Kompaun RM10,000 jika didapati langgar SOP cegah Covid-19, bermula 11 Mac


Kompaun sehingga RM10,000 boleh dikenakan kepada individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan Covid-19.


Berdasarkan paparan di e-Warta Persekutuan, menerusi Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang diwartakan hari ini, kompaun berkenaan akan berkuat kuasa 11 Mac depan.


Kini, denda RM1,000 dikenakan kepada individu atau syarikat yang dikesan melakukan kesalahan berkenaan.


Menerusi pindaan itu juga, syarikat atau pertubuhan yang melakukan kesalahan sama boleh dikenakan kompaun sehingga maksimum RM50,000.


Selain itu, orang ramai yang melakukan kesalahan Ordinan Darurat boleh ditangkap, manakala individu dijangkiti atau disyaki terkena jangkitan atau menjadi kontak pula boleh dipakaikan dengan peranti pengesanan.


Pemasyhuran ordinan itu dibuat Yang di-Pertuan Agong yang berpuas hati tindakan serta-merta dikehendaki bagi meminda Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).


Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 diwartakan susulan Proklamasi Darurat dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong, mengikut Perkara 150, Perlembagaan Persekutuan, 11 Januari lalu.


Kadar kompaun terbabit dinaikkan, susulan penggantian Seksyen 25 yang memberi kuasa kepada Ketua Pengarah Kesihatan atau mana-mana pegawai kesihatan yang diberi kuasa oleh Pendakwa Raya.


Pindaan terhadap penalti am mengikut Seksyen 24 Ordinan sama, bagi kesalahan yang tiada penalti diperuntukkan dengan nyata kini boleh didenda sehingga RM100,000 atau dipenjara maksimum tujuh tahun atau kedua-duanya sekali.


Peranti pengesanan iaitu gelang tangan atau peranti yang diberikan pegawai yang diberi kuasa dan sebarang perbuatan memusnah, merosak, menghilang atau mengubahnya, menjadi satu kesalahan.


Sumber: Harian Metro

'Mungkin dia sempat keluar, nak merangkak ke jalan besar tapi tak sempat' - Pemandu ditemui tinggal tengkorak selepas 10 bulan terbabit kemalangan


Jumaat, 19 Februari 2021, mayat seorang individu ditemui hanya tinggal tengkorak selepas dipercayai hampir 10 bulan terbabit dalam kemalangan di Kilometer 122.4 Lebuhraya Utara Selatan, arah Yong Peng-Pagoh. 


Mayat pemandu kereta HHyundai Sonata itu ditemui oleh pekerja penyelenggaraan lebuh raya yang pada ketika itu sedang melakukan kerja-kerja pembersihan longkang di cerunan tepi sebelah kiri lebuh raya tersebut pada jam 1.10 tengah hari. 


Kedudukan kereta itu agak terlindung di sebalik semak yang bercerun dengan jarak lebih kurang 67 meter dari lebuh raya. Tengkorak pemandunya pula ditemui berhampiran dengan kereta. 


Polis percaya pemandu terbabit hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di bawah cerunan itu. Identiti mangsa juga telah dikenalpasti dan polis percaya ia berkaitan dengan satu laporan polis orang hilang yang dibuat pada Jun 2020. 



Kes itu mendapat perhatian netizen yang bersimpati dengan nasib mangsa. Juga tampil beberapa individu yang mendedahkan pernah terbabit dalam kemalangan di lokasi yang sama. 


"Ingat lagi masa 2016, eksiden di KM123.4 kat Yong Peng juga. Masuk gaung saya masa tu, padahal tengah dengar radio dan tiba-tiba tersedar dekat gaung. Alhamdulillah, kereta je hancur sebelah kiri. 


"Dalam masa yang sama, member beritahu sehari sebelum itu, jiran dia meninggal akibat eksiden kat situ. Dan sehari selepas saya eksiden, ada satu family eksiden di tempat itu juga. Ada perangkap ke kat situ?" - M Iman. 


"Highway ni, hmm sampai sekarang tak boleh lupa. Highway Yong-Peng - Pagoh sama tempat arwah abang saya kemalangan 10 tahun lepas. Sama terbabas dan masuk gaung. Beberapa jam kemudian baru orang perasan ada kesan jatuh gaung. Al-Fatihah." - Fiefie. 


