Guru lapor polis, 2 pelajar perempuan rakam video & dakwa dirinya sedang alami ereksi ketika mengajar



Baru-baru ini seorang guru lelaki mendakwa dua pelajar perempuan bertindak merakam video kemaluannya secara sembunyi ketika dia sedang mengajar di dalam kelas. 


Video itu kemudian ditularkan di media sosial dan pelajar terbabit mendakwa pengadu mengalami ereksi ketika mengajar, mengundang pelbagai reaksi netizen.


Walaupun dalam video berdurasi 40 saat itu tidak menunjukkan wajah pengadu, namun suaranya yang sedang mengajar dapat dicam oleh rakan setugas, lalu memaklumkan penularan video mengaibkan itu kepada pengadu. 


Pengadu cuba menjelaskan bahawa, bonjolan yang ditunjukkan dalam video tersebut bukanlah seperti yang disangkakan, tetapi bonjolan itu berlaku disebabkan telefon bimbitnya yang diletakkan dalam poket seluar. 


Malangnya penjelasan itu tidak mengubah apa-apa dan maruah dirinya sebagai guru sudah tercalar. 




23 Ogos, guru berusia 26 tahun berkenaan tampil membuat laporan polis kerana kesal dengan penularan video itu yang telah menjejaskan reputasinya sebagai warga pendidik. 


Dua pelajar perempuan yang merakam dan menularkan video itu juga telah dipanggil ke pejabat pengetua sekolah untuk siasatan dan dikenakan hukuman serta merit dipotong kerana tidak menghormati guru.


Pihak sekolah turut menekankan, sekiranya guru berkenaan didapati bersalah, pihaknya akan mengambil tindakan tegas bagi menjaga keselamatan para pelajar. 


Sumber: China Press, World of Buzz

(Video) Rakaman audio 'Can I advise you something' dalam nada memerintah, bukti Rosmah kawal Najib - Mahkamah



Mahkamah Tinggi di Kuala Lumpur hari ini memutuskan bahawa Datin Seri Rosmah Mansor telah menguasai suaminya, Datuk Seri Najib Tun Razak, dan mempunyai kawalan ke atas bekas Perdana Menteri itu.


Dalam penghakiman setebal 116 halaman, Hakim Mohamed Zaini Mazlan berkata adalah jelas daripada rakaman audio itu bahawa tertuduh memberi arahan kepada Najib berhubung urusan kerajaan.


Beliau merujuk kepada klip audio "Can I advise you something" antara Najib dan Rosmah yang tular sebelum ini.


@daretopostmedia Rakaman Audio Rosmah Jerit & Marah Dekat Najib Soalan Menarik : Lokman Adam Mahu Pertahankan Najib Atau Rosmah ? 😂 #najib #najibrazak #rosmah #rosmah #datin #malaysia #malaysiatiktok #viral #viralvideo #viraltiktok #umno #umnomalaysia ♬ bunyi asal - daretopostmedia


"Dalam pernyataan saksinya, tertuduh tidak menafikan bahawa suara dalam rakaman audio itu adalah milik beliau dan Najib. Tidak kurang daripada tiga saksi iaitu Datuk Rizal Mansor (bekas pembantu Rosmah), bekas Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Ketua Setiausaha kementerian itu Tan Sri Madinah Mohamed, secara positif telah mengenal pasti suara dalam rakaman itu adalah milik Najib serta tertuduh.


"Mereka sudah biasa mendengar suara Najib dan tertuduh. Saya tidak meragui bahawa mereka adalah betul. Tertuduh telah cuba untuk meremehkan perbualan itu dengan mengaitkannya kepada perbincangan biasa di antara suami dan isteri. Bagaimanapun, ia bukanlah perbualan biasa antara pasangan suami isteri kerana ia membabitkan urusan kerajaan," katanya.


Mohamed Zaini berkata nada suara tertuduh juga bersifat memerintah dan bercanggah dengan dakwaannya bahawa beliau mematuhi larangan Najib untuk tidak mencampuri urusan kerajaan.


“Saya menyatakan perkara ini dengan penuh rasa hormat namun adalah jelas bahawa tertuduh menguasai Najib. Beliau mempunyai kawalan ke atasnya. Beliau tidak berhak untuk campur tangan dalam tugas Najib atau urusan kerajaan, tetapi beliau telah melakukannya,” kata hakim itu.


