Ibu tinggalkan anak mati kelaparan, sementara dia pergi berparti selama seminggu dengan rakannya


Polis menahan seorang wanita berusia 21 selepas menghadiri parti selama seminggu bersama rakannya sehingga menyebabkan anak perempuan berusia tiga tahun mati kelaparan, lapor Daily Mail. 

Maria Plenkina meninggalkan anaknya bersendirian di rumah pada hari ulangtahun kelahiran ketiga anaknya itu. 

Mangsa, Kristina, ditemui oleh neneknya, Irina Plenkina, 47, ketika dia datang ke rumah membawa hadiah harijadi mangsa. 

Irina segera menghubungi ambulans dan polis, malangnya mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. 

Menurut nenek mangsa, Maria selalu berhubung dengannya melalui media sosial yang memaklum bahawa dia dan anaknya dalam keadaan baik. 



Tetapi di sebaliknya, Maria mengurung anaknya dalam rumah dan menutup air agar anaknya tidak dapat minum. 

Maria ditahan selama dua bulan dan masih disiasat atas dakwaan membunuh kanak-kanak dengan cara yang sangat kejam. 

Jurucakap Jawatankuasa Siasatan Rusia berkata, "Ibu mangsa berkata dia mengunci pintu apartment dan terus pergi berparti bersama rakannya." 

Maria didakwa meninggalkan mangsa di rumah sejak 13 hingga 20 Februari. 

Ketika disoal siasat, Maria langsung tidak menangis mahupun menunjukkan wajah kesalnya. Maria hanya sekadar mengakui perbuatannya dan menutup air selain tidak meninggalkan makanan dan minuman untuk mangsa. 


Irina berkata, dia sanggup menjaga cucunya itu jika dipinta oleh Maria sebelum ini. 

"Dia berbohong kepada saya kononnya mereka berdua dalam keadaan baik. Dia berbohong kepada semua orang.

"Saya tak sangka Maria sanggup buat perkara sekejam ini. Kalaulah saya dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena, pastinya saya akan ambil cucu saya itu dan tinggal bersama saya," katanya.