Kringgg! Kringgg! Kringg!
Aku tersentak mendengar deringan telefon, seraya menoleh ke arah bunyi deringan itu. Tak nampak kelibat sesiapa. Bunyi telefon itu terus berdering mencemar sunyi malam. Aku jengah lagi. Lampu di pondok perhentian bas ini suram, hanya bisa menerangi sekitar hentian ini sahaja. Namun bunyi deringan itu seakan dekat. Sepatutnya aku boleh nampak tuan punya telefon tu.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Aku bangun daripada bangku pondok hentian bas, dan meninjau. Dengan langkah kecil aku menghampiri punca deringan itu. Telefon bimbit ku genggam erat. Entah apa sebabnya, tapi menggenggam telefon bimbit tu terasa seperti reaksi yang agak rasional dalam situasi ini.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Deringan itu masih mencemar suasana. Semakin aku mara, semakin kuat bunyinya. Aku hela nafas panjang dan nekad menuju ke arah deringan itu. Bila ia sudah dekat, baru aku perasan ada pondok telefon di sisi pondok hentian bas ini. Tak terfikir pula aku tentang pondok telefon. Iya lah, zaman sekarang semua orang ada telefon bimbit, pondok telefon semakin langka. Semakin pupus.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Telefon itu berdering semula sebaik sahaja aku letakkan gagangnya. Tak guna punya telefon, tersentak aku dibuatnya. Dua kali ia hampir buat jantungku berhenti. Dalam keadaan separa marah, aku mengangkat gagang dan menyuakannya ke telinga.
“Akhirnya ada orang angkat. Dah banyak kali saya cuba hubungi!” ujar suara di hujung talian sebelum sempat saya menyebut hello. Kedengaran seperti seorang gadis muda. Suaranya seakan-akan berbisik.
“Ya. Ada apa saya boleh bantu?” kataku separa keliru. Telefon bimbit aku sisip kedalam poket seluar.
“Ada sesiapa tak, selain awak, di sana?” soal pemanggil itu.
Aku berkira-kira ingin menjawab soalan itu. Aku bimbang jika ini perangkap samun. Pondok bas ini berada di tempat yang agak terpencil. Jika tidak kerana motosikal aku meragam di sini, tak mungkin aku akan berhenti di tempat yang sesunyi dan segelap ini.
“Ada! Ada beberapa orang” tipuku.
“Ada? Awak jangan tipu!” tegas gadis itu.
“Betul! Saya dengan seorang kawan. Awak ni siapa?” aku meneruskan pembohongan aku. Hati aku semakin tak tenang. Bulu roma di lenganku mula meremang. Aku menoleh kiri dan kanan. Nafasku mulai deras.
“Tuuuuuttt….”
Talian teputus. Mata aku meliar ke sekeliling. Pandanganku hanya terhad pada radius 10 kaki, kerana sejauh itu sahaja lampu di pondok hentian bas ini mampu menyinar. Mataku meliar kiri dan ke kanan. Melihat kalau-kalau ada penyamun mendekati.
“Mana pula Joe ni?” getus hatiku. Dia kata 15 minit. Ini dah hampir satu jam masih belum muncul-muncul. Lebih baik aku telefon dia sekali lagi. Aku cuba keluarkan telefon bimbit aku, namun seluar super skinny jeans aku menyebabkan ia suatu perkara yang sukar dilakukan ketika ini.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Telefon di pondok telefon itu berbunyi lagi sebaik sahaja aku berjaya keluarkan telefon bimbit aku dari kocek. Aku swipe skrin aku untuk unlock skrin. Incorrect pattern. Aduh! Dalam keadaan cemas, tangan aku terketar-ketar dan jari aku mulai sejuk kerana pembuluh darah periferi aku mengecut. Ini menyebabkan penderia sesentuh pada skrin telefon bimbit tak dapat kesan jari aku dengan cekap.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Kekalutan menyebabkan tangan aku berpeluh dan cemerkap, lantas telefon bimbit aku pun terlepas dari genggaman. Aku menutup telinga dan mata ketika ia terhempas ke lantai. Tak sanggup aku melihat. Sedetik kemudian, aku buka mata dan segera kutip telefon bimbit aku dari lantai, dan membelek skrinnya! Sial! Skrin pecah! Berang aku dibuatnya.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
“Kau nak apa lagi ha, betina!” ujar ku sebaik sahaja mengangkat telefon di pondok telefon itu. Marah sudah mengenepikan rasa cuak.
