'Bunyi benda melompat-lompat di luar tingkap bilik, hanya papan yang pisahkan aku dengan benda itu'


Kepada yang gemar membaca kisah-kisah seram, janganlah mudah terpengaruh dengan kisah-kisah yang dikongsi di laman ini. Sama ada benar atau tidak sesuatu kisah penampakan itu, hanya tuan empunya penulisan sahaja yang tahu. Jangan teruskan membaca sekiranya anda lemah semangat atau lemah jantung. Jika anda mahu teruskan juga, tanggunglah risikonya sendiri. 

Dari kisah asrama, kali ini penulis 'Aku Ikmal Hanif' keluar dari asrama dan bermalam di rumah pakgad sekolah yang selalu membantunya itu. Sekali lagi, jangan terus jika anda seorang penakut. Serious ni gais. 

KEJADIAN ini berlaku beberapa bulan selepas aku kena lock dalam asrama. 

Time tu minggu balik asrama. Aku ikut pakgad balik ke rumah dia. Macam yang aku cakap dulu, pakgad ini salah seorang daripada ahli darul syifa. 

Rumah dia jauh dalam pendalaman kampung. Untuk ke rumah dia, kau kena lalu kubur, lorong kecil yang kiri kanannya dipenuhi pokok getah dan semak samun. Rumah dia terletak betul-betul di tengah ladang getah. 




Rumah kampung jenis papan, sederhana besar dan dipagari dawai kawat. Sampai saja di depan rumah, ada dua buah pokok besar yang betul-betul di luar pagar rumah. Dah macam pintu gerbang! 

Dia tinggal berdua dengan isterinya di rumah itu. Anak-anaknya semua bekerja di Kuala Lumpur. Aku turun dari kereta, isteri dia keluar rumah pakai baju t-shirt bola Manchester United sambil berkain batik. Perghh! Budak-budak GGMU rupanya makcik ni! 

Isteri dia sumpah baik gila! Aku baru jejak tangga rumah, isteri dia dah hulurkan air kopi. Perghh! Baru nak minum air kopi, isteri dia dah hulur semangkuk bubur. Dah rasa macam anak raja weh! Disumbatnya aku macam-macam makanan. 

Sambil lepak di depan rumah, pakgad itu bercerita yang rumah ini ialah rumah pusaka. Dia anak tunggal. So nak jual, sayang sebab rumah ini dah turun temurun. So dah ada sentimental value di rumah itu. 


Aku tanya, "Tak takut ke rumah dekat tengah-tengah ladang getah dan jauh daripada jiran-jiran? Jiran terdekat terletak dalam jarak 50 meter."

Dia kata rumah dia dah dipagar. Pencuri, hantu apa semua tak boleh masuk jika bukan izin Allah. Aku lega. Fuhh! Boleh rehat hujung minggu ini daripada benda-benda seram hanat ini. 

"Pokok godio tu depe umoh? Guano besar sangat? (Pokok apa tu depan rumah? Kenapa besar sangat?)," soal aku lagi. 

Dia kata yang itu pokok cengal. Makin besar pokok itu, makan mahal bila nak tebang. So itu macam sahamlah kalau-kalau ada sesuatu yang berlaku dan perlukan duit, dia akan jual pokok itu. 


Aku kagum dengan dia punya pemikiran. Selalu saham orang main di bank, main MLM tetapi dia main saham dengan pokok cengal je wei. Legend kemain! 

Dalam jam 6 petang, aku masuk rumah. Isteri dia tunjukkan bilik untuk aku. Selesalah bagi rumah kampung. Katil king size. Tingkap jenis boleh kopak macam iklan adabi menghadap pokok cengal. Tapi tak berpintu cuma ada langsir polka dot saja sebagai pemisah. 


Selepas maghrib, kami makan bersama. Selepas makan, pakgad kata yang dia kena balik asrama sebab malam ini syif dia sampai jam 8 pagi. Kemudian aku terfikir, setiap hari pakgad itu syif malam, siapa yang temankan isteri dia? Sudahlah rumah dia di tengah ladang getah! Gelap! Rumah jiran pun jauh. Kasihan isteri dia, nak membawang pun susah! 

So, selepas saja isteri dia bungkuskan bekal untuk suami, pakgad itu pun gerak ke asrama. Maka tinggallah kami berdua. 


"Sokmo kalu pokcik gi kijo male, mokcik duk nga sapo? (Selalu kalau pakcik ada syif malam, makcik duduk dengan siapa?)" aku tanya. 

Dia jawab yang dia sudah biasa duduk seorang. Kalau takut, dia mengaji Al-Quran. Aku terdiam. Tak sangka ada orang yang berani macam dia. Aku ni kalau takut, tahu menjerit saja. 

