'Kami sentiasa tunggu mereka datang minta maaf' - Bapa arwah Siti Nur Surya tunggu ibu suspek datang mohon maaf bagi pihak anaknya


"Kalau dia (keluarga suspek) datang, kita terima. Kita tak halau orang datang minta maaf," demikian kata Ismail Muda, 58, bapa kepada mangsa, Siti Nur Surya, 19, yang dibunuh rakan sekolahnya. 


Ismail berkata, dia terbuka untuk memaafkan keluarga suspek kerana tiada sesiapa yang mahukan kejadian seperti itu berlaku, selain menyifatkan kejadian itu adalah ketentuan Allah meskipun hati perit untuk menerimanya. 


"Walau marah dan kecewa sekali pun dengan perbuatan anaknya, saya tak mampu untuk berbuat apa-apa kerana kejadian sudah berlaku," katanya. 


Menurut Ismail, sehingga ke hari ini, belum ada sesiapa dari keluarga pihak suspek yang datang untuk berbuat demikian dan mereka sentiasa menunggu mereka untuk datang memohon maaf bagi pihak suspek. 


Terdahulu, keluarga Ismail dikunjungi oleh Persatuan Penggerak Amal Terengganu (PATA). Timbalan Pengerusinya, Abdul Hamid Mohd Salleh berkata, kunjungan mereka adalah sebagai tanda simpati dengan kejadian yang berlaku. 


Selain memberi sokongan moral, PATA juga memberi sumbangan wang tunai yang dikumpul dari kalangan ahlinya dan berharap sumbangan itu dapat meringankan bebanan emosi yang ditanggung Ismail sekeluarga. 


Sumber: Harian Metro