Penat main futsal, alasan si lelaki check in dengan kekasih di hotel bajet Melaka

Foto Kosmo! Online


Operasi mencegah maksiat di malam ambang merdeka yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) berjaya mencekup dua pasangan kekasih yang disyaki berkhalwat di hotel bajet. 


Dalam kes pertama, sepasang kekasih masing-masing berusia 19 tahun dicekup berkhalwat di sebuah hotel bajet di Bukit Beruang.


Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, pasangan terbabit yang juga merupakan pelajar institut pengajian tinggi awam (IPTA) gagal mengemukakan sebarang dokumen yang menunjukkan mereka mempunyai hubungan mahram atau suami isteri. 


Ketika disiasat, si lelaki terbabit memberi alasan bahawa dia kepenatan selepas bermain futsal lalu mengambil keputusan untuk menginap di hotel itu sambil menemani teman wanitanya menyelesaikan tugasan universiti. 


Namun, pemeriksaan JAIM mendapati, tiada sebarang pakaian sukan ditemui dalam beg pakaian. 


Dalam serbuan kedua, sepasang kekasih berusia 22 dan 25 tahun ditahan di sebuah hotel bajet di Bachang pada jam 2.45 pagi. 


Pasangan itu berkata, mereka hanya sekadar berehat di hotel itu kerana terlalu penat untuk pulang ke rumah. Tetapi siasatan mendapati, lelaki terbabit menetap di sekitar Cheng, manakala teman wanitanya pula menetap di Jasin.


Kedua-dua pasangan itu ditahan dan dibawa ke JAIM untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 53 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991. 


Sumber: Kosmo! Online

Keputusan siasatan kes kematian Adib akan dibentang kepada Kabinet September ini



Laporan Penuh Jawatankuasa Khas Siasatan Kes Kematian anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim dijangka akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri bulan hadapan.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata ia berikutan kerajaan telah menerima laporan penuh berkenaan daripada jawatankuasa yang memulakan proses siasatan sejak 21 Dis tahun lepas itu, semalam.


"Laporan Jawatankuasa Khas ini disiapkan dalam tempoh yang ditetapkan iaitu sebelum 31 Ogos 2022.


"Laporan yang disediakan ini telah mengambil kira pelbagai perspektif dan pandangan daripada pakar-pakar yang dilantik dan wakil kementerian, jabatan serta agensi berkaitan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Khas berkenaan berkata Jawatankuasa Khas itu telah melaksanakan pelbagai inisiatif untuk mengenal pasti punca kematian termasuklah sesi temu bual saksi-saksi kes dan sesi penelitian dokumen-dokumen siasatan di War Room Jawatankuasa yang diadakan hampir setiap minggu.


Selain itu Wan Junaidi berkata Sesi Rekonstruksi Kejadian juga telah diadakan dengan semua agensi berkaitan bertujuan untuk membuat simulasi kejadian berdasarkan kepada rakaman litar tertutup (CCTV), rakaman-rakaman video serta keterangan daripada saksi-saksi kejadian.


"Adalah menjadi harapan kerajaan, agar laporan ini dapat menjawab persoalan orang ramai berhubung insiden ini.


"Kerajaan juga berharap agar laporan ini dapat dijadikan panduan bagi mengelakkan insiden seumpama ini daripada berulang di masa hadapan," katanya.


Pada 9 Okt tahun lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan penubuhan satu jawatankuasa khas bagi memastikan siasatan menyeluruh, telus dan pembelaan sewajarnya berhubung kes kematian Muhammad Adib.


Muhammad Adib yang merupakan anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, cedera semasa rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya pada 27 Nov 2018 dan meninggal dunia pada 17 Dis 2018, selepas berjuang untuk hidup selama 21 hari.


Allahyarham dikatakan diserang serta dipukul hingga parah dan jentera bomba dirosakkan selain dua kenderaan lain dibakar dalam rusuhan yang berlaku berikutan perselisihan antara dua kumpulan mengenai isu perpindahan tapak kuil berusia lebih 100 tahun itu.


Prosiding inkues bagi menyiasat kematian Muhammad Adib di Mahkamah Koroner Shah Alam di hadapan Koroner Rofiah Mohamad berlangsung selama 41 hari dan berakhir 24 Julai 2019. Seramai 30 saksi dipanggil dan 137 bahan bukti dikemukakan.


Pada 27 Sept 2019, Mahkamah Koroner memutuskan kematian Muhammad Adib adalah perbuatan jenayah dilakukan lebih dua individu tidak dikenali.


Sumber: Bernama

Wanita sangka dirinya dicabul 'hantu', selepas periksa video CCTV, rupa-rupanya tuan rumah datang ambil kesempatan



Seorang wanita menyangka dia telah dicabul oleh hantu selama ini, rupa-rupanya tuan rumah telah menceroboh bilik tidurnya pada waktu malam. 


Lapor Daily Star, wanita Singapura itu menetap di perumahan awam mendakwa dia telah disentuh dan dicium oleh hantu ketika dia sedang tidur. 


Berkata kepada mahkamah Singapura, dia berkata dada dan kemaluannya telah disentuh tetapi dia tidak dapat melihat apa-apa kecuali kelibat 'lembaga' kerana keadaan pada ketika itu sangat gelap. 


Video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) kemudian menunjukkan 'hantu' tersebut adalah tuan rumahnya berusia 38 tahun, bukannya hantu dari alam paranormal. 


Suspek telah ditahan dan mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan melakukan serangan seksual. 


Portal berita Shin Min melaporkan, pada 29 Ogos, mangsa yang kini berusia 30 tahun memberi keterangannya mengenai kejadian itu di mahkamah. 


