2 lelaki rompak RM65 dari kedai serbaneka dipenjara 3 tahun, 1 sebatan



Tindakan dua rakan merompak wang tunai RM65 dari sebuah kedai serbaneka membawa padah apabila masing-masing dijatuhi hukuman penjara tiga tahun dan satu sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.


Hakim Emilia Kaswati Mohamad Khalid membuat keputusan itu selepas tertuduh, Mohd Nazir Bahli, 36, dan Ahmad Shahmi Azmi, 31, kedua-duanya penghantar makanan, mengaku bersalah terhadap tuduhan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan.


Jika sabit kesalahan, seksyen tersebut memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan denda atau sebatan..


Mahkamah memerintahkan kedua-dua tertuduh menjalani hukuman bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 19 Ogos lalu.


Mereka didakwa bersama-sama melakukan rompak berkumpulan terhadap seorang remaja perempuan berusia 17 tahun, iaitu pekerja kedai itu, dengan mengambil wang tunai RM65 milik kedai tersebut, dalam kejadian di Taman Pertama, Cheras, di sini, pada jam 9.30 malam, 18 Ogos lalu.


Sementara itu, di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Siti Aminah Ghazali, kedua-dua tertuduh mengaku bersalah atas dua pertuduhan merompak membabitkan wang berjumlah RM324.15 di dua kedai sekitar Cheras antara 8.20 malam dan 8.30 malam pada tarikh sama.


Mahkamah kemudian menetapkan 26 September bagi tarikh jatuh hukum.


Di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Izralizam Sanusi dan Hamidah Mohamed Deril pula, kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan melakukan rompak berkumpulan terhadap tiga pekerja kedai serbaneka di sekitar Cheras antara jam 8.49 malam hingga 9.45 malam pada hari berkenaan.


Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM18,000 dengan seorang penjamin bagi ketiga-tiga pertuduhan berserta syarat tambahan mereka perlu melaporkan diri sebulan sekali di balai polis berdekatan dan menetapkan 26 September dan 5 Oktober untuk sebutan semula kes.


Pendakwaan bagi kes-kes tersebut dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Aiman Azahan, Ngoh Jess Lynn dan Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar manakala kedua-dua tertuduh tidak diwaklili peguam.


Sumber: Bernama

Jabatan Penjara nafi beri layanan istimewa kepada Najib, minta netizen hentikan dakwaan palsu



Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 terhadap bekas perdana menteri Najib Razak yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 


Sejak dari itu, ada beberapa individu mula menularkan di media sosial bahawa banduan bertaraf orang kenamaan (VIP) akan ditempatkan di penjara khas yang jauh lebih selesa dari penjara biasa. 


Menurut posting yang tular di media sosial itu mendakwa, banduan VIP bukan sahaja diberi tempat tidur yang empuk dan selesa, malah diberi kebebasan menonton siaran televisyen, bebas mengakses internet, mempunyai penghawa dingin dan sebagainya. 


Bagaimanapun, Jabatan Penjara Malaysia hari ini tampil menafikan semua dakwaan itu dan meminta netizen berhenti menyebarkan maklumat palsu itu. 


"Hentikan penyebaran maklumat palsu," demikian kenyataan ringkas dari jabatan berkenaan yang enggan mengulas lanjut. 


Sementara itu di ruangan komen, netizen menggesa Jabatan Penjara membuat laporan polis berhubung dakwaan itu, termasuk mengambil tindakan terhadap individu-individu yang menyebarkan maklumat palsu tersebut.

Mayat remaja perempuan ditemui dipercayai dibunuh, 3 Orang Asli ditahan



Susulan penemuan mayat seorang remaja perempuan berusia 14 tahun di Bukit Ibam, Rompin, Pahang pada Ahad, polis Kuantan menahan tiga lelaki Orang Asli pada Isnin.


Ketiga-tiga lelaki Orang Asli itu ditahan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.


Mangsa yang juga merupakan Orang Asli dipercayai dibunuh dan remaja itu ditemukan di lereng bukit berhampiran rumahnya di Bukit Ibam.


Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, polis memperoleh perintah reman daripada Mahkamah Majistret Rompin untuk menahan ketiga-tiga suspek berusia 22, 29 dan 38 tahun, sehingga 29 Ogos ini.


"Semua suspek dipercayai merupakan kenalan mangsa dan berasal dari kawasan penempatan yang sama," katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakaian Pangkat dan Serah Terima Tugas jawatan Timbalan Ketua Polis Pahang di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di Kuantan, Pahang, pada Selasa.


Beliau juga mengesahkan semua suspek tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai rekod kesalahan lampau.


Sementara itu, Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superintenden Mohd Azahari Mukhtar berkata, mangsa yang difahamkan tidak bersekolah ditemukan oleh sepupunya dalam keadaan berdarah di tangan dan kepala sebelum laporan polis dibuat pada 2.45 pada Ahad.


"Mangsa difahamkan tidak pulang ke rumah selepas keluar pada malam sebelumnya, menyebabkan bapa mangsa membuat laporan di balai polis berhampiran sebelum mayatnya ditemukan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.


Mayat mangsa yang dibawa ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di Kuantan akan dibedah siasat pada Selasa, bagi mengetahui punca kematian.


Mohd Azahari meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu agar menghubungi polis di 09-4145999 atau Pegawai Penyiasat Asistan Superintenden Abdul Khaliq Mustopa di 019-9999769.


