Saham Media Prima Bhd terus merosot dalam sesi dagangan pagi berikutan konglomerat media itu merancang untuk pusingan kedua pengurangan pekerja.
Pada Jumaat, Media Prima Bhd memberi jaminan kepada semua pekerja yang terlibat dengan proses penyusunan semula bahawa mereka akan menerima pakej pampasan yang adil dan saksama.
Dalam kenyataan, kumpulan itu berkata pakej pampasan itu akan mengikut keperluan undang-undang dan kesatuan, dengan semuanya akan dibayar sepenuhnya apabila memenuhi semua keperluan undang-undang.
Pusingan pertama rasionalisasi kakitangan pada November tahun lepas apabila kumpulan itu memberikan 190 pekerja notis tiga bulan mengenai hasratnya untuk memberhentikan mereka, selain menawarkan Skim Pemisahan Bersama (MSS) kepada 43 yang lain.
Sehingga 10.30 pagi, saham merosot satu sen kepada 34.5 sen dengan 361,100 saham diniagakan.
Sumber: Bernama