Mangsa berkata, dia dan teman lelakinya menyewa kediaman itu dari Mei 2021 dan pada bulan Jun. Suspek telah mengadakan pesta dan menjemput mereka untuk turut serta. 


Mangsa mengakui dia berasa agak mabuk dan mengambil keputusan untuk pulang serta terus tidur. Tetapi dia terjaga dari tidurnya pada waktu malam selepas mendapati mulutnya dicium dan seluruh badannya dibelai. 


Mangsa pada mulanya menyangka individu itu adalah teman lelakinya tetapi mula berasa curiga apabila mendapati lelaki itu berambut, sedangkan teman lelakinya botak. 


Insiden itu berlarutan kira-kira 10 minit sebelum teman lelakinya kembali setelah selesai mandi. 


Dengan hanya dua lelaki di dalam rumah, mereka menyangka individu itu adalah tuan rumah walaupun teman lelaki mangsa tidak menolak kemungkinan mangsa telah diganggu oleh hantu kerana dia hanya sekadar dapat melihat bayang-bayang. 


"Teman lelaki saya juga ada mendengar bahawa tuan rumah dan isterinya selalu pergi ke Thailand untuk berdoa kepada Tuhan," kata mangsa. 


Pasangan berkenaan bagaimanapun tidak terus melaporkan kejadian itu kepada polis. Sebaliknya mereka memasang kamera CCTV dan berhenti tidur tanpa seurat benang. 


Suspek kemudian menganjurkan lagi pesta kali kedua pada 14 Ogos dan sekali lagi mangsa tertidur awal. Rakaman pada jam 12.56 pagi menunjukkan mangsa telah memadamkan lampu dan kamera serta-merta terus bertukar kepada mod penglihatan malam. 


Tidak beberapa lama kemudian, suspek masuk ke dalam bilik lalu menyentuh mangsa dan berkata, "Teman lelaki awak sedang mandi, awak okey?" katanya sebelum beredar. 


Menjelang akhir Ogos, pasangan itu berpindah ke rumah baru selepas trauma dengan kejadian itu. Malah, mereka telah mendapatkan kembali wang deposit daripada isteri suspek. 


Sumber: Daily Star

'Korang dah kenapa?' - DBKL kecewa pengunjung perarakan Hari Merdeka musnahkan tanaman hiasan, tetapi disekolahkan balik oleh netizen



Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meluahkan rasa kecewanya "Korang dah kenapa?" terhadap tindakan sesetengah orang awam yang datang menyaksikan perarakan Hari Merdeka ke-65 sehingga merosakkan tanaman hiasan di beberapa lokasi yang dikenal pasti. 


Menurut kenyataan yang dimuat naik di Facebook rasminya, DBKL tidak menafikan keterujaannya melihat lautan manusia yang membanjiri jalan-jalan di sekitar Dataran Merdeka pagi semalam. 


"Semangat cintakan negara seperti inilah yang kita mahukan. Tapi dalam pada itu, ada pula sesetengah di kalangan kita yang langsung tidak mempedulikan persekitaran dan keindahan kawasan.


"Langsung rasa tak bersalah merosakkan landskap yang disemai cantik. Semangat itu dah bagus, tapi caranya tak betul," kata kenyataan itu. 


DBKL turut memuat naik gambar dan  video tanaman hiasan itu dirosakkan, mengundang pelbagai reaksi netizen. 



Ada yang mencadangkan penganjuran Hari Merdeka diadakan di kawasan yang lebih luas, tidak kurang juga yang menyalahkan DBKL yang tidak menyediakan tempat letak kenderaan untuk para pengunjung, selain tidak membuat persediaan awal sedangkan Hari Kemerdekaan telah berpuluh kali dianjurkan di lokasi yang sama. 





Sumber: Facebook DBKL

Bakal pengantin dicekup khalwat, disyaki buat 'rehearsal' di malam ambang merdeka



Pasangan kekasih yang sudah dua tahun bertunang dan bakal melangsungkan pernikahan pada Oktober ini dicekup berkhalwat di sebuah hotel di Sungai Petani, semalam. 


Dalam serbuan yang dilakukan oleh anggota penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Kuala Muda (PADKM) pada jam 1 pagi itu menahan pasangan berkenaan yang berasal dari Serdang, Bandar Baharu. 


Ketika disoal siasat, perempuan berusia 19 tahun mengaku sanggup mengambil cuti sakit semata-mata mahu meraikan sambutan Ambang Merdeka bersama tunangnya berusia 23 tahun dengan menyewa di hotel bajet. 


Bagaimanapun, hasrat mereka untuk menyambut ambang merdeka tidak kesampaian apabila mereka dan lima lagi pasangan lain ditahan oleh PADKM yang turut disertai oleh anggota polis Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kuala Muda, Cawangan Penyiasatan Khas, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Skuad Badar. 


Pegawai Agama Daerah Kuala Muda, Mohd Noor Ismardi Ismail berkata, dalam operasi yang dilakukan dari jam 12 pagi hingga 15 pagi itu turut menahan seorang lelaki yang bersembunyi di atas siling. 


"Sebaik pintu bilik hotel dibuka, didapati wanita berusia 20-an mengaku bersendirian. Tetapi selepas pemeriksaan lanjut, kita mendapati teman lelakinya bersembunyi di siling sebelum memintanya turun. 


"Mereka gagal menunjukkan sebarang bukti mempunyai hubungan suami isteri atau mahram sehingga menimbulkan syak mereka berkhalwat. 


"Kelima-lima pasangan itu yang berusia antara 19 hingga 40 tahun itu kemudian dibawa ke balai polis berhampiran dan kes disiasat mengikut Seksyen 25 Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Kedah 2014," katanya. 


Sumber: Harian Metro