9 ditahan, 2 lagi suspek samun pemandu Grab diburu


Lapan lelaki dan seorang remaja perempuan ditahan menerusia dua serbuan berasingan baru-baru ini kerana disyaki terbabit dalam kes samun seorang pemandu Grab, lapor Harian Metro. 

Dalam kejadian pada jam 3.50 pagi pada 20 September lalu di Taman Bakti, Ampang, mangsa diugut menggunakan pisau oleh penumpang Grab yang juga seorang daripada suspek sebelum barangan peribadi, dokumen dan sejumlah wang tunai disamun. 

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Hamzah Alias berkata, pihaknya telah menangkap enam lelaki dan seorang remaja perempuan berusia antara 15 tahun hingga 43 tahun di kawasan Batu Caves, Gombak, pada jam 2.30 pagi. 

Hasil tangkapan itu, polis juga merampas beberapa barangan berkaitan kes. 

"Berdasarkan maklumat kes sama, polis berjaya menangkap dua lagi suspek yang terbabit dengan kejadian itu dan merampas beberapa barang kes di kawasan ibu negara menerusi serbuan kedua. 

"Kita percaya, sembilan suspek ditahan melakukan kegiatan samun pemandu Grab di sekitar Ampang (empat kes), Selayang (satu kes) dan Chow Kit (satu kes)," katanya. 

Kesemua suspek direman sehingga 7 November ini untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan kerana samun berkumpulan menggunakan senjata. 

Justeru, golongan pemandu Grab dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dan tidak mengambil sebarang tindakan yang boleh mengancam keselamatan diri. 

BERITA BERKAITAN: