(Video) 'Takkan tak nampak abang polis berdiri kat situ?'


Seorang anggota polis trafik yang sedang menjalankan tugas mengawal lalu lintas di persimpangan Jalan Sultan Hishamuddin dilanggar sebuah kereta, lapor Astro Awani. 

Dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 8:11 pagi tadi, anggota terbabit sedang memberi laluan kepada kenderaan menuju ke Jalan Raja atau belok kanan ke Leboh Pasar. 

Namun, secara tiba-tiba sebuah kereta yang menghala ke Jalan Raja melanggar anggota terbabit. 

Berdasarkan video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan itu, mangsa yang dipercayai menyedari kehadiran kereta itu tidak sempat mengelak lalu dilanggar sehingga terpelanting beberapa meter ke depan sebelum bangun semula berlari ke kawasan yang selamat. 

Pemandu kereta terbabit terus keluar untuk memeriksa keadaan mangsa. Beberapa penunggang motosikal yang menyaksikan kejadian itu turut berhenti menuju ke arah mangsa. 



Sementara itu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, ACP Zulkefly Yahya mengesahkan kejadian itu dan mangsa hanya mengalami kecederaan ringan dan sedang dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL). 

Pemandu terbabit telah dibawa ke balai untuk siasatan dan tindakan lanjut di bawah Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya dan jika sabit kesalahan boleh dipenjara maksimum lima tahun dan denda serta hilang kelayakan menunggang atau mendapatkan lesen memandu selama dua tahun.