Sumber: Bernama

'Video dashcam tunjuk ambulans berada di lokasi jam 6.19 pagi' - Saksi tampil nafi tuduhan ambulans lewat jadi punca kematian mangsa kemalangan



Tular di media sosial, seorang lelaki mendakwa ambulans lewat tiba di lokasi kemalangan yang menjadi punca kematian mangsa kemalangan di Jalan Pudu, jam 5.50 pagi, Selasa, 23 Ogos 2022. 


BACA: (Video) 'Sekarang senang cerita, (mangsa) sudah meninggal' - Lelaki dakwa petugas ambulans lambat sampai tetapi diselar netizen


Berdasarkan video tular tersebut, lelaki terbabit mendakwa mereka telah menghubungi talian kecemasan dan menunggu lebih dari satu jam untuk ambulans tiba di lokasi. 


Dalam video kedua pula, seorang lagi lelaki mendakwa ambulans lewat tiba di lokasi kira-kira dua jam, membuatkannya berang lalu melemparkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam terbabit. 


Bagaimanapun, seorang saksi kejadian tampil menafikan dakwaan tidak berasas itu dengan menunjukkan bukti video dashcam ketika melalui lokasi kejadian. 


"Kemalangan berlaku pada jam 5.50 pagi dan jam di dashcam kereta menunjukkan ambulans sudah berada di lokasi pada jam 6.19 pagi. 


"Jadi, di mana dakwaan yang mengatakan ambulans lewat satu ke dua jam?" kata Muhd Azul. 


Video dashcam yang didakwa sebagai bukti boleh ditonton di SINI.


Jelasnya lagi, ambulans bukan hanya digunakan untuk respon pada kes kecemasan sahaja. Antaranya, khidmat ambulans juga digunakan untuk membawa pesakit di wad yang dirujukkan ke hospital lain.


Terdahulu, tular di media sosial video seorang lelaki memarahi petugas ambulans yang didakwa lewat tiba ke lokasi kemalangan yang menyebabkan mangsa meninggal dunia. 


Dalam masa yang sama, lelaki itu turut membangkitkan soal perkauman yang mengundang kemarahan netizen. 

'Duit dalam akaun suami saya lesap!' - RM10,000 lesap dari akaun bank selepas install apps iPTV



Hasrat menamatkan langganan perkhidmatan TV berbayar dan digantikan dengan iPTV tidak kesampaian apabila pengadu bukan sahaja ditipu, malah wang simpanan dalam akaun bank turut dirembat oleh individu yang tidak bertanggungjawab. 


Menceritakan semula kronologi kejadian itu, Aisyah Nasri berkata, kejadian itu bermula pada 10 Ogos lalu dan mereka tidak menyangka tindakan tersebut menyebabkan mereka kerugian kira-kira RM10,000. 


"Saya cuba mencari iPTV apps, konon-konon nak terminate Astro sebab dah tak tengok sangat. Saya cuba cari apps itu di Facebook dan terjumpa satu profile premium TV 5G. 


"Saya mulakan chat dengan seller dan mahu mencuba apps itu. Seller menghantar apps itu di WhatsApp untuk dimuat turun dan kemudian diminta mendaftar sebagai pengguna baharu melalui apps tersebut. 


"Disebabkan saya menggunakan iPhone, maka aplikasi itu tidak dapat dibuka. Seller meminta saya membuka apps itu menggunakan telefon Android. Disebabkan 'kebijaksanaan'saya, saya hantar apps tersebut ke telefon suami. 


"Selepas daftar, kami cuba membuat pembayaran menggunakan Maybank2u, tetapi tidak berjaya. Kali kedua mencuba, masih tidak berjaya. Kemudian saya guna akaun bank suami pula, tetap tidak berjaya. Akhirnya kami biarkan saja," katanya. 


Jelas Aisyah, dia hanya menyedari wang simpanan dalam akaun bank hilang pada keesokan hari ketika dia cuba membuat pemindahan wang. Setelah disemak, terdapat dua transaksi pemindahan ke akaun suaminya sebanyak RM5,000.


"Saya terus call suami dan minta dia periksa. Tanpa fikir panjang, saya terus menghubungi Maybank untuk meminta pengesahan, bagaimana boleh berlakunya transaksi sedangkan saya tidak menerima sebarang nombor TAC. 


"Pegawai bertugas bertanya kepada saya, kalau saya ada memuat turun apa-apa apps baru-baru ini. Bingo! Memang dah kena scam! Apps itu malware! Bila kami cuba buat pembayaran tempoh hari, username dan password Maybank2u kami telah diambil tanpa sedar. 


"Memang RM10,000 itu masuk ke akaun suami saya. Tetapi duit itu telah dikeluarkan ke akaun Shopee. Jadi kami tidak dapat mengesan pergerakan duit itu. Duit dalam akaun suami saya juga lesap," jelasnya. 








Dalam pada itu juga, Aisyah mengakui silap dirinya menetapkan had pengeluaran RM10,000 sehari. Sekiranya dia lambat mengetahui kehilangan wang itu, mungkin RM10,000 yang seterusnya akan hilang. 


Justeru, Aisyah menasihatkan orang ramai untuk tidak memuat naik sebarang aplikasi yang mencurigakan dan menetapkan semula had pengeluaran harian di akaun bank masing-masing kepada jumlah yang paling rendah. 


Semakan suaminya juga mendapati, taktik scam menggunakan aplikasi sedemikian bukanlah perkara baru. Namun, mereka reda dengan apa yang berlaku dan berharap orang ramai tidak mengulangi kesilapan mereka. 


Sumber: Aisyah Nasri