'Tetamu majlis kahwin paling bodo dalam Malaysia' - Tetamu tinggalkan pampers berisi najis atas pinggan


"Tetamu majlis kahwin paling bodoh dalam Malaysia," demikian tweet Faqihuddin mengenai kebiadaban tetamu majlis yang meninggalkan lampin pakai buang berisi najis di atas pinggan. 

Menurut Faqihuddin, majlis perkahwinan itu diadakan di dalam dewan tertutup di Nilai, Negeri Sembilan dan dia langsung tidak menyangka akan ada tetamu yang berkelakuan teruk seperti itu. 

Difahamkan, Faqihuddin yang bekerja sebagai  pembantu katering pada hari kejadian menemui lampin pakai buang itu ketika dia sedang mengemas meja tetamu. Sebaik saja nampak lampin itu, dia terus membuangnya kerana tidak mahu tetamu yang lain berasa kurang senang.

"Terkejut juga kerana tidak sangka ada tetamu yang sanggup membuangnya di pinggan, sedangkan banyak tong sampah disediakan di dewan. 

"Malah kedudukan meja itu juga tidak jauh daripada tandas tetapi tetamu itu tanpa rasa malu membuangnya di situ. Nampak sangat tetamu itu pengotor dan pemalas," katanya. 

Sementara itu, netizen juga berkongsi pengalaman yang sama, pernah terjumpa lampin pakai buang di tempat-tempat yang tidak sepatutnya walaupun di dalam restoran.