'Seorang merengek nak dukung, 2 lagi berebut nak masuk troli, STRESS!' - Ibu-ibu perlukan 'me time' sebelum bertukar jadi hulk


Saat bergelar  sebagai seorang isteri dan juga ibu, segala aktiviti lain ditinggalkan dan tanggungjawab hanya buat suami dan anak-anak. Wanita yang memegang status itu, di luaran tampak tenang dan hebat, tetapi yang memikul amanah dan tanggungjawab itu saja yang tahu bebanan yang dipikul. Oleh kerana itu, suami yang baik, kebiasaannya akan memberikan kepada isterinya laluan ‘me time’ untuk seketika.

Seperti perkongsian wanita ini juga, walaupun hanya seketika, para isteri atau ibu memerlukan masa untuk bersendiri bagi memastikan tiada tekanan di kemudian hari. Lakukan apa sahaja aktiviti yang disukai untuk kembalikan kewarasan.


30 MINIT UNTUK KEKAL WARAS

Ramai mak ayah yang hadapi situasi macam kat bawah ni:

Nak keluar berjalan, seorang tak nak mandi, seorang nak tengok tv dan seorang lagi menangis tak tahu nak apa. Dah nak keluar rumah, seorang tanya nak pakai kasut ke selipar. Seorang lagi nak pakai stokin sebelah lain. Seorang lagi tiba-tiba nak makan (tadi orang ajak sibuk tengok tv). 

Nak masuk kereta, seorang nak masuk ikut pintu depan. Dua orang lagi berebut siapa nak masuk dulu. Dah masuk, susah pula nak bagi pasang tali dan buckle car seat.

Baru je masuk kedai, dua orang dah merengek nak masuk troli. Seorang lagi menangis minta dukung. Tengah berjalan, seorang merengek nak beli Playdoh, seorang merengek nak ubat gigi pink dan seorang lagi gembira berlari-lari sambil meluncur atas lantai. Tengah makan, memanjat kerusi. Menjerit nak air. Bergaduh berebut makanan. Air tumpah. Baju kotor.

Bayangkan anda berjalan selama tiga jam dalam keadaan terus-menerus begini. Baru tiga orang. Penatnya Allah je yang tahu. Saya dah bad mood, saya masuk kereta dan cakap,

“Mama tak nak cakap dengan sesiapa dalam masa 10 minit. Mama nak bertenang.”

Asalnya saya mahu ke kedai buku. Tapi saya padamkan saja hasrat tu sebab saya nak pergi belek buku dengan tenang. Tak nak ada rengekan, tak nak ada drama. Saya betul-betul serabut dan penat dengan karenah anak-anak. Exhausted, letih dan fed up. Jadi saya nak balik terus ke rumah. Saya dah malas nak pergi ke tempat lain.

Saya surirumah. Maka di rumah pun sebenarnya sama juga, saya perlu hadapi karenah mereka selama 24 jam seminggu (bayangkan). Selalunya saya keluar seorang sebab suami bekerja. Tapi cuti hujung minggu saya takkan duduk kat rumah. Saya nak keluar balas dendam sebab dah 120 jam saya di rumah.

Kali ini saya keluar dengan suami. Suami pujuk supaya saya pergi juga ke kedai buku. Dia sukarela untuk jaga anak sekejap supaya saya boleh ke sana.

Sebenarnya dia faham isyarat saya. Saya mahu masa sendiri. Sebentar saja. Jadi saya dipaksa pergi ke kedai buku. Saya dah suarakan keinginan ni sejak dua bulan sebelum.

Saya tengok jam, pukul 6.25 petang. Saya keluar kereta dan berjalan seorang diri. Saya mundar-mandir dengan tenang. Belek buku itu dan ini. Dan berkali-kali pusing tempat yang sama. Pukul 7.05 petang saya keluar tanpa beli apa-apa.

Saya puas. Walaupun tak berjaya beli buku, saya keluar dari kedai dengan emosi yang lebih tenang dan stabil. Walaupun masih terkesan penatnya tadi, tapi saya sudah boleh kawal. Begitulah. Mak-mak hanya perlukan masa sekejap sahaja. Keluar dari dunia biasa yang dilalui untuk tenangkan diri. Rehatkan mental, supaya boleh jadi ‘manusia’ semula. Supaya boleh berfikir secara waras.

Ya. Bukan badan yang penat sebenarnya. Kalau badan penat, bila rehat hilanglah dia. Tapi bila mental penat, emosi mudah tercalar. Sabar dah tak mampu. Akal jadi tak waras. Jadi kita kena keluar sekejap dari dunia biasa. Mungkin ada orang kata, “Ala baru tiga orang”.

Jangan samakan situasi kita dengan orang lain. Jangan pukul rata. Kita tak tahu apa yang orang lain hadapi. Diam sahaja kalau tak tahu (ko diam).

Mak-mak sekalian, ambillah masa 30 minit (atau lebih?) sehari. Keluar sekejap dari dunia mak-mak anda. Buatlah apa pun, asalkan anda boleh ambil kembali titik waras dan letakkannya di tempat sepatutnya.

Saya pernah singgah drive thru beli aiskrim sementara anak tidur dalam kereta. Saya suka layan cerita Korea di Viu untuk distract emosi tak stabil dan overthinking atau tengok HGTV sambil makan cikedis selepas tidurkan anak-anak.

Saya suka tidur kalau saya dah exhausted to the max. Buatlah apa pun untuk kembalikan kewarasan. Sebab kita tak tahu apa yang akan jadi bila kita dah terlebih batas kewarasan. Mungkin depresi dan kesannya jauh lebih buruk.

Sayangi diri anda sendiri sebelum anda sayang orang lain. Love yourself first in order to love others.