'Takut kantoi dengan bini ke?' - Lelaki telan telefon Nokia 3310


Seorang lelaki yang menelan telefon bimbit jenama Nokia 3310 berjaya diselamatkan selepas menjalani pembedahan pada awal minggu ini. 


Doktor di bandar Prstina, Kosovo, melakukan pembedahan terhadap lelaki berusia 33 tahun itu bagi mengeluarkan Nokia 3310 yang telah berada di dalam perutnya selama empat hari. 


Dr. Skender Teljaku yang mengetuai pasukan pembedahan berkenaan turut berkongsi gambar telefon bimbit tersebut yang dikeluarkan dari perut pesakit, bersama dengan gambar sinar-X dan endoskopi yang menunjukkan objek asing di dalam tubuh lelaki itu.


Pasukan pembedahan berjaya mengeluarkan telefon itu tanpa perlu membedah perutnya dengan mengeluarkan tiga bahagian berasingan menggunakan alat khas yang dikenali sebagai endoskopi. Doktor juga mengatakan, tiada sebarang komplikasi yang berlaku sepanjang prosedur tersebut dilakukan selama dua jam. 


Difahamkan, lelaki itu mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan dari hospital berkenaan setelah tidak tahan menanggung kesakitan yang dialaminya. 


Menurut Dr Teljaku, bateri telefon bimbit tersebut adalah bahagian yang paling berbahaya kerana ia boleh meletup dan melepaskan bahan kimia ke dalam usus pesakit, yang berpotensi mengancam nyawanya. 


Tidak dijelaskan bagaimana dan mengapa lelaki itu menelan Nokia 3310 tetapi Dr Teljaku berkata, keadaan pesakit semakin pulih selepas menjalani pembedahan itu. 


Sumber: Gulf Today

'Kamu takde no WhatsApp KJ ke?' - Menteri KBS kongsi cadangan pada KJ di media sosial, dikritik netizen bagaikan tiada hari esok


Baru dua jam yang lalu, Menteri Belia dan Sukan, Faizal Azumu, memuat naik cadangan di Twitter berhubung aktiviti sukan padang dan gimansium dibuka semula kepada umum. Tweet tersebut ditujukan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). 


"Panggung wayang dibuka? Gimnasium, sukan padang? Mungkin perlu dibuka dengan SOP ketat. Ramai yang hampir terhenti nafas. Tolonglah KKM. KBS telah cadangkan agar sukan padang dan gimnasium dibuka. Kuasa ada pada MKN. Harap KKM sokong," tulisnya. 


Gambar tweet tersebut kemudian dikongsi semula di laman Facebook menteri berkenaan yang mengundang banyak reaksi netizen yang mempertikaikan kewajarannya berbuat demikian, sedangkan Menteri KKM, Khairy Jamaluddin atau dua pihak berkenaan boleh dihubungi secara terus tanpa perlu menggunakan media sosial. 



"Inilah namanya satu bumbung, bilik lain-lain. Bila berjumpa di ruang tamu bermasam muka. Jadi terpaksa menggunakan media sosial untuk bersuara. Kalau rakyat, okay lagi. Ini dah level menteri ***** namanya. Harap maklum," tulis Naddy Zariff. 


"Boss, you are in same cabinet but communicating thru Twitter? Come on, stop the drama dan do the work," tulis Shanathan Gru. 


"Tak payah tunjuk kat kita konon you tengah buat kerja la. ada phone number dia kan, kenapa tak nak terus WhatsApp? Siap nak tweet pulak. Kalau you betul-betul buat kerja, you akan terus WhatsApp dia atau jumpa dia kat office. Please don't drama," tulis QY Ooi. 


Walaupun begitu, ada netizen yang tampil menjelaskan sudah menjadi kebiasaan pemimpin berkenaan yang lebih gemar berkongsi pandangan secara santai. 


"Nanti bila tak kongsi macam ni, orang cakap dia tak buat kerja pula. Haiyaa, cuba relaks sikit, tak payah nak kecam. Dah memang style dia yang sempoi. Relaks la, bila dah buka nanti, kita yang seronok. Tapi itulah, bila dah ada rasa hasad dengki, memang semua tak kena kan?" kata Hafizan Syah Sahari. 


Sumber: FB Faizal Azumu

6 gadis muda dipaksa bertelanjang & diarak dari rumah ke rumah untuk upacara memanggil hujan


India pada ketika ini sedang menghadapi musim kemarau dengan curahan hujan paling sedikit 10 peratus berbanding jangkaan 36 peratus, menurut data dari Jabatan Meteorologi India. 


Dalam usaha untuk mengakhiri kemarau di India, sebuah perkampungan di di wilayah Bundelkhand, Madhya Pradesh mengambil inisiatif memaksa enam gadis muda menanggalkan pakaian mereka dan diarak dari rumah ke rumah. 


Penduduk tempatan yang percaya dengan amalan kuno itu memaksa gadis-gadis berkenaan berarak di seluruh kampung dalam keadaan tidak berpakaian dengan mengimbangi seekor kata yang diletakkan pada kayu di bahu mereka. 


