'Nanti puan dah boleh bangun, bolehlah tengok arwah kat bawah' - Si ibu meraung sepuas-puasnya di katil wad


Tidak ada sesiapa yang dapat menjangkakan dugaan akan datang menimpa mereka walaupun hari yang dilalui indah belaka. Tetapi sebagai manusia, kita perlu bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku.

Kelahiran merupakan satu momen yang dinantikan oleh semua ibu bapa. Setiap ibu bapa juga ingin melihat anak yang lahir ke dunia sempurna di mata mereka, tetapi ibu bapa juga perlu redha dengan ketentuan Ilahi sekiranya bayi yang dilahirkan tidak sempat melihat dunia. Walaupun sudah setahun berlalu, kesedihan itu masih terasa di hati Niti Nasuha Muhamed yang telah kehilangan anak. Anaknya disahkan meninggal dunia setelah beberapa jam dilahirkan.

Al-Fatihah Anakku
25/4/2017- 25/4/2018

HARI ini genaplah setahun pemergian putera kami Muhammad Yusuff Bin Muhammad Hazwan dan Ulangtahun kelahirannya yang setahun. Dia seorang anak yang kuat, manja dan comel.

Setiap kali pada tanggal 25 haribulan, pasti air mata aku mengalir tanpa sebab. Bila tengok kalendar, ohh putera kami rindukan kami rupanya. Hanya naluri seorang ibu yang dapat merasainya. Dan setiap kali tiba 25 haribulan, saya hanya mampu melihat gambar masa lahirnya sambil membilang umurnya yang telah pergi setiap bulan sedangkan orang lain melihat count monthsary anak setiap bulan beserta gambar anak yang makin membesar.

Ramai yang masih tak tahu kenapa anak kami pergi. Hanya yang terdekat saja yang mengetahui. Saya dah tekad bila saya dah kuat, saya akan ceritakan dan hari ini cukup setahun saya dah cukup kuat untuk terima segalanya untuk  kenangkan kembali saat manis dan pahit bersama putera kami.

Sebelum kandungkan dia, saya pernah keguguran buat pertama kali. Masa tu kandungan baru 10 minggu.  Dua bulan lepas tu saya  dapat rezeki mengandung lagi. Mengandungkan Yusuff ni sangat senang skali. Alahan pun sampai tiga bulan macam tu je lepas tu okay.  Masa ni tak ada masalah apa-apa lagi, pergi check up klinik semua okay. Kesihatan saya pun  okay dan tak ada masalah Hb low ke high ke, dan kencing manis pun tak ada. Boleh dikatakan semua okay lah.

Okay, dah nak masuk 27 minggu terasa macam nak scan nak tengok jantina. Biasalah kita mesti excited nak tahu kan. Masa tu gedik nak pergi scan di klinik swasta sebab mungkin lebih nampak kot. Okay, saya dengan excited pergi ke sana. Doktor pada mulanya senyap apabila scan. Bila dah lama scan, baru doktor  bersuara dan dia cakap "Puan tahu tak yang air ketuban puan macam dah kurang, dan saya tak jelas nak tengok jantinanya". 

Saya terus rasa tak sedap hati. Doktor tu cakap air ketuban saya bacaan hanya 8 sahaja dan agak bahaya untuk baby. Doktor terus bagi surat minta saya pergi ke klinik yang saya selalu check up.

Bila dah pergi ke klinik tu, jawapan yang diberikan doktor pun sama. Bacaan air ketuban saya dah kurang dan sudah menurun kepada bacaan 5. Mereka terus buat surat suruh saya pergi ke hospital. Then dengan hati tak tenang rasa macam nak menangis, saya terus pergi serah diri di Hospital Sungai Buloh. Di sana, mereka scan sekali lagi  dan cakap benda yang sama. Pelbagai soalan yang ditanya, malah semua jawapan saya tak ada masalah, tak ada leaking or apa-apa yang membuatkan air tu kurang. 

Selepas tu rujuk pulak pakar dekat situ. Allahu jawapan yang saya tak pernah terlintas akan keluar. Doktor tu cakap dia tak nampak buah pinggang sebelah. Luluh hati ni mendengar nya, rasa macam nak pengsan kat situ terus. Air mata terus berjurai, rasa macam tak percaya kandungan saya ada masalah. Tapi doktor cakap dia pun tak pasti. 

Seminggu kena warded kat situ sebab nak pantau dan nak cucuk 'Dexa'( ubat matangkan paru-paru baby) incase kalau kena brsalin awal. Dexa ni sakit sangat, tapi demi anak, ku gagahkan juga. Sedih sangat waktu bila kenangkan baby ada masalah, kami sama-sama  berjurai air mata sebab sedih dapat berita yang tak disangka-sangka.

