'Cari rezeki dengan cara ini bukan hanya untuk diri, tapi 50 ekor kucing'


"Makcik tidak malu memakai maskot walaupun berpeluh terutama hari panas," demikian kata wanita yang gambarnya memakai kostum Doraemon duduk termenung di pantai Teluk Cempedak, Kuantan, viral di media sosial beberapa hari lalu. 

Terdahulu, gambar tersebut menjadi bahan ketawa netizen di media sosial dengan kapsyen, "Nobita, apa kau dah buat pada Doraemon?!". 

Bagi sesetengah netizen, ianya melucukan. Tetapi setelah mengetahui hal sebenar, ramai yang berasa kasihan dengannya. 

Memetik kenyataan wanita itu dari Harian Metro, Siti Endon Ismail, 56, berkata, itulah cara dia mencari rezeki untuk diri dan juga 50 ekor kucing yang dibelanya. 

"Cari rezeki dengan cara ini bukan hanya untuk diri tetapi juga untuk 50 ekor kucing yang makcik bela di rumah," katanya yang memiliki empat maskot iaitu Hello Kitty, Doraemon, Snow White dan beruang. 

"Makcik tidak malu memakai maskot dan tetap berjalan di sekitar kawasan ini untuk mencari pengunjung yang mahu bergambar. 

"Makcik tidak menetapkan sebarang bayaran tertentu jika orang mahu bergambar. Sebaliknya terpulang kepada mereka menyumbang seikhlas hati," katanya. 

Siti berkata, dia telah melakukan pekerjaan itu sejak tiga tahun lalu dan hasil dari usahanya itu digunakan untuk menyara kehidupannya dan membeli makanan kucing. 

"Jika makcik tidak bekerja, bagaimana mahu membeli makanan mereka? Makcik sendirian di sini, anak-anak semua tinggal dengan bekas suami. Hanya kucing inilah yang menjadi peneman makcik. Sebab itu makcik pastikan kebajikan mereka terjaga," katanya. 

Difahamkan, hasil pendapatan seharinya hanya RM30. Adakala, dia diupah untuk menghiburkan tetamu di restoran makanan segera atau pada masjlis tertentu di sekitar Teluk Cempedak.