'Kalau nak pindah nanti, jangan guna servis lori ni' - Wanita dakwa di-scam pemandu lori, nyaris rugi beratus ringgit



"Jangan guna perkhidmatan syarikat lori ini, kalau nak berpindah nanti," demikian kata wanita yang mendakwa dirinya menjadi mangsa penipuan syarikat perkhidmatan lori, pada 11 Januari lalu melalui hantarannya di Facebook. 


Dua hari sebelum itu, pengadu telah menghubungi syarikat perkhidmatan lori tersebut. Setelah berbincang, pengadu bersetuju menggunakan khidmat lori satu tan dengan dua pekerja untuk memindahkan barangannya ke rumah baharu dengan bayaran RM250. 


Difahamkan, pengadu mengetahui mengenai syarikat itu melalui Facebook dan bersetuju menggunakan perkhidmatan mereka setelah membaca maklum balas daripada pengguna sebelum ini. 


Malangnya pada hari kejadian, lori yang datang bukanlah lori satu tan. Sebaliknya lori lima tan yang muncul di depan kediamannya. 


"Saya pun hairan, kenapa lori lebih besar pula datang, bukannya lori satu tan tetapi lori lima tan. 


"Pemandu lori menjelaskan, selepas selesai memunggah dan memindahkan barang saya, mereka akan terus buat kerja yang seterusnya. Kiranya sekali jalanlah. 


"Jadi, saya pun teruskan saja tanpa bertanya banyak soalan. Maka bermulalah dramanya di situ," katanya. 


Jelas pengadu, dia tidak mempunyai barang yang banyak. Apa yang dibawa hanyalah seperti mesin basuh 9.5 kilogram, meja solek, meja dengan dua kerusi, tilam saiz king dan beberapa kotak kecil yang mengandungi barangan peribadi. 


Selepas semua barangan besar dimasukkan ke dalam lori, pengadu dimaklumkan bahawa hanya barangan itu sahaja yang muat bagi lori satu tan (rujuk gambar). 


"Saya terkejut sebab seingat saya pada kali terakhir berpindah, lori satu tan masih boleh muat banyak barang. Selepas kami berbincang, pemandu lori minta saya upgrade kepada lori dua tan. Saya pun setuju saja sebab saya memang nak pindah dan tiada masa untuk mencari lori lain. 


"Kemudian saya bertanya berapakah harga untuk lori dua tan. Dia kata dengan berlagaknya, "Double lah!", yang mana kosnya adalah sebanyak RM500. Saya pun redha lah. 


"Tiba-tiba selepas semua barang dibawa turun, pemandu itu sekali lagi kata lori dua tan dah penuh, tak muat untuk sumbat barang lain. Dia meminta saya upgrade lagi. 


"Saya dah macam, kau biar betik? Saya dah mula hilang sabar dan tegaskan bahawa dia tak boleh buat saya begini. Macam mana nak tahu lori satu atau dua tan dah penuh kalau dia yang bawa lori lima tan datang ke rumah dan kemudian bising cakap dah penuh?" katanya. 


Selepas bertekak di depan rumah, pengadu membuat aduan mengenai perkara itu kepada pihak pengurusan syarikat lori itu. Namun sia-sia kerana pegawai yang bertanggungjawab didakwa berlagak dan biadab sehingga menyebabkan pengadu terpaksa bergaduh dengan mereka. 


Disebabkan tiada jalan penyelesaian, akhirnya semua barangan pengadu dikeluarkan semula dan pemandu lori itu beredar begitu sahaja. 


"Saya memang tidak sarankan servis syarikat perkhidmatan lori ini. Bila dah baca feedback pelanggan yang pernah menggunakan perkhidmatan mereka di Google Reviews. Rupanya ramai yang menerima nasib sama seperti saya. Ada yang kena scam sampai RM1,000+. 


"Kalau ada yang tak kisah nak bayar mahal, teruskan saja. Tetapi saya kisah," katanya. 


Sumber: Facebook pengadu

'Saya tak bersetuju penyondol dalam istilah isteri kedua' - DDNK akui lebih kerap ke masjid selepas kahwin dengan isteri kedua



Sekian lama menyepi dari bualan netizen di media sosial, pasangan DDNK dan isterinya kembali menarik perhatian netizen untuk berkongsi pendapat masing-masing mengenai kenyataan baharu pakar pelaburan saham berkenaan yang baru-baru ini disiarkan oleh Harian Metro. 


