'Jangan bina kebahagan diri di atas tangisan derita wanita lain'


"Jangan membina kebahagian di atas derita orang lain," itu pesanan dari wanita ini kepada kaum hawa. Ramai yang bersetuju dengan pandangan Sazwani dan menyokong sepenuhnya apa yang ditulisnya itu. Sazwani juga pernah cuba didekati oleh suami orang sebelum ini, namun menolak dengan baik kerana tidak mahu menghancurkan rumah tangga wanita lain.

Belajarlah memahami dan janganlah bertuhankan nafsu sehingga sanggup merobohkan masjid yang sudah lama terbina. Tidak akan bahagia, malah hidup tidak akan rasa tenang meskipun berjaya merobohkan masjid orang. Jangan sampai satu masa kelak, keturunan anda sendiri menerima nasib yang sama dan ketika itu barulah anda faham betapa peritnya derita dianiaya kaum sendiri. 

SELAMA tujuh tahun saya menjanda, suami oranglah yang paling ramai test market nak jadikan saya sebagai isteri kedua. Kenapa suami orang ini sangat berani berbanding lelaki bujang? 

Senang saja, suami orang, dia ada isteri. Dia cuba pikat awak dan kalau awak menolak, dia tidak akan merasa sedih pun sebab dia ada isteri. 


Dan antara perkara yang paling susah apabila memegang status sebagai janda ini ialah stigma masyarakat yang menganggap kebanyakan janda ini adalah perampas suami orang. Terutamanya kalau janda itu jenis wanita yang melawa. 

Kalau nampak dia lawa sikit saja, makcik-makcik bawang ini akan mengecam yang janda ini nak mengoda suami orang. Padahal anak dara melawa tak apa pula. Again, stigma. 

Yang suami orang ini pula, sibuk nak cuba mengoda janda sebab senang beri alasan poligami. Kononnya dia buat perkara yang betul, tolong janda. 

Saya pernah offer pada seorang ustaz ini yang menggunakan alasan yang sama. Saya ada kenal seorang janda anak lima, nak tolong tak kahwin dengan dia. Ustaz itu terus terdiam. 

Betul, hari ini ramai janda yang jadi isteri kedua, tidak kurang juga anak dara. Tak tahulah sebab yang bujang tak berguna ke macam mana, saya tak tahulah kenapa suami orang juga yang dicari. Cuma nasihat saya, walaupun tidak layak nak beri nasihat, saya tetap nak cakap juga. 

Kalau nak menumpang atau extend masjid ke, tak kisahlah awak guna alasan apa pun sebagai isteri kedua, ketiga atau keempat, janganlah membinanya di atas tangisan wanita lain. Cukuplah kita yang menangis, kenapa perlu cari bahagia di atas derita orang lain? 



Maknanya, sebelum awak cuba nak menikah dengan suami orang, awak kena pastikan yang isteri pertama dia memang boleh menerima awak. Ada saja wanita seperti ini, sebab ustazah sekolah saya pun jenis yang baik seperti ini. 

Sebab itu kalau awak kahwin senyap-senyap dengan suami orang, memang hanya akan memburukkan keadaan. Di mana isteri pertama rasa tertipu. Ramai yang mengundurkan diri, akhirnya bercerai. Dan memang akan nampak awak jahat sebab meruntuhkan masjid orang kerana mahu membina masjid sendiri. 

Bak kata lagi Kak Gee, "Madu, manis padamu, pahitnya sungguh bagi diriku." 

Sumber: Sazwani