(Video) 2 suspek cuba larikan motosikal Ysuku tetapi gagal setelah diterajang pemiliknya


Seorang penunggang Grab Food nyaris mengalami kerugian apabila dua lelaki cuba melarikan motosikal miliknya jenama Yamaha Y15zr (Ysuku). 

Dalam kejadian yang berlaku pada jam 2.53 petang di Phileo Damansara, Kuala Lumpur hari ini, mangsa dalam perjalanan menghantar makanan kepada pelanggannya di kawasan tersebut. 

Tiba-tiba dia didatangi dua individu yang menaiki motosikal Yamaha 125zr meminta mangsa turun dari motosikalnya. 

Suspek mendakwa motosikal yang dinaikinya itu adalah motosikal miliknya yang dicuri dan mahu mengambilnya dari mangsa. 

Seorang lagi suspek pergi ke belakang mangsa lalu memukul kepalanya menggunakan besi pengunci motosikal sebelum kedua-duanya bergelut.

Sementara itu, rakan suspek cuba melarikan motosikal mangsa tetapi sempat ditendang sehingga terjatuh. 

Gagal menumbangkan mangsa, kedua-dua suspek kemudian mengambil keputusan untuk melarikan diri meninggalkan mangsa yang cedera di telinga, kepala, badan belakang dan mulut. 


Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohd Zani Che Din berkata, mangsa tidak mengalami kerugian dan motosikalnya berjaya diselamatkan. 

"Berdasarkan maklumat saksi yang berada di tempat kejadian ada melihat suspek membawa parang di belakangnya. 

"Usaha mengesan suspek sedang dijalankan, kes disiasat mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan," katanya. 

Sumber: Harian Metro