'Saya bukan pondan, saya ada suami dan 4 orang anak' - Puteri Duyung nafi dakwaan netizen


Ahad lalu, Harian Metro menyiarkan kisah duyung secekak bersantai di atas tambakan batu di Pantai Remis, Kuala Selangor. wanita yang disebalik kostum itu adalah Beby Maembong, atau nama sebenarnya Nurulaini Ismail, 29.

Beby Maembong yang juga kakak kepada kepada Emma Maembong itu berkata, dia merupakan peminat kisah lagenda The Little Mermaid, watak Ariel. 

Ada segelintir netizen di media sosial mempertikaikan jantinanya sehingga ada yang menuduhnya sebagai pondan. Lebih teruk lagi, ada yang melemparkan dakwaan tidak berasas kononnya pengusaha bengkung Slimdollz itu menyokong Lesbian, Gay, Biseksual dan Transeksual (LGBT). 




Bagaimanapun, Beby Maembong tampil menafikan dakwaan itu dan menegaskan dia adalah wanita, malah ibu kepada empat orang anak. 

"Entahlah, saya pun tak faham apa masalah netizen ini. Dari dulu lagi mereka tidak percayakan yang saya ini seorang wanita. 

"Bukan sekadar wanita tapi isteri dan ibu kepada empat orang cahaya mata. Anak kandung ya, bukan anak angkat! Tak tahulah tang mana yang dikatakan pondan? Nak kata ada halkum, sila periksa. Memang tak ada!



"Adakah kerana sebahagian sahabat saya, golongan lelaki lembut sehinggakan mereka tidak boleh membezakan bahawa saya ini wanita?" soalnya. 

Menjelaskan mengenai gambarnya yang disiarkan oleh Harian Metro minggu lalu, Beby berkata, penampilan dan solekannya itu hanya untuk tujuan fotografi sahaja. 

"Bersolek tebal adalah perkara biasa lebih-lebih lagi untuk tujuan fotografi atau penggambaran. Bagaimanapun penampilan seharian saya rasanya tidaklah menggenakan solekan yang keterlaluan. 


"Kadang bila orang perempuan cuba menjaga penampilan wajah dan tubuh badan mereka, ada pula yang menganggap pondan kononnya terlalu sempurna atau erti kata lain bikin body! 

"Saya maafkan mereka (netizen) semua. Biar sejuta kali pun saya membuat penafian bahawa saya bukan pondan, tapi kalau negativity sudah tertanam di minda mereka, begitulah tanggapan mereka selamanya. Jadi biarkanlah!" katanya. 

Beby yang berkahwin pada usia 19 tahun mendedahkan, dia sebelum ini pernah gemuk dan berat badan mencecah 76 kilogram. 


"Suami mengambil gambar ketika saya berbaring dan tunjukkan kepada saya. Gemuknya saya masa itu. Sangat sedih rasanya. Dek kerana gambar itu juga saya bertekad untuk menguruskan badan dan merampingkan pinggang menggunakan produk saya sendiri kerana saya yakin dengan keberkesanannya. 

"Saya transform badan saya 10% menggunakan produk pelangsingan jenama saya sendiri iaitu Slimdollz Beauty, terutama sekali salah satu produk saya Bengkung Kerengga. Saya tak pernah miss pakai daripada lapan tahun lepas. Malah masa tidur pun saya pakai," katanya.