Myvi terjunam dalam parit sawah, budak 2 tahun meninggal dunia


Sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu seorang lelaki bersama penumpang wanita dan anak perempuannya terjunam ke dalam parit sawah di Jalan Titi Haji Idris, Alor Setar, hari ini dalam jam 7.40 pagi. 

Difahamkan, Myvi terbabit berlanggar dengan sebuah kereta Perodua Alza yang dipandu wanita berusia 30-an. 

Bomba dan Penyelamat Alor Setar yang tiba di lokasi kejadian mendapati Myvi tersebut masih berada dalam parit dan pemandunya berusia 20-an patah paha kanan dan kaki kiri, manakala penumpangnya wanita berusia 20-an cedera. 

Ketiga-tiga mangsa yang cedera dibawa ke hospital untuk mendapatkan rawatan lanjut. 

Terdahulu, anak pasangan berkenaan, Nur Adreena Mohd Khairil Faizi, 2, mengalami cedera parah dihantar oleh orang awam ke hospital. Namun meninggal dunia ketika menerima rawatan. 

Pemergian Nur Adreena menyebabkan pasangan itu kehilangan satu-satunya anak mereka. 

Datuk mangsa, Abdul Kadir Saad, 70 berkata, dia tidak sempat bermain dengan cucunya sebelum tiga beranak itu keluar menuju ke rumah besannya. 

"Selalunya kalau mereka nak keluar rumah, saya sempat lagi bermain dengan cucu tapi hari ini lepas Subuh, saya terlelap sampailah orang kampung datang rumah beritahu anak menantu dan cucu kemalangan," katanya. 

Jenazah Nur Adreena telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Masjid Jamek Kampung Tengah, Tualang pada jam 4 petang hari ini. 

Sumber: Harian Metro