Jika yang dimasukkan si kecil ke dalam mulutnya adalah makanan, mungkin tidak menjadi masalah.
Tapi biasanya barang apa pun yang dijumpai oleh si kecil akan selalu dimasukkan ke dalam mulut – tak kiralah makanan, mainan, mahupun kotoran lain yang jatuh di lantai.
Kenapa Bayi Hisap Jari Dan Suka Masukkan Objek Asing Ke Dalam Mulut?
“Mulut bayi memiliki hujung saraf yang lebih banyak berbanding bahagian tubuh lain. Jika bayi ingin mengetahui tentang rasa atau tekstur daripada sesuatu, maka dia lebih cenderung memasukkan barang tersebut ke dalam mulut,” ujar Penney Hames, seorang ahli psikologi anak menerusi laman web BabyCenter.Menurut pakar, ia adalah perkara normal dan perkara ini dilakukan oleh kebanyakan bayi untuk memuaskan rasa ingin tahunya.
Selain itu, si kecil kerap memasukkan benda ke mulutnya untuk digigit-gigit karena gusinya terasa gatal.
Secara psikologi, menghisap ini juga memberi rasa selamat atau aman kepada sesetengah bayi, seolah-olah semasa menghisap susu ibunya.
5 Tips Mencegah Bayi Hisap Jari Atau Memasukkan Barang Ke Dalam Mulutnya
1. Ajarkan Maksud ‘Jangan’
Walaupun bayi belum boleh bercakap, namun dia boleh memahami maksud anda atau isyarat.Oleh itu, ajarkan kepadanya maksud perkataan ‘jangan’ atau ‘no’ dan mengapa mereka tidak boleh berbuat demikian.
Tentulah, anda perlu mengulanginya banyak kali sebelum anak anda dapat merespon terhadap perkataan tersebut.
Namun, cara ini dapat membantunya memahamkan bahawa kita ingin melindunginya dan mengawal kelakuannya yang dapat mengundang bahaya.
2. Elakkan Memarahinya
Bayi anda suka memasukkan objek ke dalam mulut kerana perasaan ingin tahu.Walaupun memarahinya akan memberi mesej untuk tidak melakukannya lagi, tetapi ia juga boleh melunturkan semangat si kecil untuk terus belajar.
Oleh itu, pastikan anda bercakap dengan nada yang tenang setiap kali memberitahunya untuk tidak memasukkan objek ke dalam mulut.
Menurut doktor Riza, apabila si kecil terlalu banyak dilarang, impaknya juga tidak baik. “Hubungan ibu bapa dan anak juga boleh terjejas. Ibu bapa akan berasa kecewa kerana anak tak mendengar kata, manakala si anak pula akan rasa rendah diri dan kurang yakin dalam setiap perbuatan.”
3. Elakkan Barangan Merbahaya
Kadangkala, kita tak dapat memerhatikan bayi setiap masa.Ada masanya kita perlu melakukan perkara lain di dapur atau di bilik air.
Maka, jauhkan anak daripada barangan yang berkilau, bertali, atau menarik perhatiannya.
Buangkan mainan yang patah atau rosak supaya ia tidak mencederakan bayi.
4. Gantikan Dengan ‘Teether’
Bayi anda mungkin suka memasukkan objek ke dalam mulutnya kerana dia sedang melalui fasa tumbuh gigi atau ‘teething’.Oleh itu, giginya berasa gatal dan memerlukan sesuatu untuk mengurangkan rasa tidak selesa itu.
Ada banyak cara lain yang boleh anda lakukan seperti memberinya ‘teether’ atau makanan jejari yang sejuk.
5. Sibukkan Bayi Dengan Aktiviti Lain
Cuba sibukkan diri dengan mengajaknya bermain bersama.Mungkin dengan cara ini dia dapat belajar menggunakan mainan tersebut dengan betul.
Selain itu, aktiviti seperti bertepuk tangan, menyanyi, atau membaca juga dapat membantu mencegah bayi hisap jari kerana lupa akan tabiatnya itu.
Ambil Tindakan Jika Ia Berlarutan
Menurut kebanyakan sumber, tabiat ini adalah perkara biasa dan tidak perlu dirisaukan.Bayi dijangka akan meneruskan tabiat menghisap jari atau memasukkan objek ke dalam mulutnya hinggalah berusia 2 tahun.
Namun begitu, tidak kiralah sama ada bayi hisap jari atau barangan lain seperti puting, ia dapat memberi kesan buruk jika diteruskan setelah kanak-kanak itu melangkaui umur 5-6 tahun.
Lagi lama tabiat menghisap jari dibiarkan, lagi tinggi peluang untuk kanak-kanak tersebut mendapat kesan buruk dalam jangka masa panjang.
Oleh itu, pastikan anda selalu menyelia bayi anda dan mencegah tabiat ini sejak kecil lagi.
SUKAKAN ARTIKEL INI? SHARE!!