"Sama, highway Yong-Peng - Pagoh ini pun tempat arwah kakak saya accident 8 bulan lepas. Al-Fatihah". - Zati


"Saya pernah accident di kawasan itu dulu dalam tahun 2007. Honda Civic FD saya total lost. Masa tu ada orang nampak. Rupanya, lapan jam sebelum kami accident, ada student universiti accident juga, meninggal terus. Kereta memang dah tak ada bentuk, rupa besi buruk. Berpunca dari tayar koyak yang disengajakan oleh tema towing yang sengaja mendajal untuk dapatkan job". - Jeehan. 


"Hujung kampung saya ni, kawasan laluan jin kata orang tua-tua. Tepi tu hutan simpan kekal. Almost everyday ada excident". - Zaiwa. 


Sumber: Harian Metro, Twitter Mohd Redzuan Abdul Manap

'Pihak pengurusan kondo tiada kuasa untuk kenakan kompaun RM100' - Ismail Sabri


Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan tindakan pihak pengurusan sebuah kondominium di Ampang, Selangor mengenakan denda penalti RM100 terhadap bayi tidak memakai pelitup muka sebagai tidak munasabah. 


Beliau berkata, pihak pengurusan kondominium itu juga tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian dan meminta pihak itu menarik balik denda penalti yang dikenakan. 


"Arahan memakai pelitup muka atau sebarang prosedur operasi standard (SOP) berada di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342), di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 


"Tindakan mengeluarkan kompaun boleh diberikan kepada KKM dan mereka yang diperturunkan kuasa oleh KKM, yang mana setakat hari ini Polis Diraja Malaysia (PDRM) diberi kuasa itu. 


"Setakat ini, kita tak bagi kuasa kepada pengurusan kondominium, apartment mahupun pejabat mana-mana untuk ambil tindakan. Apa yang dilakukan oleh pengurusan sebuah kondominium itu tak boleh dilakukan. Harap mereka tarik balik kompaun RM100 yang diberi kepada kanak-kanak usia setahun itu," katanya pada sidang media harian, Khamis, 25 Februari 2021. 


Terdahulu, ibu bapa kepada kanak-kanak berkenaan berkongsi mengenai tindakan tidak munasabah pihak pengurusan kondominium berkenaan di media sosial dan ramai netizen yang tidak bersetuju dengan denda yang dikenakan. 


Walaupun pihak pengurusan itu menegaskan mereka hanya mengikut SOP yang ditetapkan oleh kerajaan berhubung peraturan mengekang penularan wabak Covid-19, netizen membidas alasan itu dan menganggap pihak berkenaan tidak peka dengan SOP sedia ada di mana kerajaan tidak mewajibkan kanak-kanak berusia 2 tahun ke bawah memakai pelitup muka atas sebab-sebab tertentu. 


Disebabkan isu viral di media sosial, ada netizen yang bertindak menyerbu Facebook Group kondominium itu membuatkan pengendali group berkenaan segera menetapkan group tersebut kepada mode privacy kerana bimbang keadaan menjadi tidak terkawal. 


LAPORAN BERKAITAN

Dah dapat waran tangkap, JAIS sedang giat memburu Muhammad Sajjad


Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) mengesahkan pihaknya telah menerima waran tangkap terhadap usahawan kosmetik, Muhammad Sajjad Kamaruzzaman, yang dikeluarkan Mahkamah Tinggi Syariah Shah Alam, semalam.


Pengarah JAIS, Datuk Mohd Shahzihan Ahmad berkata, pihaknya kini sedang memburu lelaki berusia 36 tahun itu selepas gagal hadir ke mahkamah pada hari sebutan semula kesnya. 


"Mahkamah mengeluarkan waran tangkap tanpa jaminan terhadap usahawan kosmetik itu. Jadi, saya sudah arahkan anggota penguat kuasa JAIS mencari dan menahannya untuk dibawa ke mahkamah," katanya. 


Setakat ini, lelaki menyerupai wanita itu masih belum ditahan dan JAIS sedang berusaha mengesannya. JAIS juga meminta lelaki itu untuk tampil menyerah diri dan memberi kerjasama untuk melancarkan proses tindakan undang-undang. 


