2 remaja buat challenge ceroboh IKEA Batu Kawan semalaman, ditahan dan didakwa


Dua remaja lelaki ini berkunjung ke IKEA Batu Kawan, Pulau Pinang pada 28 Mac kira-kira jam 8:00 malam. Apabila premis itu ditutup pada jam 10:00 malam, mereka bersembunyi di dalam kotak bagi mengelakkan dikesan oleh pihak pengawal keselamatan. 

Selepas memastikan keadaan di sekeliling tiada individu lain, mereka keluar dari persembunyian. 

Menurut pihak IKEA, rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua remaja itu berkeliaran dalam premis mereka sambil merakam gambar dan video. 

Kedua-duanya ditangkap pada jam 6:40 pagi apabila pengawal keselamatan mendapati mereka berdua berkeliaran dalam premis itu, lalu dilaporkan kepada ketua pengawal keselamatan IKEA. 

Suspek mengaku berbuat demikian kerana mahu menyahut cabaran di internet bagi membuktikan mereka berani tinggal di IKEA semalam dan kemampuan mereka mengelak dari ditahan pengawal keselamatan. 

Sementara itu, polis mengesahkan kejadian itu. Dua remaja berusia 17 tahun itu merupakan rakan sekelas, ditahan lokap semalaman sebelum dibawa ke mahkamah untuk didakwa. 

Polis sedang menjalankan siasatan mengikut Seksyen 447 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan jika sabit kesalahan, dua remaja terbabit boleh dikenakan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda RM3,000 setiap seorang atau kedua-duanya sekali. 

Difahamkan, cabaran itu dimulakan pada tahun 2016 selepas seorang selebriti YouTube, Bakuna Fatata merakam video diri mereka tidur semalaman di IKEA, mencetuskan pelbagai reaksi netizen. 

Secara ringkasnya, cabaran itu menggalakkan penonton bersembunyi di dalam premis perniagaan seperti IKEA atau pusat beli-belah semalaman tanpa ditangkap oleh pengawal keselamatan. 

Individu yang mengambil cabaran ini biasanya datang pada waktu premis hendak ditutup dan bersembunyi di mana-mana dan keluar berlegar-legar dalam premis sehingga keesokan hari.