'Tiada sesiapa yang akan dipecat' - 800 kakitangan SPAD diserapkan ke JPJ


Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad semalam mengumumkan beberapa agensi dan badan kerajaan akan dibubarkan bagi mengurangkan perbelanjaan kewangan negara. Pembubaran itu turut melibatkan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), menimbulkan tanda tanya di kalangan kakitangan SPAD akan kedudukan mereka. 

Bagaimanapun, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook memberi jaminan bahawa kakitangan SPAD tidak akan diberhentikan. Sebaliknya, kira-kira 800 kakitangan tetap SPAD akan diserapkan ke Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ). 

"Jangan bimbang, semua kakitangan SPAD akan diserapkan sebagai kakitangan tetap di bawah JPJ. Tapi kita akan kaji kalau ada mana-mana perjawatan yang bertindih. Kakitangan tetap di SPAD tidak akan dipecat," katanya memetik laporan dari mStar Online hari ini. 

Menurut beliau, terdapat 1,000 kekosongan jawatan di JPJ terutamanya di bahagian penguatkuasaan dan sebagainya akan diisi oleh kakitangan SPAD. 

Anthony juga menafikan dakwaan liar bahawa Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak prihatin terhadap penjawat awam dan meminta semua pihak tidak membangkitkan isu tersebut. 

"Kita juga menjaga kebajikan penjawat awam termasuk kakitangan SPAD. Mereka akan bekerja seperti biasa, tiada sesiapa yang akan dipecat," tegasnya.