Beliau juga berkata Rizal bercakap benar apabila menyatakan bahawa tertuduh mempunyai sikap suka menguasai orang lain dan berupaya mempengaruhi keputusan dalam perkhidmatan awam kerana sudah lama bekerja dengannya serta mungkin telah menyaksikan sendiri perkara ini.


“Hakikat bahawa individu seperti Mahdzir, Madinah dan Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad tidak pernah mempersoal sebarang pertanyaan atau arahan daripada tertuduh atau Rizal menambahkan keyakinan terhadap faktor ini. Tertuduh bukanlah orang yang boleh diambil kesempatan oleh Rizal.


“Beliau memiliki perwatakan yang keras dan tidak akan teragak-agak untuk menegur sesiapa sahaja. Ia juga terbukti semasa perbicaraan apabila beliau tidak gentar ketika disoal balas oleh timbalan pendakwa raya yang bijaksana, yang saya rasakan bukan suatu perkara yang boleh dipandang enteng berdasarkan kewibawaannya.


Mohamed Zaini juga berkata pembelaan Rosmah bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan hanyalah dengar cakap kerana Najib tidak memberi keterangan di mahkamah.


Beliau berkata tertuduh dengan tegas menafikan telah campur tangan dalam mana-mana projek kerajaan terutama projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak.


“Beliau berkata Najib telah mengingatkannya agar tidak terlibat dengan mana-mana kontraktor dan beliau harus taat sebagai isterinya.


“Tertuduh berkata beliau takut Najib marah dan tidak akan sesekali cuba mempengaruhinya apatah lagi memaksa atau menasihati beliau berhubung urusan kerajaan,” katanya.


Hakim itu berkata semua kenyataan yang dikaitkan dengan Najib adalah bersifat dengar cakap dan tidak boleh diterima sebagai bukti kerana Najib tidak memberi keterangan dan hanya beliau sahaja yang boleh mengesahkan apa yang didakwa oleh tertuduh.


Mohamed Zaini juga berkata beliau mengakui bahawa Datuk Aazmey (Setiausaha UMNO Pekan Datuk Ahmad Aazmey Abu Talib) telah memainkan peranan penting dalam mendapatkan minit mesyuarat daripada Najib untuk kepentingan Jepak Holdings Sdn Bhd namun fakta itu turut membuktikan bahawa tertuduh turut memainkan peranan yang penting.


“Sebagai contoh, tertuduuh telah memberitahu Madinah "You tengok sikit projek solar Jepak. Cepatkan sikit" pada satu majlis Permata. Tiada sebab untuk Madinah mengada-adakan cerita untuk mengaitkan tertuduh. Apa motif beliau? Jika ada, perkara ini tidak pernah dikemukakan kepada beliau,” katanya.


Hakim itu juga berkata Rosmah mendakwa Mahdzir dan bekas Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan Datuk Seri Alias Ahmad mempunyai kepentingan dalam projek itu dan mereka telah melemparkan fitnah terhadapnya untuk melindungi salah laku mereka.


Katanya beliau tidak menemui bukti yang boleh dipercayai bagi membuktikan Mahdzir atau Alias telah cuba mengaut keuntungan daripada projek itu dan terdapat juga banyak tuduhan yang dilemparkan terhadap mereka semasa soal balas, terutamanya Mahdzir.


“Berdasarkan pemerhatian saya, Mahdzir dengan tegas telah menafikan semua tuduhan itu. Beliau tidak pernah menunjukkan sebarang tanda gugup atau bimbang dalam menyangkal tuduhan negatif yang dilemparkan semasa sesi soal balas,” katanya.


Mohamed Zaini berkata pada pandangan beliau, Mahdzir cuba melakukan perkara yang betul.


“Memandangkan Saidi Abang Samsudin, ketika itu Pengarah Urusan Jepak Holdings, adalah kawan rapat (Mahdzir), beliau boleh sahaja mendapatkan manfaat untuk Jepak dengan mudah.


“Keterangan menunjukkan bahawa Mahdzir mahu Jepak melalui proses yang sepatutnya. Beliau tidak mahu jalan pintas diambil berkaitan prosedur Kementerian Pendidikan. Malah beliau cuba memujuk Najib sebanyak dua kali secara peribadi,” katanya.


Hakim itu berkata pada kali pertama, Mahdzir cuba meyakinkan Najib menggunakan tender terbuka bagi projek tersebut dan bukan melalui rundingan terus dengan Jepak.