Semasa berarak, wanita yang berjalan bersebelahan dengan mereka akan menyanyikan lagu-lagu pujian kepada dewa hujan. Gadis-gadis itu berhenti di setiap rumah untuk meminta makanan seperti roti dan tepung yang kemudian disumbangkan ke dapur masyarakat yang didirikan di depan kuil kampung. 


Difahamkan, ibu bapa kanak-kanak perempuan itu telah memberi keizinan kepada anak masing-masing untuk mengambil bahagian dalam upacara tersebut menyebabkan pihak berkuasa tidak dapat mengambil sebarang tindakan. 


Pihak berkuasa hanya mampu menasihatkan penduduk kampung bahawa kepercayaan dan perbuatan tahyul seperti itu adalah sia-sia serta tidak mendatangkan sebarang hasil yang diingini. 


Sementara itu, sebuah kumpulan hak asasi kanak-kanak India, Suruhanjaya Nasional untuk Perlindungan Hak Kanak-Kanak, menuntut penjelasan dari pihak berkuasa tempatan. Superintendan Polis, Teniwar berkata, pihaknya sedang melakukan siasatan dan jika terdapat bukti gadis-gadis itu dipaksa bertelanjang, pihaknya akan melakukan pendakwaan. 


Sumber: Daily Star


(Video) 'Ini yang kita mau, kutip semua kon cop parking tu' - Netizen puji tindakan tegas MPAJ banteras amalan cop parking


Sudah menjadi satu kebiasaan bagi penduduk di perumahan pangsapuri yang selalu 'cop parking' walaupun tahu petak parkir yang disediakan itu adalah untuk kegunaan semua penduduk di kawasan tersebut. Hal ini berlaku kerana kebanyakan pemilik rumah mempunyai lebih dari sebuah kenderaan menyebabkan petak parkir yang disediakan tidak mencukupi. 


Disebabkan kesukaran mendapatkan petak parkir, ada segelintir penduduk yang mementingkan diri bertindak melakukan amalan cop parking dengan menggunakan pelbagai objek seperti kon, kerusi, tong dan lain-lain agar petak parkir tersebut tidak diambil oleh pengguna lain. 


Namun, amalan seperti ini adalah tidak wajar dilakukan lebih-lebih lagi petak parkir yang disediakan itu adalah kemudahan awam untuk penduduk di kawasan itu. Tindakan tidak bertanggungjawab itu juga melanggar undang-undang dan mana-mana penduduk yang berbuat demikian boleh dikenakan tindakan. 


Baru-baru ini, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) menjalankan operasi menghapuskan amalan cop parking di sebuah perumahan flat yang menyaksikan pelbagai objek yang digunakan untuk cop parking dirampas menggunakan dua lori MPAJ. 


Operasi MPAJ itu sempat dirakam oleh salah seorang penduduk yang turut berpuas hati dengan tindakan tegas pihak berkenaan bagi memberi pengajaran kepada penduduk terbabit. 



"Yes! Inilah yang kita mahu. Itu dia.. kutip semua kon-kon itu. Baru diorang buka mata. So selepas ini tak payahlah nak cop cop parking ye," katanya. 


Sementara itu di media sosial, netizen turut memuji tindakan tegas MPAJ dan menyarankan pihak berkuasa mengeluarkan kompaun/saman terhadap penduduk terbabit agar tidak mengulangi amalan yang tidak bertanggungjawab itu. 


"Alang-alang ambil tong, kasi saman/kompaun terus pada owner rumah yang rata-rata orang seperti ini pantang ditegur," kata Jie Jie. 


"Tak mampu, buat cara tak mampu. Nak rumah siap parking, beli atau sewa kondominium terus. Duduk flat ni, siapa cepat dia dapat parking," kata Yie Lekir. 


Sumber: Facebook

(Video) 'Wa 3 line punya orang! Lu langsi sama wa!' - 2 lelaki buat onar di PPV ditahan polis


Dua lelaki yang membuat onar di kawasan tempat letak kereta di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah, semalam telah ditahan polis. 


Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarulzaman Mamat berkata, kejadian itu berlaku pada jam 11.45 pagi di mana salah seorang suspek yang dipercayai mabuk membuat aksi 'drift' di kawasan tempat letak kereta sehingga mengganggu dan mendatangkan bahaya kepada orang awam yang hadir untuk menerima vaksin. 


Berlaku pergelutan di antara kedua-dua suspek dengan orang awam. Salah seorang suspek bertindak mengeluarkan kayu golf dan membuat ugutan jenayah terhadap seorang lelaki yang cuba meleraikan pergaduhan itu.



Tidak beberapa lama kemudian, anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah dan Unit Kereta Peronda (MPV) Ibu Pejabat Polis Daerah Baling datang ke lokasi dan menahan suspek berusia 19 tahun pada jam 12.30 tengah hari. 


Suspek kedua berusia 27 tahun pula ditahan di sebuah rumah di Ladang Kupang untuk membantu siasatan. Polis turut merampas batang besi pemukul golf dan kereta Proton Saga yang digunakan suspek dalam kejadian itu. 


Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1) Akta Bahan Letupan, Kakisan dan Senjata Merbahaya 1958.


Sumber: Harian Metro