Peniagaan Online akan dikenakan cukai


Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) akan mengadakan perbincangan dengan Kementerian Kewangan mengenai pelaksanaan cukai bagi aktiviti peniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata, tugas kementeriannya adalah untuk menjelaskan mekanisme pelaksanaan cukai terbabit, namun perkara itu akan dibincangkan secara terperinci terlebih dahulu.

Beliau berkata perniagan yang dijalankan secara dalam talian sudah menunjukkan prestasi atau peningkatan yang baik dan ramai yang berjaya dalam perniagaan menggunakan kaedah ini.

"Saranan berkenaan cukai kepada peniaga atas talian itu satu perkara yang baik. Sebagai pembayar cukai ini adalah sebahagian daripada tanggungjawab dan sumbangan untuk mempertingkatkan pertumbuhan ekonomi negara," katanya.

Dalam Dewan Negara semalam, Timbalan Menteri Kewangan Datuk Amiruddin Hamzah memberitahu kerajaan sedang meneroka sumber hasil pendapatan baru termasuk mempertimbang mengenakan cukai terhadap aktiviti peniagaan yang dijalankan secara dalam talian.

Ditanya mengenai kadar tertentu pendapatan perniagan atas talian yang dikenakan cukai, Eddin berkata seperti cukai-cukai pendapatan yang dikenakan kepada individu pasti akan ditetapkan berapa jumlah minimum dengan mengikut formula yang bersesuaian. - Bernama