Al-Fatihah, Bekas Penyampai Radio Hot FM Meninggal Dunia



Bekas penyampai radio Hot FM Terengganu dan juga radio Manis FM, Mohd Rafly Rahamat telah disahkan meninggal dunia semalam.

Mohd Rafly Rahamat dilaporkan meninggal dunia kira-kira sekitar jam 7.00 malam semalam di Kediamannya di Kuantan, Pahang.

Pemergian penyampai radio berusia 32 tahun itu dimaklumkan oleh bekas rakan sekerjanya, penyanyi Bienda Razli sebentar tadi.

Beberapa bulan lalu, keadaan arwah yang pernah bertugas sebagai penyampai radio Hot FM Terengganu dilaporkan tenat.

Ini dikatakan ekoran dia menghidapi penyakit misteri sejak beberapa bulan lalu.

Mohd Rafly sebelum ini dimasukkan ke hospital April lalu setelah hilang selera makan, lalu mengakibatkan berat badannya turun secara drastik.



KOMEN TEMAN RAPAT

Sementara itu, rakan baik Allahyarham, Muhammad Saifuddin Rashid atau El memberitahu Rafly menghembuskan nafas terakhirnya di kediaman keluarganya di Kuantan, Pahang.

El turut memberitahu, dia bersama beberapa orang rakan sempat menziarahi arwah di rumahnya pada tengah hari tadi dan tidak menyangka itu adalah pertemuan terakhir dengan sahabatnya itu.

"Sayu saya melihat keadaan Rafly yang nazak selain fizikalnya yang terlalu kurus.

"Ketika kami meminta izin untuk pulang dia seolah-olah tidak membenarkan kami balik dan minta kami berada di sisinya.

"Terkejut juga apabila mendapat perkhabaran Allahyarham meninggal dunia tetapi Alhamdulillah kami sempat bertemu dengannya buat kali terakhir," 

Dalam pada itu, El memberitahu, Rafly sebenarnya baharu sahaja dibenarkan keluar daripada Hospital Tengku Ampuan Afzan, Kuantan selepas terlantar sejak April lalu.

Bagaimanapun katanya, dia sendiri tidak dapat memastikan apakah penyakit sebenar dihadapi oleh Rafly namun dipercayai terkena penyakit misteri.

Semoga roh arwah dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan mereka yang beriman