sebanyak satu juta akaun yang terjejas termasuk sama ada dari akaun domestik, industri dan komersial akan diberikan rebat dan maklumat perinci berhubung perkara itu akan dibentangkan di Parlimen pada 4 Ogos ini. 


Bagaimanapun dalam laporan 31 Julai, Takiyuddin tidak dapat memberi jaminan bahawa rebat akan diberikan kepada pengguna terjejas. Keputusan pemberian rebat itu perlu menunggu hasil siasatan bagi menentukan sama ada TNB telah memenuhi syarat-syarat Standard Prestasi Perkhidmatan (GSL) atau tidak. 


GSL merupakan piawaian yang ditetapkan oleh Suruhanjaya Tenaga yang memerlukan TNB memastikan bekalan elektrik yang terbaik. Kegagalan untuk mematuhi GSL akan mengakibatkan penalti dalam bentuk rebat kepada pengguna yang terjejas. 


Siasatan yang dilakukan juga akan meneliti punca dan kesan daripada gangguan bekalan itu. 


Sumber: Berita Harian, MalaysiaKini

(Video) 'Apa hal you hisap rokok sini (restoran)?! You bodoh ka?!' - Perokok koyak ditegur pelanggan, cabar buat laporan polis



Tular di media sosial video perokok dimarahi oleh pelanggan yang berang dengan perbuatan tidak bertanggungjawabnya itu sedangkan umum mengetahui bahawa mana-mana premis makanan adalah zon larangan merokok. 


Dalam video berdurasi hampir dua minit itu menunjukkan, seorang lelaki dianggarkan berusia 50-an menegur tindakan lelaki muda yang merokok di dalam restoran berkenaan. 


Bagaimanapun, teguran itu bertukar menjadi pertengkaran di antara kedua-dua pihak dan turut kedengaran si perokok disembur dengan kata-kata berikut: 


"You tak tau ka dalam kedai tak boleh hisap (rokok)? You China punya orang ka? Hah?! China mari la you? P****** you Cina, l***** you tengok-tengok. Apa hal you hisap rokok?! You bodoh ka?!" kata lelaki berusia 50-an itu. 


"Apa kuasa you (nak buat teguran)?!" balas perokok itu. 


"Saya rakyat Malaysia. L***** you la! P******! Mau kena tampar you punya muka!" jawabnya. 


"Saya pun rakyat Malaysia. Kalau you berani, you report polis sekarang!" kata si perokok mencabar lelaki tua itu. 


Namun cabaran itu tidak diendahkan dan dia beredar dari premis tersebut sambil diperhatikan oleh pelanggan lain yang terkejut melihat kejadian itu. 



Individu yang memuat naik video tersebut, Nelson, turut meluahkan rasa tidak berpuas hati terhadap lelaki India berkenaan yang didakwa membuli bangsa Cina. 


"Saya sedang minum kopi dan melihat lelaki ini membuli orang Cina dan memarahi 'P****** Cina balik China. Adakah orang Cina begitu mudah dibuli? 


"Awak boleh marah orang kerana merokok tetapi jangan memarahi orang Cina balik ke China untuk menghasut. Saya perlu berdiri dan membantu lelaki ini (perokok) daripada terus dibuli sebegini. 


"Merokok itu salah tetapi tiada kena mengena dengan orang Cina. Kenapa tegur Cina p****** dan tampar muka bila tegur orang?" katanya. 




Sementara itu, netizen di media sosial mempertikaikan, mengapa pengusaha dan kakitangan restoran tersebut tidak menegur perbuatan perokok itu sedangkan kerajaan telah lama menguatkuasakan larangan merokok di premis makanan. 


Netizen turut menyelar perokok berkenaan yang dilihat tidak menghormati peraturan dan menggesa pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengambil tindakan tegas terhadap perokok terbabit. 

Bengang tak diberi pinjam motosikal, anak ugut bunuh ibu dan adik beradik dengan pisau dapur



Seorang lelaki sanggup mengugut mahu membunuh ibunya menggunakan pisau hanya kerana dihalang menggunakan motosikal.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, kejadian itu berlaku pad ajam 2 petang semalam di kediaman keluarga itu di Bandar Perdana. 


Suspek berusia 20 tahun itu dikatakan baru pulang ke rumah dan meminta kebenaran untuk menggunakan motosikal milik ibunya berusia 40 tahun. 


Mangsa bagaimanapun tidak membenarkannya kerana suspek baru pulang selepas tiga hari keluar dari rumah. 


Bengang permintaan ditolak menyebabkan suspek mengamuk lalu mengambil pisau di dapur untuk mengugut membunuh ibu dan adik beradiknya yang lain. 


Mangsa yang bimbang dengan keselamatan mereka sekeluarga, terus menghubungi polis untuk meminta bantuan. Anggota unit peronda polis (MPV) segera datang ke lokasi dan berjaya menahan suspek. 


Ujian saringan air kencing yang dilakukan mendapati suspek positif dadah jenis methamphetamine. Namun suspek yang bekerja di kilang tidak memilik sebarang rekod jenayah. 


Suspek ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan.


Sumber: Harian Metro