Budak 2 tahun meninggal dunia akibat difteria, rupanya tak pernah diberi suntikan vaksin


21 Februari lalu seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun di Johor Bahru meninggal dunia disyaki berpunca dari jangkitan difteria. 

Menurut Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kanak-kanak terbabit tidak pernah menerima sebarang suntikan imunisasi sejak lahir. 

Difahamkan, kanak-kanak itu mengalami demam, batuk dan bengkak tongsil pada 16 Februari sebelum dibawa ke unit rawatan rapi pediatrik pada 18 Februari lalu dalam keadaan lemah untuk mendapatkan bantuan pernafasan serta rawatan antitoksin difteria. 

Malangnya, kanak-kanak terbabit tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia disebabkan difteria yang teruk dan kegagalan multiorgan. 

"Ujian pengesanan ke atas sampel calitan tekak kes menunjukkan kehadiran bakteria corynebacterium diphteriae dan pihak kementerian kini menunggu keputusan makmal untuk pengesahan toksin difteria," katanya. 

Pemeriksaan mendapati, lima lagi kanak-kanak di Johor termasuk kakak kepada kanak-kanak dua tahun yang meninggal dunia akibat penyakit itu Khamis lalu, positif difteria. 

Mengikut statistik kes tahun lalu, sebanyak 18 kes dilaporkan dengan lima kematian di mana empat daripada lima kes itu tidak menerima imunisasi dan kesemuanya membabitkan kanak-kanak bawah usia 10 tahun. 

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengambil tindakan bagi membendung penularan jangkitan penyakit ini dan menasihatkan ibu bapa yang masih belum meberi imunisasi kepada anak segera tampil mendapatkan imunisasi mengikut jadual yang ditetapkan oleh KKM. 

Sumber: Harian Metro