Peminjam enggan bayar hutang PTPTN kerana menganggap ia adalah tanggungjawab kerajaan


Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mengesan terdapat segelintir peminjamnya enggan melunaskan hutang kerana menganggap ia di bawah tanggungjawab kerajaan, lapor Harian Metro

Pengerusi PTPTN, Wan Saiful Wan Jan berkata, trend itu dikesan pihaknya sejak kebelakangan ini dah ia perlu 'dipadamkan' walaupun hanya membabitkan segelintir peminjam sahaja. 

Pihaknya akan menggunakan langkah terbaik untuk memberi kesedaran kepada peminjam.

"Amalan dan budaya membayar hutang adalah nilai murni yang wajib diterapkan dari awal bagi melahirkan rakyat Malaysia bertanggungjawab," katanya. 

PTPTN adalah agensi pembiaya utama negara yang ditubuhkan untuk memberi peluang kepada rakyat Malaysia mendapat akses pengajian tinggi. 

Sebagai bukti, saban tahun 200,000 pelajar berpeluang menjejakkan kaki ke institusi pengajian tinggi melalui pinjaman PTPTN.

Berdasarkan rekod, seramai 3.02 juta pelajar mendapat manfaat dari PTPTN.