“Najib bertegas dan menyuruh beliau melaksanakan arahannya. Pada kesempatan kedua, Mahdzir menasihati Najib untuk menangguhkan pengeluaran surat penganugerahan kontrak kepada Jepak kerana syarikat itu tidak memenuhi kebanyakan syarat kementerian itu,” katanya.


Beliau berkata Mahdzir juga mengadu kepada Najib berkaitan gangguan berterusan Saidi dan rakan niaganya Rayyan Radzwill Abdullah serta sikap tidak hormat mereka kepadanya sebagai seorang Menteri.


“Bagaimanapun, Najib sekali lagi tidak mengendahkan rayuannya dan mengarahkan beliau agar mengikut arahannya. Sungguh menakjubkan bahawa kontrak bernilai RM1.25 bilion boleh diberikan hanya dengan mencatat minit tanpa melalui prosedur sewajarnya yang diharap dapat berfungsi sebagai semak dan imbang,” katanya.


Mohamed Zaini juga berkata terdapat dua insiden yang begitu menonjol dan membuktikan terdapat campur tangan aktif daripada tertuduh dalam projek itu.


“Pertama, terdapat insiden yang menyaksikan Datuk Othman Semali daripada Kementerian Kewangan memarahi Datuk Rizal Mansor, pada masa itu adalah pegawai khas di Pejabat Perdana Menteri dan Saidi ketika mereka datang berjumpa beliau dengan membawa surat mengandungi minit yang menyatakan persetujuan Najib agar Kementerian Pendidikan berunding terus dengan Jepak.


“Ketika memarahi kedua-dua individu, Othman memberitahu mereka bahawa beliau berkhidmat untuk orang ramai dan bukannya ahli politik. Apabila mereka mengadu kepada Rizal, beliau memaklumkan perkara itu kepada tertuduh yang kemudiannya memberitahu Rizal: "Aku dah cakap dengan laki aku dah." Beberapa hari kemudian, kelulusan daripada Kementerian Kewangan dikeluarkan,” katanya.


Hakim itu berkata kali kedua adalah apabila Saidi dan Rayyan mempunyai masalah dengan klausa 11 dalam surat penganugerahan kontrak itu yang menyaksikan Mahdzir tidak melayan mereka ketika mereka datang berjumpa dengan beliau serta meminta agar klausa itu dikeluarkan.


“Perkara itu berubah apabila Saidi menghubungi Rizal dan menyerahkan telefon kepada Mahdzir. Rizal memberitahu Mahdzir untuk melakukannya dan mengingatkan beliau bahawa "Mem" iaitu tertuduh prihatin dengan projek itu. Perkara itu sudah memadai untuk memaksa Mahdzir mengarahkan para pegawainya untuk mengeluarkan klausa 11.


“Insiden ini berlaku selepas Mahdzir berjumpa Najib sebanyak dua kali. Adalah jelas kepada Mahdzir bahawa tertuduh berada dalam kumpulan "Jepak." Beliau tidak silap,” katanya.


Sumber: Bernama

'Lebih baik bunuh saja saya' - Rosmah sedih, sumbangannya sebagai First Lady of Malaysia tidak diambil kira



Semalam dalam kandang tertuduh di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datin Seri Rosmah Mansor dalam perbicaraan kes rasuahnya berhubung projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak mengakui dia selama ini bercakap benar dan tidak pernah mempengaruhi suaminya (Najib Razak). 


"Bagi saya, mahkamah adalah di mana terdapat keadilan. Saya sentiasa beritahu peguam untuk bercakap benar, itu cara saya dibesarkan. Saya tidak mahu lebih dan saya hormati keputusan. 


"Saya ingin meninggalkan mahkamah ini dengan cara baik. Saya pernah menjadi First Lady of Malaysia. 


"Saya tidak tahu pun jumlah kos projek sebanyak itu (RM1.25 bilion). Saya hanya bercakap benar dan tiada lain hanya kebenaran. 


"Jadi apabila saya didakwa di mahkamah, saya terkejut. Saya juga tidak pernah mempengaruhi suami. Setiap kali saya buka mulut, dia akan kata awak isteri saya jangan masuk campur," katanya. 


Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan Rosmah bersalah terhadap tiga pertuduhan rasuah membabitkan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion. 


Sementara itu, peguamnya, Datuk Jagjit Singh pula mengemukakan rayuan supaya anak guamannya dikenakan hukuman ringan iaitu hukuman penjara sehari dan denda minimum, berbanding 10 tahun penjara dan denda RM970 juta. 


