Buat perhimpunan haram 'Hidup Najib & Bossku', penganjur akan dipanggil polis



Anjur perhimpunan Hidup Najib dan Bossku tanpa permit, polis akan memanggil individu yang bertanggungjawab di sebalik penganjuran perhimpunan penyerahan memorandum oleh sebuah badan bukan kerajaan (NGO) di Istana Negara semalam, lapor Free Malaysia Today. 


Ketua Polis Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, penganjur perhimpunan haram itu, Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara, tidak mengemukakan permohonan untuk berhimpun di depan Istana Negara pada jam 2 petang. 


Perhimpunan haram itu membabitkan 300 peserta yang lengkap berpakaian hitam, melaung 'Hidup Najib dan Bossku' dengan penuh bersemangat bagaikan tiada hari esok. 


Difahamkan, perhimpunan itu dilakukan bagi mendesak Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob campur tangan dan memohon pengampunan diraja terhadap Najib Razak, sehari selepas Ahli Parlimen Pekan itu dihukum penjara 12 tahun dan denda RM210 juta kerana menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd. 


Wakil NGO terbabit turut mengugut mahu mengadakan perhimpunan yang lebih besar sekiranya tiada apa-apa tindakan yang diambil dalam masa seminggu berhubung tuntutan mereka itu. 


"...jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi," kata Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz. 


Ugutan Syed Mohammad Imran itu mengundang rasa kurang senang netizen. Malah bekas ketua polis negara, Musa Hassan, juga berpandangan, perkara itu sepatutnya dibincangkan oleh pihak berkaitan, bukannya mengikut kehendak orang ramai. 


"(Perkara itu) perlu dibawa ke Lembaga Pengampunan dahulu untuk dibincangkan selepas menjalani hukuman dalam tempoh tertentu dan di atas laporan yang dibuat oleh Penjara Malaysia. Bukan boleh sesuka hati mengikut kehendak orang ramai," katanya. 


Menjawab soalan netizen apakah ugutan Syed Mohammad Imran itu boleh dikenakan tindakan, Musa Hassan berkata, perbuatan itu adalah satu ugutan jenayah di bawah Seksyen 503 Kanun Keseksaan. 

'Jangan dinafikan kebaikan yang pernah dibuatnya' - Ustazah Asma' Harun tegur netizen luah rasa gembira sehingga menghina Najib



Sehingga ke hari ini, hukuman yang telah dikenakan ke atas bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak masih lagi diperkatakan. Berita ini bukan sahaja mendapat liputan dalam negara, malahan pelbagai persepsi juga disuarakan oleh masyarakat di luar negara.


Sungguh pun begitu, berita ini disambut dengan pelbagai reaksi netizen. Namun berbeza bagi pendakwah bebas, Ustazah Asma’ Harun, yang memberi teguran kepada orang ramai yang ‘gembira’ sehingga mengeluarkan kata-kata hina terhadap Datuk Seri Najib.


Dalam masa sama, Ustazah  Asma’ meluahkan rasa terkilan melihat orang Islam khususnya menghina sesama sendiri di media sosial dengan perkataan yang kasar dan tidak sopan.


"Ramai yang bergembira semalam, cukup mengeluarkan kalimah syukur tanpa menghina individu terbabit. Undang-undang telah tertegak, apa keburukan berlaku pada dia kita tak boleh rasa gembira dengan ayat seperti padan muka, rasakan.


"Kebaikan pastinya pernah dibuat, jangan dinafikan perkara ini mustahil semuanya jahat dan keburukan," katanya.


Tambah Asma’, umat Islam di Malaysia tidak perlu mengagungkan politik sehingga saling bermusuhan sesama saudara seagama.


"Tak perlu kita timbulkan fitnah lain kerana ketidakpuasan hati kita, musuh Islam tepuk tangan lihat kita bergaduh sesama sendiri dan orang bukan Islam pula mengeratkan hubungan mereka.


"Sebagai orang beriman kita tak boleh menghina atau kita tak boleh bergembira di atas kecelakaan orang lain lebih-lebih lagi saudara sesama Islam kita, tak kira siapa, bahkan orang itu pernah menghina dan fitnah kita," pesannya.


