'Hentikan urus dagangan minyak dalam Dolar AS'


Bendahari Agung MIC, Datuk Seri S Vell Paari menyarankan negara-negara Islam menghentikan urus dagangan minyak dalam Dolar Amerika Syarikat (AS) sebagai tindak balas terhadap keputusan yang dibuat oleh Presiden AS, Donald J Trump yang mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel, lapor Sinar Harian

"Mungkin guna beberapa mata wang lain yang boleh diterima oleh semua negara pengeluar minyak dan gas," katanya. 

Menurutnya, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak boleh memainkan peranan bagi pihak dunia Islam. 

"Beliau terkenal di dalam dan luar negara selain mempunyai hubungan yang sangat baik dengan 'Penjaga Dua Masjid Suci' Raja Salman Abdulaziz Al Saud. 

"Kuasa dan pengaruh Raja Salman dan Perdana Menteri diyakini dapat menyakinkan negara pengeluar minyak yang majoritinya umat Islam untuk menghentikan perdagangan minyak dalam Dolar AS," katanya. 


Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Tan Sri Ohtman Mustapha menyifatkan keputusan AS mengiktirafkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel adalah tidak wajar dan telah menafikan hak kedaulatan negara Palestin, selain menimbulkan kemarahan seluruh umat Islam. 

"Jakim sama sekali tidak menyokong cadangan untuk menjadikan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel memandangkan bumi Palestin adalah hak milik umat Islam, dulu kini dan selamanya. 

"Tindakan pelbagai pihak menganjurkan perhimpunan solidariti secara aman adalah amat signifikan sebagai memberi sokongan terhadap rakyat Palestin dan menunjukkan protest terhadap cadangan itu," katanya.