Bila dah masuk seminggu kena warded, doktor pakar di situ call doktor pakar yang lagi pakar bahagian scan baby, so dapatla pakar dekat Hospital Klang. Hati ni dah longlai sebab tak sanggup nak dengar keputusan yang sama lagi. 

Tapi sebelum pergi serahkan diri ke sana, kami cuba ikhtiar pergi scan swasta di Hospital Az-zahra dekat bangi, dengan harapan mereka ada peralatan canggih untuk nampak segalanya. Riak muka doktor sama setiap kali scan perut saya. Saya dah dapat agak mesti berita yang sedih jugak. 

Doktor situ pun cakap kandungan dalam bahaya, air ketuban awak saya dah tak boleh kira berapa bacaannya. Bila keluar je  dari blik doktor, saya menangis semahu-mahunya dan dah tak hiraukan sesiapa dah. Saya rasa tak kuat sangat dan rasa lemah sangat. Okay tak apalah, pergi yang dekat Klang tu pulak minggu depan.

First pergi sana, jawapan yang sama kami terima, jawapannya tak dapat tengok dengan jelas buah pinggangnya. Andaian demi andaian doktor berikan yang  tak sanggup kami dengar sehinggakan doktor minta untuk buat ujian air ketuban untuk tahu apa masalah sebenarnya. Kami buat solat hajat dan solat istikharah untuk bagi keputusan yang tepat sambil tanya kawan-kawan, parents apa yang perlu dibuat. So kami decide menolak  ujian tu sebab takut ganggu kandungan.

Jadi bila keputusan itu saya buat, doktor Klang tu cakap saya perlu tanggung risiko dan kena selalu pantau pergerakan baby dan last skali doktor tanya nak bersalin dekat mana. Masa ni kandungan baru 8 bulan. Saya cakap je Hospital Serdang sebab dengar sana ramai pakar dan service okay skit. So dapat surat pergi hospital sana pulak. Penat ke hulu ke hilir dah tak rasa sebab lebih fikirkan keadaan baby. Air mata yang keluar pun macam sampai dah nak kering sebab tiap hari menangis. Dah macam-macam ikhtiar tradisional la, ambik air penawar la, mintak orang kampung, budak tahfiz buat solat hajat, dan makan buah-buahan yang boleh banyakkan air ketuban. Bermacam-macam cara dan ikhtiar kami cuba. 

Pergi je dekat Hospital Serdang jumpa pakar sana. Alhamdulillah, ada sedikit positif dari doktor di situ. Doktor cakap buah pinggang baby okay jer, boleh nampak dua, cuma air ketuban tu memang sikit. Bila dengar macam tu, rasa lega yang amat sebab babyku sempurna tapi air ketuban sudah mencapai tahap tiada bacaan. 

Doktor nak warded semiggu sebab nak tengok keadaan baby.  Saya dicucuk lagi dengan 'Mexxa' pulak. Tak tahu betul ke tak bacaannya. Tapi Mexxa tu Ya Allah sakit sangat, panas satu badan sehingga menggigil badan ni. Dah la kena masuk ubat lepas tu kena masuk dalam laboor room sebab dah tak boleh wad biasa dan nak guna peralatan dalam laboor room kena ada doktor pantau setiap sejam. Semiggu admit kat sni. Hati ni tak senang duduk dah. Doktor pun datang cakap saya boleh keluar wad sebab doktor tengok bacaan jantung baby okay, aliran darah sampaipun ok, gerakan okay macam tak ada masalah apa-apa. So doktor  izinkan saya keluar wad tapi setiap minggu kena datang jumpa pakar untuk scan tengok keadaan.

Alhamdulillah kat sini saya dapat doktor perempuan yang sangat baik, sopan dan sentiasa bagi kata-kata positif. Setiap minggu dia scan dia cakap baby ni aktif sangat la nk scan pun payah sampaikan terukir sedikit senyuman saya walaupun hati tengah resah. Doktor pun cakap dia tak boleh nak cakap kenapa air ketuban saya sedikit sedangkan keadaan baby okay. Dia cakap kita tengok nanti baby dah keluar, insyaAllah baby okay. Kata-kata positif selalu keluar dari mulut doktor. Doktor dah cakap dia hanya tunggu baby matang untnk keluarkan means kena bersalin awal. Awal tu maksudnya masuk je 9 bulan (cukup 37 minggu) saya kena bersalin. 

Doktor takut nak suruh saya bersalin pra matang sebab kesian kan baby, sebab baby masih okay kat dalam. Doktor dah bagi surat untuk bersalin pada  tarikh 25/4/2017.  Tapi doktor cakap awak kena ceaser sebab kepala baby kat atas. Allahu, tak kuatnya aku nak hadapi pembedahan pulak.

