Curi 7 bungkus Nescafe, suri rumah dipenjara 10 bulan


Seorang suri rumah dijatuhkan hukuman penjara 10 bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Terengganu, hari ini, kerana mencuri tujuh bungkus Nescafe di sebuah pasar raya, lapor Harian Metro. 

Majistret Abdul Hayyi Salim menjatuhkan hukuman itu terhadap Nor Azlina Mamat, 41, selepas tertuduh mengaku bersalah di atas kesalahan tersebut. 

Nor Azlina dalam kejadian 26 September lalu didakwa mencuri tujuh bungkus Nescafe Classic 300 gram bernilai RM164.43 dari sebuah pasar raya pada jam 4.30 petang. 

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri dalam bangunan. 

Berdasarkan pertuduhan, pengawal keselamatan yang bertugas pada hari kejadian ternampak tertuduh dalam keadaan yang mencurigakan dan menghubungi rakan setugasnya untuk memerhatikan wanita itu melalui kamera litar tertutup (CCTV), sementara dia mengekorinya. 

Semakan pada CCTV pasar raya itu mendapati, wanita itu mengisi tujuh bungkusan Nescafe ke dalam trolinya. 

Tertuduh kemudian meninggalkan trolinya di situ dan keluar dari pasar raya tersebut tanpa membuat sebarang pembayaran sebelum ditahan oleh pengawal keselamatan dan diserahkan kepada polis. 

Bagaimanapun di media sosial, hukuman yang dijatuhkan terhadap Nor Azlina itu menimbulkan pelbagai reaksi netizen yang menganggap tempoh hukuman penjara itu terlalu lama. 

Ramai yang mendakwa hukuman yang dijatuhkan tidak adil dan turut membangkitkan semula hukuman denda RM1,500 terhadap seorang lelaki yang terlibat dalam kes buli jalan raya minggu lalu, serta kes pengasuh menyumbat cili dalam mulu kanak-kanak sehingga mati hanya dipenjara selama 18 bulan.