@dillahussin hukuman penjara 12 tahun, bekas perdana menteri #ustazahasmaharun #ceramah #islam #islamituindah #najibrazak #datoserinajib #pm #perdanamenteri ♬ Kemarin - Seventeen


Sehubungan itu, Asma’ mengajak orang ramai untuk mendoakan Najib agar beliau dapat berubah menjadi seseorang yang lebih baik.


Sumber: Kosmo, TikTok DillaHussin

'Jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi' - NGO



Dianggarkan 300 orang penyokong Datuk Seri Najib berkumpul di hadapan Istana Negara semalam bagi menyerahkan memorandum pengampunan daripada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hanya selepas sehari bekas Perdana Menteri itu menjalani hukuman penjara.

Najib dijatuhi hukuman penjara 12 tahun, semalam, selepas gagal dalam rayuannya berhubung kes menyeleweng RM42 juta dana SRC International.


Penyokong Najib mendakwa bekas pemimpin itu tidak mendapat layanan yang adil kerana mahkamah menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak memasukkan bukti tambahan, serta enggan menangguhkan rayuan akhir kes berkenaan untuk memberi masa kepada peguam untuk bersedia.


Bagaimanapun, tiada sebarang kenyataan daripada pihak Najib sama ada beliau akan memohon pengampunan diraja.


Wakil kumpulan berkenaan, Syed Mohammad Imran Syed Abdul Aziz juga memohon Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mendesak pengampunan diraja.


"Jangan sentuh sorang pun ahli kami. Kami akan bersurai secara baik, tapi kami mohon jika minggu ini tidak berlaku apa-apa pengampunan terhadap Datuk Seri Najib, minggu depan kami akan datang dengan lebih besar lagi.



"Saya mohon Yang Amat Berhormat Perdana Menteri campur tangan dan pemimpin negara, pemimpin UMNO tarik sokongan terhadap kerajaan sekarang. Kerajaan campuran sekarang memang betul-betul tak guna," katanya.


Beliau juga mempersoalkan tindakan pemimpin UMNO dalam isu ini dan menyifatkan apa yang berlaku hari ini sebagai 'daripada singa akan jadi tikus'.


"Ada tak satu pemimpin Umno yang hadir? Tak ada satu pun pemimpin Umno hadir hari ini. Daripada 191 ketua bahagian, jika setiap ketua bawa 100 orang hari ini, ada 19,000 rakyat di sini.


"Satu bahagian pun tak gerak. Apa nak jadi dengan Umno? Jika, hari ini presiden Umno tak berkeras, PM tak buat sesuatu, saya selaku ahli Umno isytihar untuk keluar Umno sekarang.


"Saya tak perlu ada dalam parti. Baik kerjasama dengan DAP. Mereka boleh bersama pemimpin sehingga dia (pemimpin) meringkuk dalam penjara.


"Tapi, Umno hanya power (kuat) dalam media sosial, keluar (ke) jalan takut,"  kata Presiden Pertubuhan Jalinan Perpaduan Negara Malaysia itu yang mengaku sebagai anggota Umno.


Namun, tindakan penyokong Najib dibantah Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) yang melancarkan petisyen pada Rabu supaya Najib menjalani hukuman kerana beliau sudah menjalani proses sewajarnya, iaitu perbicaraan yang adil.


Lebih 30,000 orang sudah menandatangani petisyen itu setakat ini, dengan menyatakan Najib 'memalukan negara' dan harus menjadi contoh kepada mana-mana pemimpin yang berpendapat mereka boleh menyalahgunakan kuasa.


Sumber: MalaysiaKini, Harian Metro, TikTok Nazzmughni1

'Anak saya mungkin dijual kepada sindiket jika polis lambat kesan suspek' - Bayi 9 bulan diculik cucu pengasuh, berjaya diselamatkan



Seorang bayi perempuan berusia sembilan bulan dilarikan seorang remaja dari jagaan neneknya yang ketika itu sedang menunaikan solat. 


Lapor Kosmo, mangsa dilaporkan hilang pada jam 5.30 petang  dan gambar mangsa disebarkan oleh ibu bapanya di media sosial bagi mendapatkan bantuan orang ramai untuk mencari anaknya. 


Bagaimanapun, empat jam kemudian mangsa dikatakan telah ditemui dan suspek telah ditahan polis di Bukit Mertajam lewat malam kelmarin. 