Sehari sebelum saya dah kena warded, perasaan time tu Ya Allah, berikan la aku peluang untuk bersalin normal, pusingkan kepala anakku ke bawah. Doa tak habis-habis, solat sunat semua dah buat. Tapi dah ini takdirku, scan kali terakhir, kepala baby still kat atas, so kena operate jugak. 

Malam tu berpuasa lah saya untuk jalani operation pagi esok. Doktor dah cakap giliran saya yang last sekali iaitu selepas zuhur. Ada lima orang kena ceaser hari tersebut. Pada malam tu Tuhan saja yang tahu, sebak tak terkata saya duk berbual dengan baby sambil usap perut. Setiap kali saya bercakap dia bergerak, seolah-olah dia pun nak berborak dengan saya. Saya happy sangat. Sebelum tu pun dia selalu bagi rangsangan bila saya bercakap, memang anak yang dengar kata maknya.

Pukul 11 lebih macam tu saya rasa sakit kat perut. Saya tak tahu sakit kenapa. Rasa nak buang air besar, tapi tak nak pulak sampai tak boleh nak tidur langsung malam tu. Tapi anak dalam perut tu lah teman kan, bergerak tak henti-henti. Tak tahu kenapa aktif sangat sampai ke subuh dia bergerak. Tapi sambil saya rasa tak tahan dah sakit tu saya panggil nurse pun die cakap tak ada apa sebab dia ingat saya sakit perut biasa. Saya ni tak tahu macam mana contraction, saya panggil nurse lain untuk cek saya. Dia cakap ni contraction ni, dan saya tak boleh bersalin normal sebab songsang  so emergency mereka tolak saya ke bilik OT pagi tu pukul 8. Saya sempat mesej sepatah je bagitahu pada  suami saya perlu ditolak ke bilik OT.

Sambil ditolak saya dah menangis sebab sakit sangat dan menangis ketakutan. Zikir tak henti-henti dari mulut saya supaya diselamatkan semuanya. Dalam bilik OT tu saya rasa mereka dah keluarkn baby, saya  tak sabar nak tengok baby. Tapi mereka tak tunjuk langsung baby pada saya. Nurse datang cuma cakap dah selesai dan tolak saya ke bilik lain untuk rehatkan diri. Tapi saya tetap tak puas hati, saya nak tengok baby saya. Hati saya dah resah mana baby saya. Saya dah tak sedap hati kenapa mereka tak bagi saya tengok baby. Sambil baring di bilik sebelah, saya duk angkat-angkat kepala ni nak paggil sesiapa yang lalu nak tanya pasal anak sampai saya termuntah sebab dah angkat kepala. Nurse dah pesan jangan tinggikan kepala takut muntah. Saya dah tak hirau dah sebab nak tengok baby. Nurse tu pun cakap nanti doktor pakar datang bagitahu keadaan baby.

Selepas tu, datang la pakar dekat tempat saya berehat. Dia cakap “Puan rehat baik-baik ya, anak puan ada dekat ICU sekarang. Dia ada masalah sikit, dia dengan ayah dia ada kat sana. Saya dah explain dekat ayah dia, nanti puan dah boleh bangun boleh la pergi tengok.“ Hati ni terus rasa lega sikit sebab dia bersama ayah dia walaupun tertanya-tanya kenapa duduk di ICU.  Dalam kepala saya fikir positif je masa tu “Alah anak orang lain ada jugak masuk ICU, nanti boleh keluar la tu.” Itu je saya fikir. Perasaan tak sabar nak bangun nak tengok je. Saya bersalin dalam pukul 9 pagi. Saya ditolak naik ke wad biasa dalam pukul 11 macam tu.

Semasa kat wad, suami saya datang jenguk saya dalam pukul 12. Saya tanya mana anak. Dia cakap kat ICU, anak okay insyaAllah. Lega saya dengar. Tapi saya pelik time tu, mata dia merah. Saya hanya fikir mungkin dia sedih anak masuk ICU je kot. Positif je yang saya fikir. Tapi mak ayah datang salam dengan saya semua mata merah. Saya tanya kenapa nak sedih anak duk ICU je pun. Saya masih positif tetapi dalam kesedihan tu saya tengok suami saya kelam kabut jumpa nurse sebelah sana. Saya fikir positif lagi mungkin dia nak tanya bila anak boleh naik wad kot.