Malam itu bosan sebab TV tak ada cerita best. Ada channel 1,2, 3. Kemudian aku nak masuk bilik dalam jam 9 malam. Isteri dia tengah melipat baju di ruang tamu. 

Selepas landing sambil berangan-angan dapat berkahwin dengan artis popular, aku terlelap. Tidak lama selepas itu, aku terbangun sebab lampu tak tutup. So bilik itu jadi bahang. Buka tingkap pun masih terasa panas. 


Aku cari telefon, tengok dah jam 3 pagi. Aku intai luar bilik, gelap, senyap dan sunyi. Mungkin makcik itu dah tidur. Kemudian aku tutup lampu dan baring balik serta cuba tidur semula. 

Pejam punya pejam, mata tak boleh lelap. Dalam 30 minit aku duduk resah atas katil. Pusing kiri tak selesa, nak pusing kanan takut sebab ada tingkap. Badan dah berpeluh lencun sebab panas. Aku decide nak ambil angin sejuk di beranda. 

Aku buka pintu rumah. 

"SRRHHHEEEEKKKKKKKKKKK!!!!!!" 


Angin sejuk menyapu muka. Aku duduk atas kaki pintu sambil memandang sekeliling. Gelap. Dalam 50 meter nampak lampu luar rumah jiran terdekat. Bunyi cengkerik dan bunyi daun bergesel antara satu sama lain menemani aku malam itu sambil main game snake xenzia! 

Tengah khusyuk mengejar highscore, TIBA-TIBA! Ular aku tergigit badan sendiri. Shit! Sikit lagi siak nak highscore. Aku decide masuk bilik. 



Baru bangun, then suddenly aku terhidu bau bunga kemuning yang manis dan wangi. Bau yang sangat kuat! Macam orang baru lepas sembur perfume flavour bunga di depan hidung aku. Aku tarik nafas dalam-dalam. Masa itu aku fikir mungkin ini bau udara kampung waktu begini. Tetapi aku salah, itu adalah petanda bahawa dia ada berdekatan. 

Secepat bau itu datang, secepat itu juga dia hilang. Bau wangi itu bertukar menjadi bau hamis, hanyir. Try imagine kau pergi pasar yang jual-jual ikan itu, kemudian kau tarik nafas panjang-panjang. 



Aku cepat-cepat tutup pintu, kunci dan masuk bilik. Aku dah fikir bukan-bukan. Nak tutup bilik,  bilik ada langsir saja. Aduhh! Masa itu aku perasan yang tingkap bilik tak ditutup. Hahaha! Sial lah! 

Aku seberang katil sebab nak tutup tingkap. Masa aku nak capai daun tingkap, mata aku ternampak sesuatu di sebelah pokok cengal. berdiri kaku, berwarna putih. Badannya berbalut dengan kain putih tetapi lusuh dengan kesan tanah kehitaman. Mukanya tidak kelihatan tetapi terlihat jelas susuk badannya yang terikat. Berbunjut. POCONG!!! 



Aku terpaku, tak boleh bergerak. Mata aku pandang saja benda itu. Aku dalam keadaan sedar tak sedar. Nak bergerak tak boleh, lidah aku pula kelu. 

Tiba-tiba benda itu hilang. Masa itu aku rasa macam tertipu dengan cerita TV yang tunjuk bahawa pocong ini melompat. Actually dia tak lompat weh! Dia 'zaapppp' hilang. 

Entahlah macam mana aku dapat kekuatan untuk bergerak dan menutup tingkap. Terus aku tutup dan kunci! Aku keluar bilik sebab nak pergi dekat makcik itu. Takut punya pasal, aku lari ke bilik dia yang terletak di dapur. 


Sampai ke depan bilik dia, aku ketuk pintu. 

"TOK! TOK! TOK!"

Tak ada respon, aku ketuk lagi. 

"TOK! TOK! TOK!"

Kemudian aku dengar makcik itu bersuara, "Sapo tu? Wakpo? (Siapa tu? Kenapa?)," soalnya.


Aku cakaplah yang aku takut tidur seorang sebab tak sedap hati. That time tiba-tiba aku dengar ada bunyi anjing menyalak dari belakang rumah. Salakan anjing itu bukan main lagi agresif, dah macam K9 jumpa pengganas bawa bom! Aku panik! Dalam otak aku mungkin anjing itu ternampak pengganas bawa bom atau dia nampak pocong itu main cikucak di sebalik pokok getah! 


Kemudian aku terdengar itu cakap dari dalam bilik. 