6 Januari 2021, Muhammad Sajjad mengaku tidak bersalah di atas pertuduhan berpakaian seperti wanita di sebuah majlis bacaan Yasin dan solat hajat, yang dianjurkan di premisnya pada Februari 2018. Perbuatan lelaki itu menyebabkan agama Islam dipandang hina. 


Muhammad Sajjad didakwa mengikut Seksyen 10(a) Enakmen Jenayah Syariah (Negeri Selangor) 1995 dan jika sabit kesalahan boleh dihukum tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali. 


Sumber: Harian Metro

Kes saman Datin Vivy Yusof terhadap netizen atas dakwaan fitnah, bermula 11 Ogos 2021


Kes saman Datin Vivy Yusof terhadap seorang netizen atas dakwaan memfitnah pengasas FashionValet dan dUCK Group itu menerusi laman sosial berhubung isu kerajaan membantu golongan B40 dan M40 yang terjejas oleh penularan Covid-19, ditetapkan untuk perbicaraan bermula 11 Ogos ini.


Peguam Mohd Syakirin Syazwan yang mewakili Alia Najwa Hassannudin, selaku defendan dalam kes saman itu berkata, mahkamah menetapkan 11 dan 12 Ogos ini untuk perbicaraan.


"Seramai lima saksi defendan termasuk anak guam saya akan memberi keterangan dalam perbicaraan kes itu, manakala plaintif (Vivy) akan mengemukakan tiga orang saksi," katanya ketika dihubungi Bernama selepas pengurusan kes secara dalam talian di hadapan Hakim Datin Rohani Ismail, hari ini yang turut dihadiri peguam Pauling Hee mewakili Vivy atau nama sebenarnya Vivy Sofinas Yusof.


Pada 15 Jun tahun lalu, Vivy, 34, memfailkan saman itu menerusi Tetuan Foong Cheng Leong & Co dengan menamakan Alia, 29, selaku defendan tunggal.


Berdasarkan penyataan tuntutan, Vivy berkata, pada 28 Mac tahun lalu, beliau menerbitkan rakaman video dalam akaun Instagramnya berhubung perbualan empat usahawan berkaitan status ekonomi akibat Covid-19 dan Pakej Rangsangan Ekonomi yang diumumkan oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.


Vivy mendakwa pada 30 Mac tahun sama, defendan menerbitkan beberapa penyataan berkenaan plaintif dalam akaun Facebook dan Instagram milik defendan dan secara salah menyatakan bahawa plaintif mempersoalkan tindakan kerajaan membantu golongan B40 dan M40 sedangkan mereka tidak memberi apa-apa sumbangan kepada ekonomi negara.


Usahawan wanita itu mendakwa penyataan-penyataan fitnah berkenaan antara lain membawa maksud bahawa plaintif tidak bersimpati terhadap golongan B40 dan M40, bersikap angkuh, mementingkan diri sendiri dan tidak profesional serta hanya mementingkan keuntungan.


Kata Vivy, penerbitan penyataan-penyataan fitnah itu turut menyebabkan pelancaran satu petisyen di laman web sekitar 1 April tahun lalu bagi mendesak plaintif dilucutkan jawatan sebagai Ahli Lembaga Pengarah UiTM kerana menghina golongan berkenaan dan petisyen terbabit ditandatangani lebih 230,000 pengguna Internet sejak dilancarkan.


Ikon fesyen itu mendakwa surat tuntutan dikeluarkan kepada defendan dan menuntut supaya beliau berhenti menerbitkan sebarang penyataan fitnah terhadap plaintif di laman sosial dan plaintif juga mendakwa defendan membalas surat tuntutan melalui aplikasi Facebook tetapi gagal mematuhi kesemua kehendak plaintif.


Oleh itu, plaintif menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, suatu perintah supaya defendan memadamkan penerbitan penyataan-penyataan fitnah berkenaan, selain memohon defendan menerbitkan suatu permohonan maaf terhadap plaintif.


Dalam penyataan pembelaan difailkan pada 20 Oktober tahun lalu, defendan mendakwa bahawa penyataan yang dimuat naik olehnya adalah berlandaskan fakta sebenar daripada 'posting' plaintif sendiri dan ia berunsurkan kepentingan awam selain defendan juga menafikan sebarang elemen fitnah di dalam penyataan yang diterbitkannya.


Sumber: Bernama