Ibu mangsa, Farisha Amirah Zainal, 24, berkata kepada Malaysia Gazette, dia bersyukur anaknya, Noor Raisya Mohamad Rahimi, berjaya diselamat pihak polis. 


"Memang macam nak luruh jantung bila saya dengar jiran saya (pengasuh) maklumkan perkara itu. Saya terus menelefon keluarga termasuk yang berada di kampung sebelum suami pergi membuat laporan polis. 




"Sampai jam 9 malam, saya dan suami masih berurusan dengan polis sebelum saya kuatkan hati pulang ke rumah untuk solat. Selepas solat, tiba-tiba naluri hati saya kuat mengatakan anak kami akan kembali ke pangkuan. 


"Susulan itu saya siapkan kelengkapannya termasuk menyediakan susu serta pakaian dalam satu beg sebelum turun dan tunggu kehadirannya di pos pengawal pangsapuri kami," katanya. 


Pasangan itu kemudian menerima panggilan dari polis yang memaklumkan suspek telah berjaya dikesan tetapi bayi mereka tiada bersama dengan suspek. 


Selepas 10 minit kemudian, mereka mendapat panggilan yang memaklumkan Raisya berjaya ditemui dalam keadaan selamat dan telah dibawa ke Hospital Bukit Mertajam untuk pemeriksaan. 


"Memang bagaikan mimpi dan lembik lutut saya sebaik dapat memegang dan peluk anak di hospital. Selalu dengar cerita sahaja anak diculik, tetapi tak sangka kami sendiri melalui kejadian ngeri itu. 


"Anak saya itu mungkin dijual kepada sindiket sekiranya pihak polis lambat mengesan suspek, memandangkan bayi kami ditemui dalam sebuah van yang dipercayai dalam perjalanan ke sempadan negara jiran, melalui negeri di pantai timur," katanya. 


Sementara itu, lima individu termasuk suspek remaja perempuan bawah umur itu direman selepas polis mendapat perintah dari Mahkamah Bukit Mertajam, semalam. 


Suspek terdiri daripada dua wanita dan tiga lelaki berusia lingkungan 14 hingga 43 tahun itu direman selama empat hari untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 363 Kanun Keseksaan kerana menculik.


Sumber: Kosmo, Malaysia Gazette

Peguam Diraja UK cabar keputusan Mahkamah Tinggi, gigih nak mewakili Najib



Peguam Diraja dari United Kingdom Jonathan James Laidlaw telah memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang menolak permohonannya untuk mewakili Najib Razak dalam rayuan terakhirnya membabitkan penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.


Notis rayuan itu difailkan di Mahkamah Persekutuan pada 22 Ogos lepas menerusi Tetuan Shafee & Co yang mewakili Laidlaw selaku perayu.


Menerusi notis itu, Laidlaw merayu terhadap keseluruhan keputusan hakim Ahmad Kamal Md Shahid pada 21 Julai lepas yang menolak permohonannya tanpa kos.


Rayuan itu dibuat selaras dengan peruntukan di bawah Seksyen 19 Akta Profesion Undang-Undang 1976.


Peguam Muhammad Farhan Muhammad Shafee ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.


Pada 21 Julai lepas, Ahmad Kamal menolak permohonan itu atas alasan Laidlaw gagal membuktikan dia memiliki kelayakan khas dan pengalaman untuk mengendali rayuan atau pertuduhan terhadap Najib yang membabitkan Seksyen 23 Akta SPRM 2009, Seksyen 409 Kanun Keseksaan serta Seksyen 4 Akta Pencegahan Pengubahan wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.


Najib memfailkan permohonan itu pada 31 Mei lepas bagi membolehkan Laidlaw mewakilinya dalam rayuan kes SRC atas beberapa alasan antaranya dia memiliki kelayakan, pengalaman dan kepakaran khas yang tidak terdapat dalam kalangan peguam di Malaysia.


Melalui notis usul itu, Laidlaw memohon supaya diterima masuk dan didaftarkan bagi menjalankan amalan di Mahkamah Tinggi di Semenanjung Malaysia untuk bertindak sebagai peguam utama Najib dalam rayuan kes SRC di Mahkamah Persekutuan serta semua sebab atau perkara lain yang berkaitan dengannya.


Semalam, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun yang dijatuhkan ke atas bekas perdana menteri itu bagi kesalahan menyeleweng dana SRC International.


Sumber: Bernama