Polis patahkan kegiatan jual buah pinggang, organ manusia


LAHORE: Polis menahan enam individu termasuk dua doktor yang terbabit dalam sindiket penjualan buah pinggang secara haram dalam satu serbuan di sebuah rumah, hari ini.

Jurucakap pihak berkuasa berkata, rumah itu dijadikan premis untuk menjalankan pembedahan pemindahan organ secara haram. Katanya, sindiket itu dipercayai menjalankan aktiviti penjualan buah pinggang kepada pelanggan antarabangsa khususnya dari negara Teluk yang kaya-raya.

Timbalan Pengarah Agensi Penyiasatan Persekutuan, Jamil Ahmad Mayo berkata, sepasukan pegawai menyerbu sebuah rumah di Lahore dan menahan empat individu yang sedang menjalankan pembedahan pemindahan buah pinggang kepada dua rakyat Oman.

"Dua rakyat Oman itu yang turut ditahan mendakwa mereka membayar sejumlah AS$70,000 (RM303 juta) setiap seorang untuk sebelah buah pinggang," katanya. Undang-undang Pakistan membenarkan pemindahan organ hanya dilakukan oleh individu yang memiliki hubungan persaudaraan dengan pesakit, manakala sebarang urus niaga adalah salah dari segi perundangan.

Lambakan pesakit kronik dan kekurangan organ untuk pemindahan membuatkan ia begitu laris di pasaran gelap sekali gus mendorong rakyat miskin menyara hidup mereka dengan menjual buah pinggang masing-masing.




Sumber : Friscomedia