“Saya telefon dari rumah bertentangan dengan hentian bas di mana awak berada tu.” kata gadis di hujung talian. Sejurus selepas itu kelihatan cahaya malap muncul di celah kepekatan malam. Mungkin 20 meter dihadapan.
“Nampak tak lampu rumah saya yang saya baru buka?” kata gadis itu lagi.
“Nampak! So?” balasku.
“Saya cuma nak kepastian. Betul ke ada orang lain dengan awak? Saya tak yakin gadis yang berambut panjang yang duduk di atas bumbung hentian bas itu kawan awak.” jelasnya.
Kehangatan mula meninggalkan tubuh aku. Gagang telefon dilempar dan aku berlari meninggalkan tempat kejadian seperti tak cukup tanah. Suara hilaian yang nyaring memecah kesunyian malam. Aku teruskan berlari menyusuri jalan raya dan sebaik sahaja aku nampak lampu kereta menghampiri aku, aku pergi ke tengah jalan untuk menahan kenderaan tersebut.
HOOOONNN!!!!!
Kenderaan berkenaan sempat berhenti di hadapanku. Aku segera berlari ke sisi kereta itu, dan mengetuk tingkap pemandu dengan buku jari bertalu-talu.
“Hoi! Kau gila ke Kamarul! Nasib baik aku tak terlanggar kau! Kenapa kau ni? Nak mati ke? ” tempik pemandu pada aku sebaik sahaja tingkap keretanya diturunkan. Rupanya kenderaan yang aku tahan itu adalah kereta Joe.
“Buka pintu Joe! Kita berambus dari sini!” ujarku termengah-mengah.
Sejurus aku masuk dalam perut kereta dan melabuhkan punggung di tempat duduk sebelah pemandu, aku mula menceritakan perkara yang jadi. Tersasul-sasul aku bercerita. Joe mendengar sambil memandu.
“Perempuan yang call kau tu tak cuak pula?” soal suara dari tempat duduk belakang.
Aku terkejut sehingga terlompat dari tempat duduk. Bagai nak luruh jantung aku terdengar suara itu. Muka Joe berkerut melihat aku.
“Kau dah kenapa?” soalnya disusuli dekah ketawa di tempat duduk belakang
“Cis, kau Faizul! Aku tak perasan kau ada kat belakang. Aku ingat hantu tadi” kataku sambil mengurut dada.
“Aku lambat sebab ambil si Faizul ni dulu lah!” kata Joe.
“Ni siapa pula?” soalku sambil menoleh ke belakang dan menghulurkan jabat tangan pada gadis di sebelah Faizul.
Faizul pandang aku. Joe pandang aku. Aku pandang muka gadis yang menyeringai itu. Selepas itu kereta yang kami naiki terbabas kerana Joe terlanggar motosikal aku yang aku letakkan di hadapan hentian bas tadi.
Sedar-sedar ambulans dah tiba. Joe dan Faizul masih tak sedarkan diri ketika Pembantu Pegawai Perubatan bertandang pada mereka. Entah siapa yang call ambulans. Mungkin gadis di rumah hadapan hentian bas itu juga, kerana sekitar kawasan itu, tiada rumah lain.
Kami cedera ringan, dan dibenarkan pulang keesokan harinya.
Dalam perjalanan pulang dari hospital, kami suruh bapa Joe singgah di hentian bas semalam. Niat hendak bertandang ke rumah gadis yang bantu kami. Hendak ucapkan terima kasih. Malangnya setibanya disana kami dapati di hadapan perhentian bas tersebut, tiada rumah. Cuma paya.
"Kenapa ada hentian bas di sini sedangkan tiada apa disekelilingnya." tanya Pak Mus, ayah si Joe.
Kringgg! Kringgg! Kringgg!
Oleh Kamarul Ariffin Nor Sadan. Jemput follow Facebook beliau di SINI.
Sumber : Gengviral