'1MDB sudah muflis, tak mampu bayar hutang' - Guan Eng


Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, mengesahkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) telah muflis dan tidak lagi mampu untuk membayar hutangnya. 

Beliau berkata, perkara itu dinyatakan sendiri oleh Pengarah 1MDB kepadanya ketika sesi perjumpaan hari ini. 

Dalam perjumpaan itu, Guan Eng bersama tiga Timbalan Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Siti Zauyah Md Desa, Datuk Ahmad Badri Mohd Zahir dan Datuk Asri Hamidon berjumpa dengan dua ahli Lembaga Pengarah 1MDB, Datuk Norazman Ayob dan Datuk Kamal Mohd Ali. 

Selain itu, Guan Eng juga mengadakan perjumpaan dengan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul KAnda Kandasamy yang ditemani bekas Ketua Pegawai Kewangannya (CFO), Azmi Tahir dan bekas Penasihat Undang-Undangnya, Ivan Chen. 

Menurut Guan Eng, perjumpaan itu bertujuan untuk mengetahui status kewangan 1MDB terutama keupayaah syarikat itu untuk membayar semula hutangnya. 

"Kedua-dua pengarah 1MDB mengesahkan bahawa 1MDB sudah muflis dan tidak mampu membayar hutang mereka.

"Bekas CFO, Azmi telah menulis kepada Kementerian pada Mac lalu menyatakan yang 1MDB tidak mampu melangsaikan faedah yang akan berakhir pada April dan Mei ini.

"Bagaimanapun, ketika ditanyakan perkara ini kepada Arul, beliau mengatakan sedang bercuti sehingga tamat kontraknya pada Jun ini. Justeru beliau mendakwa tidak tahu menahu menganai kedudukan kewangan syarikat,” katanya pada sidang media di pejabat kementerian di Putrajaya, hari ini.

Sumber: Harian Metro