Ini kerana Rosmah juga telah berbakti kepada negara sebagai isteri kepada Perdana Menteri dalam membantu anak-anak kecil yang tidak diberi pendidikan. Selain itu, Rosmah juga mempunyai masalah kesihatan. 


Tetapi, Timbalan Pendakwa Raya Kanak, Datuk Seri Gopal Sri Ram menggesa mahkamah mengambil kira tahap serius kesalahan berkenaan dan sewajarnya Rosmah dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan denda lima kali jumlah suapan diterima. 


"Sebarang keputusan harus membuat mereka yang ingin mengambil rasuah tidak berbuat demikian. Jika hanya penjara sehari, ia akan memberi isyarat yang salah kepada rakyat. 


"Maksimum atau hampir maksimum hukuman perlu diberikan. Korupsi adalah kesalahan serius,"katanya. 


Mendengar kata-kata itu, Rosmah terus berkata, "Lebih baik bunuh saja saya". 


Mahkamah bagaimanapun membenarkan pelaksanaan hukuman ditangguhkan dan Rosmah diberi peluang untuk mengemukakan rayuan. 


Sumber: Harian Metro

Duda maut dibelasah rakan menggunakan kayu selama sebulan kerana malas bekerja



Seorang lelaki berstatus duda dilaporkan maut akibat kerap dibelasah rakan serumahnya sejak sebulan yang lalu.


Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan berkata, mangsa berusia 39 tahun itu disahkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), pada jam 3.40 petang semalam, selepas didapati tidak sedarkan diri di rumah kenalannya.


Pemeriksaan pada mayat mangsa mendapati, terdapat kesan kecederaan parah di seluruh badan yang dipercayai kesan pukulan kayu menjadi punca kematiannya. 


Lapor portal Utusan, mangsa baru sahaja bercerai dengan isterinya beberapa bulan lalu. Mangsa bersama seorang anak lelakinya tinggal di rumah rakannya, manakala dua lagi anaknya tinggal bersama bekas isteri di kawasan perumahan yang sama. 


Siasatan awal polis mendapati, mangsa selalu dipukul oleh rakannya kerana dikatakan tidak mahu bekerja. Kejadian itu juga sering disaksikan oleh jiran berdekatan tetapi mereka tidak berani mencampuri hal itu kerana menerima ugutan daripada rakan mangsa yang dipercayai ahli kongsi gelap. 


Susulan kejadian itu, polis telah menahan rakan serumah mangsa dan ketika disoal siasat, suspek mengakui telah memukul mangsa menggunakan kayu dan tangan sejak sebulan lalu. 


Suspek berkata, dia bertindak sedemikian kerana bengang dengan mangsa yang tidak mahu bekerja, selain kerap memukul anaknya sendiri. 


Semakan rekod turut mendapati suspek mempunyai lima rekod lampau berkaitan kes dadah dan jenayah. Suspek direman selama seminggu untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan. 


Sumber: Utusan Online

Rosmah disabitkan bersalah atas pertuduhan meminta & menerima rasuah



Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan Rosmah Mansur bersalah atas tiga pertuduhan rasuah yang membabitkan projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar di sekolah luar bandar di Sarawak bernilai RM1.25 bilion. 


Keputusan itu dibuat selepas Hakim Mohamed Zaini Mazlan mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah ke atas kes pendakwaan. 


Rosmah didapati bersalah atas semua pertuduhan dan Harian Metro melaporkan Rosmah akan mengemukakan rayuan. 


Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Datuk Seri Gopal Sri Ram, Ahmad Akram Gharib, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam, Nadia Mohd. Izhar dan Poh Yin  Tinn, manakala Rosmah pula diwakili Peguam Datuk Akberdin Abdul Kader, Datuk Jarjit Singh dan Azrul Zulkifli Stork. 


Rosmah sebelum ini membuat pengakuan tidak bersalah terhadap pertuduhan meminta rasuah RM187.5 juta dan menerima RM1.5 juta pada 15 November 2018 di Mahkamah Sesyen, berhubung projek pembekalan dan pemasangan tenaga solar berkenaan. 


Difahamkan, wang itu adalah sebagai upah bagi membantu Jepak Holdings untuk mendapatkan Projek Bersepadu Sistem Solar Photovoltic (PV) Hibrid dan Penyelenggaraan serta Operasi Genset/Diesel bagi 369 Sekolah Luar Bandar Sarawak bernilai RM1.25 bilion secara rundingan terus daripada Kementerian Pendidikan. 


Rosmah didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penajra maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana lebih tinggi. 


Sumber: Harian Metro