Pasangan suami isteri merayu orang ramai tampil membantu menyumbangkan dana sebanyak RM25,000 bagi menampung kos pembedahan bayi perempuan mereka yang mengalami komplikasi jantung.
Rozita Radzi, 33, berkata, anak keenamnya, Maya Alisha Mohd Hasrol, 18 bulan, menderita saluran jantung berlubang dan tersumbat sejak dilahirkan dan perlu menjalani pembedahan secepat mungkin atas nasihat doktor.
Saluran pernafasan Maya semakin sempit dan perlu menjalani pembedahan segera bagi mengelakkan kandungan oksigen semakin menurun.
"Maya kena dibedah. Kalau ikut temujanji dengan Institut Jantung Negara (IJN) pembedahan itu perlu dijalani 21 Oktober ini.
"Tetapi saya tiada wang sebanyak itu dan hanya ada RM1,000 itu pun hasil sumbangan orang ramai. Jadi kalau boleh, bantulah anak saya," katanya memetik laporan dari Sinar Harian.
Pembedahan itu perlu dilakukan bagi membuka saluran pernafasan Maya yang sempit. Tetapi Rozita telah menangguh rawatan itu beberapa kali kerana beban kewangan yang dihadapi dan mereka pula hnaya berniaga untuk menampung kehidupan.
"Nak kumpul wang sebanyak itu tidak mampu kerana perlu menyara enam lagi anak yang masih kecil dan bersekolah," kata Rozita.
Sekiranya pembedahan pertama berjaya dilakukan, kemungkinan pembedahan kedua dilakukan bagi menampal jantung Maya yang berlubang itu.
Bagaimanapun, kos bagi rawatan pembedahan itu dianggarkan bernilai hampir RM60,000.
Bagi mereka yang mahu menyalurkan sumbangan boleh salurkan ke akaun bank Rozita melalui Maybank 156094414390 atau hubungi talian 01111033943 untuk maklumat lanjut dan pengesahan.
Sumber: Sinar Harian Online