"Tidurlah. Takdok gapo pung. Nati mokcik gi teme"
(Tidurlah, tiada apa pun. Nanti makcik datang teman)

Aku dengan berat langkah jalan ke balik dan baring di atas katil. Masa itu macam-macam bunyi yang aku dengar. Bunyi anjing menyalak, bunyi kucing mengawan. Kemudian aku sedar yang ada kehadiran bunyi benda lain. Kau pernah dengar bunyi buah kelapa jatuh atas tanah? Yes, bunyi kelapa jatuh atas tanah tetapi berulang kali. 

DUP! DUP! DUP! 

Aku fikir itu bukan bunyi kelapa jatuh. Mana ada kelapa jatuh satu persatu banyak kali! Itu benda lain, bunyi benda melompat. Bunyi itu betul-betul berada di luar tingkap bilik aku. Hanya papan yang memisahkan aku dengan benda itu. 


Bau hanyi dan busuk macam ikan lama menyengat ke dalam hidung! Aku tahan! Dalam hati macam-macam zikir aku baca. Aku tekup muka dengan bantal dan pastikan kaki aku tak melebihi katil sebab takut dia datang kaut kaki! 


Selepas 10 minit, tiba-tiba aku terdengar bunyi motosikal masuk ke halaman rumah diselangi dengan bunyi orang bercakap-cakap dan serentak dengan itu juga bau dan semua bunyi itu tadi hilang! Yang ada hanya bunyi cengkerik sahaja! 

Aku rasa selamat. Dalam otak aku fikir, mungkin pakgad itu dah balik. Tapi waktu baru jam lima pagi? Aku tak kisah. Aku terus keluar dari bilik dan buka pintu rumah! 

Buka saja pintu, aku terus terduduk atas lantai. Aku bersyukur pakgad itu dah balik. Tetapi aku terkejut yang di belakang pakgad itu ada orang ikut dia turun moto. Pakgad itu naik rumah dan tanya aku. 

"Wak gapo duduk sini? Tak tidur lagi?" 
(Buat apa duduk sini? Tak tidur lagi?)

Cuba teka siapa yang aku nampak dengan pakgad tadi? Isteri dia! Isteri dia naik moto dengan suami dia! Dan itu bermaksud aku duduk di rumah itu seorang diri sepanjang malam! 

Then, suara siapa di bilik dia tadi?! Suara siapa yang cakap akan datang teman aku tadi?! Suara siapa yang suruh aku masuk tidur tadi?! 

Then something spark dalam otak aku. Itu mungkin suara pocong tadi dan dia tepati janji untuk teman aku tidur malam itu. Sepanjang malam dia melomat di sebelah aku yang hanya dipisahkan oleh dinding papan. Dia buat apa yang dia cakap. 

Aku cerita kejadian ini pada pakgad. Dia cakap yang tadi dalam jam 2 pagi ada orang kampung kena sampuk. Pesakit itu permepuan, sebab itu isteri dia ikut. Dia nak beritahu aku tetapi aku tidur macam mayat, so dia tak nak ganggu. 

Then aku tanya, kalau rumah kena pagar, kenapa benda itu masih boleh mengganggu? Dia kata yang hantu itu syaitan. Rumah dipagar untuk menghalang syaitan. tetapi qarin di dalam badan yang melekat dengan kita sejak azali tidak boleh dipagar. 

Selagi qarin ini melekat dengan kita, selagi itu syaitan ini dapat bekerjasama dengan qarin untuk menjatuhkan iman kita. 

What is qarin? Do some research guys! 

So maknanya pocong tadi tak masuk rumah tetapi qarin dalam badan kita ini yang membuatkan kita berfikir macam-macam sampai pada satu tahap kita terdengar benda yang bukan-bukan. Masa itu syaitan pun ambillah peluang lah! 

Malam itu, kami tidur bertiga di ruang tamu. Ke mana saja makcik atau pakgad itu pergi, aku mesti ikut! Seram doh sebab pocong ini suka dengan orang yang suka menyendiri. Dia jenis 1 vs 1. Itu apa yang aku belajarlah. Haa, korang duduk seorang diri ke tu?

So itu sajalah untuk masa ini. Selepas ini InsyaAllah aku akan buka semula cerita tentang asrama dari member-member aku. Sejak aku buka story tentang asrama, makin aku tahu yang ramai rupanya kena ganggu di tempat itu. 

So take care, jaga diri, pastikan kaki tidak melebihi katil dan pastikan keadaan sekeliling korang cerah sebab pocong suka tempat gelap, lembab dan kotor. Itu fakta! Jadi kalau dalam bilik korang terdapat baju kotor atau tempat lembab dan dalam masa yang sama gelap. hati-hati. Lagi-lagi kalau kau duduk seorang diri. Complete! Bila-bila masa saja dia boleh datang. 

Atau mungkin dia dah ada. Menyamar sebagai bantal peluk korang semasa tidur atau berfiri di sebelah tingkap bilik korang sambil melompat. 

DUP! DUP! DUP!