Datuk Dr Mohd Nazri Khan Adam Rasol Khan (DDNK), 48, berkata, semenjak berkahwin dengan Tuan Nor Ernie Rossmeris Tuan Zahari, 26, pada September lalu, dia kini lebih kerap ke masjid dan kuliah agama, berbanding dulu. 


"Bila saya kahwin dengan yang lebih muda ini, saya pun berasa lebih muda. Kalau dulu saya jarang pergi masjid, sekarang saya sudah selalu. Kalau dulu jarang pergi kuliah agama, sekarang sudah kerap," demikian kata empunya tagline 'Tak Handsome Tak Apa, Janji Kaya'. 


Bagaimanapun, DDNK menjelaskan dia tidak beniat hendak menyalahkan isteri pertama. Namun itulah kebenaran mengenai perjalanan hidupnya yang lalu. Dari perceraian dengan isteri pertamanya juga, dia turut mendapat pengajaran. 


"Saya rasa refleksi dan peluang kedua saya dalam kehidupan. Walaupun isteri kedua saya ini muda, tapi dia membanu saya menghampiri matlamat hidup iaitu berjaya di dunia dan akhirat. Alhamdulillah, hidup saya lebih tenang dan tidak banyak pening kepala dari segi kerja. 


"Pengalaman hidup dengan isteri pertama dan kedua, masing-masing ada kelebihan. Untuk isteri kedua yang lebih muda ini dia lebih manja, lebih fleksibel, dengar cakap dan tak banyak karenah. Mungkin rasa hormatnya ada di situ. Tapi dia juga lebih nakal, kuat cemburu dan kuat merajuk. 


"Kalau isteri yang dulu lebih berusia, dia lebih matang, terbuka, bersikap keibuan dan faham kehidupan. Tapi itu adalah pilihan kita. Kedua-duanya hebat dan perlu tahu apa matlamat hidup. Kita perlukan isteri yang boleh sokong matlamat kita," katanya. 


DDNK mengakui, kontroversi rumah tangga pelakon Syamsul Yusof dan Puteri Sarah serta Ira Kazar turut menyebabkan isterinya terkena tempias. DDNK tidak bersetuju isteri kedua, ketiga dan keempat dilabel sebagai penyondol rumah tangga kerana apa yang berlaku sudah pastinya bukan bertepuk sebelah tangan. 


"Saya tak bersetuju penyondol dalam istilah isteri kedua. Bagi saya ia tidak boleh berlaku sebelah tangan. Tidak boleh rempuh atau santau untuk terus berkahwin. Ia mesti bertepuk dua belah tangan. 


"Bila sebut berkenaan cinta dan sayang, ia adalah perkara yang kita tiada daya untuk menahan. Bila sudah sayang, kita tidak boleh menipu perasaan. Bila kita kata sayang, maksudnya kita memang sayang. Bagi saya, tidak boleh seorang saja yang sayang untuk terus kahwin.


"Jadi, sondol menyondol ini tidak betul. Kalau daripada konteks saudara Syamsul (Syamsul Yusof) atau sesiapa saja, apa yang penting adalah kalau boleh berbahagia dengan yang pertama atau kedua (isteri) itu yang terbaik. Saya tiada pengalaman sebegitu, isteri saya yang kedua memang sangat baik.


"Kita semua perlu faham ini adalah jodoh dan kuasa Allah. Mungkin orang tidak boleh terima tapi itulah hakikatnya. Saya tidak setuju dengan istilah sondol menyondol ini," katanya.


Sumber: Harian Metro

Bapa pukul & ugut bunuh anak kerana main handphone hingga lewat malam, ditahan polis



Bengang anak bermain telefon bimbit sehingga lewat malam, remaja berusia 16 tahun itu dipukul bapanya menggunakan tali pinggang. 


Suspek berusia 56 tahun itu turut mengugut mahu membunuh mangsa menggunakan parangg pemotong daging dalam kejadian yang berlaku di Lembuh Subang, malam kelmarin. 


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu pada jam 1.18 tengah hari kelmarin dari mangsa. 


Bertindak di atas laporan yang dibuat remaja berkenaan, polis telah menahan suspek untuk tindakan lanjut. 


"Sepasukan polis telah menahan suspek yang bekerja sebagai pembantu restoran pada jam 10.30 malam dan merampas parang berukuran 33 sentimeter. 


"Suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 3 (1)(A) Akta Kanak-Kanak 2001," katanya. 


Sumber: Harian Metro

Seorang penunggang motosikal maut, 5 rakannya cedera disyaki berlumba haram



Seorang penunggang motosikal dilaporkan maut dalam kemalangan jalan raya yang membabitkan enam motosikal lain dalam kejadian di Kilometer 187.7 Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Selatan, awal pagi tadi. 


Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian itu pada jam 1.50 pagi. 


Siasatan awal pihaknya mendapati, enam buah motosikal jenis Yamaha Y15ZR terbabit dipercayai sedang berlumba secara haram menghala ke Bukit Merah dari arah Plaza Tol Alor Pongsu, sebelum berlakunya tragedi yang tidak diingini itu. 


Akibatnya, seorang mangsa berusia 20 tahun maut di lokasi kejadian, manakala lima lagi rakannya mengalami kecederaan. 


"Nahas itu menyebabkan seorang lelaki disahkan meninggal dunia. Lima penunggang lain pula telah dirujuk ke Hospital Taiping dan Parit Buntar bagi menerima rawatan lanjut," katanya. 


Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik, Hospital Parit Buntar untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. 


Sumber: Sinar Harian

(Video) Remaja dapat handbag Charles & Keith daripada bapanya, ditertawakan sebab buat kapsyen 'My first luxury bag'



Baru-baru ini seorang gadis di Singapura menerima pemberian beg tangan jenama Charles & Keith dari bapanya. 


Gembira dengan pemberian itu, gadis berusia 17 tahun yang dikenali sebagai Zoe, membuat video 'unboxing' beg tangan tersebut di akaun TikTok miliknya dengan kapsyen "My first luxury bag". 


@zohtaco

thank you dad 🥹

♬ Glitch - Just audios


Malangnya, ada beberapa individu yang mulutnya berbau longkang tampil memuat naik komen bahawa beg jenama Charles & Keith bukanlah jenama mewah, sebaliknya jenama tempatan yang biasa-biasa sahaja. Komen-komen itu secara tidak langsung telah gus merosakkan mood dan kegembiraan Zoe. 


Sedar dengan komen-komen negatif itu, Zoe tampil menjelaskan bahawa keluarganya bukanlah orang berada yang boleh membeli sesuatu baru dengan mudah seperti membeli roti. 




"Saya berasa kurang selesa apabila bercakap mengenai topik wang kerana saya membesar dalam keadaan sederhana dan keluarga saya juga bukanlah di kalangan orang berada. 


"Kami bukannya dapat membeli benda baru seperti membeli roti. Bagi awak, sebuah beg tangan berharga SG$80 bukanlah mewah tetapi bagi saya dan keluarga, ianya mahal. 


"Dan saya sangat bersyukur ayah saya dapat belikan satu untuk saya. Dia bekerja keras untuk mendapatkan wang itu," katanya. 


@zohtaco Replying to @cressy ♬ original sound - zoe 🦋


Tambah Zoe lagi, dia tidak menyangka hanya kerana beg itu dia menerima komen-komen negatif sedangkan dia menerima pemberian itu seadaanya. 


Sementara itu, netizen turut menyelar komen-komen negatif yang dilemparkan individu-individu terbabit yang dianggap menjijikkan sehingga tergamak merendahkan pemberian bapa Zohtaco. 


"Perjalanan hidup setiap orang bukannya sama. Jijik baca komen yang cuba mengajar tentang kemewahan pada orang lain," kata Faith. 


"Apa-apa saja yang dibeli oleh mak ayah kita adalah mewah. Ini bukan tentang tanda harga, tetapi nilai sentimental yang tiada harganya," kata Ummi. 


"Samalah masa first time keluar kereta. Semua sibuk cakap macam-macam, 'Eh kenapa ambik kereta Malaysia? kenapa tak ambik Honda ke, Toyota ke?'. Tak fahamlah manusia jenis macam ni!" kata Si Gadis. 


"Saya nak bei satu untuk diri sendiri pun berapa kali berfikir. For me, memang luxury brand Charles & Keith sebab harga satu beg itu boleh jadi duit poket makan saya untuk dua tiga minggu. So, memang belum mampu lagi nak beli untuk diri sendiri," kata Pikashi. 


Sumber: TikTok Zohtaco