Tak lama kemudian, nurse datang nak cek keadaan saya. Nurse terlepas cakap “nanti puan dah boleh bangun boleh la tengok arwah kat bawah.” Ya Allah, saya tak berape faham ayat nurse tu. Nurse tu pun terkejut sebab saya masih tak tahu keadaan sebenar.  Hati saya dah berdegup kencang. Ayah saya dan suami saya terus cepat mendekati saya sambil peluk saya sambil berbisik dengan saya “bawak mengucap sayang, anak kita dah pergi tinggalkan kita, saya tak sanggup nak bagitahu tadi sebab tengok awak masih lemah.” Saya meraung sepuas-puasnya nya kat situ. Saya rasa macam nak bangun terus nak pergi tengok anak saya. Rupanya mata suami merah semasa datang jenguk saya, baby dah meninggal. Dia sedang berbincang dengan ayah macam mana nak bagitahu pada saya. 

Doktor tak bagi saya bangun kerana patient baru lepas operate selepas enam jam baru boleh bangun. Ya Allah ujian apakah ini. Aku tak kuat. Masa ni rasa nak pengsan je. Saya menangis  tak berhenti. Doktor datang explain anak saya ada masalah paru-parunya lemah. Kami dah cuba bantu bagi saluran pernafasan, tapi dia bertahan tiga jam saja. Dia cakap baby lemah pernafasan selepas tali pusat diputuskan. Maknanya selama dia aktif dalam perut, dia hanya bergantung pada diriku 100%. Sebab tu dia kuat dalam perut. Manjanya kamu dengan Mama.

Saya meronta-ronta nak bangun nak tengok baby kat forensik, sebab bahagian forensik tak bagi bawak naik atas sebab ikut prosedur, mayat tak boleh bawak naik wad. Suami saya berkali-kali pergi pujuk suruh bawak naik sebab saya nak kucup kali terakhir sebelum dikebumikan di kampung. Mereka still berkeras. Suami saya cuba pujuk doktor pulak supaya kasihankan saya nak jumpa anak saya. Akhirnya doktor tu pergi berbincang dengan bahagian forensik dan mereka benarkan.

Pukul 6 petang macam tu, dalam kesibukan bunyi bising, saya terdengar troli ubat mcm tengah bergerak, dan dalam masa yang sama saya dapat rasakan seolah-olah anak saya tengah berlari untuk dapatkan saya. Ya Allah, sungguh perasaan ku betul. Troli tadi sebenarnya bawak anak saya untuk jumpa saya. Saya tak boleh bangun dari katil cuma boleh tinggikan bahagian belakang. Saya terus dakap dan cium dia puas-puas. Saya teliti tangan dan kakinya. Ya Allah, sempurnanya kamu sayang. Tapi Tuhan lebih sayangkan kamu. Mama redha dengan pemergian kamu nak. Pergilah jumpa Penciptamu sayangku. Selepas pada tu suami saya minta izin untuk bawak balik arwah untuk kebumikan di kampung. Tapi saya perlu stay di hospital lagi sebab badan saya masih lemah. Suami saya bawak balik malam tu jugak ke kampung. Saya merayu untuk balik jugak sebab saya nak tengok anak dikebumikan. Allahu, Tuhan saje tahu perasaan saya tak dapat balik untuk mandikan jenazah dan tengok kali terakhir sebelum dikebumikan. Allah sedang uji saya lagi.

Sampai ke hari ni saya bangkit, bina hidup saya semula dan cuba kuatkan diri demi orang-orang yang saya sayang disekeliling saya sehinggakan saya cipta WANITY WEDDING CONCEPT tersebut sebab ingin cari masa yang terluang untuk benda-benda  yang saya minat dan kurangkan kesedihan saya. 

Alhamdulillah makin hari makin kuat. Allah Maha Mendengar. Hari ni 25/4/2018 saya bangun pagi dengan rasa sebak sebab terkenangkan hari ni hari kelahiran dan pemergian dia. Tapi sesampai di office, saya dapat berita gembira dimana suami saya dapat kerja yang lebih baik dari yang sekarang, dengan pangkat yang lebih tinggi. Berita yang selama ini kami tunggu, genap setahun Engkau gantikan dengan tangisan kegembiraan pada hari yang sama. Syukur padaMu Ya Allah Engkau Maha Mendengar dan Maha Mengasihani hamba-hambaMu.Terima kasih Ya Allah. Terima kasih sebab jadikan saya seorang hamba yang kuat.

Terima kasih kerana sudi membaca coretan ku. Ingatlah, Allah Maha Adil. Dia datangkan hujan lebat ribut petir, disebalik tu Allah datangkan pelangi kepada kita. Renung-renungkankan diri masing-masing.

SELAMAT ULANGTAHUN YANG PERTAMA ANAKKU.

AL-FATIHAH ANAK SYURGAKU
MUHAMMAD YUSUFF BIN MUHAMMAD HAZWAN DALAM KENANGAN