Tidak berpuas hati anak perempuannya yang berusia 30 tahun masih bujang, si ibu tergamak memukul mangsa menggunakan batang besi.
Mangsa, Lin, 30, mengalami pendarahan dan lebam di beberapa bahagian badannya dan terpaksa memanggil polis datang ke restoran yang diusahakan dua beranak itu di Changzhou, China.
Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati mangsa mengalami lebam teruk dan luka di badan akibat dipukul oleh suspek yang dikenali sebagai Wang.
Namun, Wang enggan memberikan kerjasama untuk dibawa ke balai dan menegaskan dia hanya memukul anaknya sendiri.
"Saya pukul anak saya, bukan orang lain," katanya.
Sementara itu, Lin mendakwa dia selalu dipukul ibunya yang tidak berpuas hati kerana dia masih bujang. Malah, dia sering dimarahi kerana tiada wang, sedangkan dia mengambil keputusan untuk berhenti kerja di bandar semata-mata mahu membantu ibunya menguruskan restoran berkenaan.
Difahamkan, Lin juga pernah membuat laporan mengenai tindakan suspek sebanyak dua kali pada Ogos lalu walaupun kecederaan yang dialaminya ketika itu tidak serius dan tiada tindakan diambil terhadap Wang.
Seorang anggota polis yang mengenali dua beranak itu berkata, suspek pernah memukul mangsa dan menganggap perbuatannya itu bukanlah satu kesalahan.
Dalam kejadian terbaru, suspek bertindak menyerang mangsa selepas Lin melawan cakap ibunya ketika dimarahi kerana tidak mengemas rumah.
Sumber: South China Morning Post, Harian Metro