UiTM nafi halau pelajar

Universiti Teknologi MARA (UiTM) menafikan kenyataan yang mendakwa institusi pengajian tinggi awam itu telah menghalau pelajar susulan penangguhan pendaftaran secara fizikal yang berkuat kuasa hari ini.


Naib Canselor UiTM Prof Emeritus Dr Mohd Azraai Kassim dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan kekeliruan yang berlaku adalah disebabkan salah faham berikutan sumber yang tidak tepat diperoleh para pelajar.


Menurutnya, UiTM telah mengeluarkan surat pekeliling berhubung arahan penangguhan pendaftaran para pelajar yang jelas menyatakan bahawa penangguhan itu dibuat semata-mata untuk memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan para pelajar terpelihara.


“Meskipun penangguhan pendaftaran secara fizikal dikuatkuasakan, ini tidak bermakna para pelajar yang mendaftar akan dihalau malah para pelajar diberi pilihan sama ada untuk pulang atau tinggal di kolej.


“Jadi, saya tegas menafikan kenyataan yang mengatakan bahawa kita menghalau para pelajar seperti yang didakwa. Malahan kita mendekati para pelajar yang telah mendaftar lebih awal untuk membantu mereka susulan arahan penangguhan ini,” katanya.


Bagaimanapun, Mohd Azraai berkata pihak universiti akan menjalankan siasatan terperinci berhubung aduan dan rungutan pelajar yang tular di media sosial bagi memastikan perkara itu tidak berlaku.


“UiTM tidak akan mengambil mudah dengan sebarang isu yang dibangkitkan kerana dalam suasana semasa, kita amat memahami sebarang kemungkinan, kesulitan dan kekeliruan yang timbul,” katanya.


Sehubungan itu, dia menyeru pelajar yang berhadapan dengan masalah seperti yang telah berada di kampus yang ingin pulang dan tidak pasti apa yang hendak dibuat supaya berhubung dengan bilik gerakan di kampus masing-masing bagi mendapat bantuan sewajarnya.


Menyentuh isu yang mendakwa UiTM tidak menanggung segala kos penginapan para pelajar sekiranya Perintah Kawalan Pergerakan dilaksanakan, dia berkata kenyataan tersebut bukan kenyataan rasmi UiTM.


Sumber: Bernama