Kerajaan takkan rugi kalau benarkan rakyat keluarkan Akaun 1 KWSP


Cadangan membenarkan pengeluaran wang simpanan dari Akaun 1, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi meringankan beban golongan yang terjejas akibat pandemik Covid-19 tidak akan merugikan kerajaan. 


Pensyarah Kanan Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi UiTM, Dr Nor Azira Ayob berkata, terdapat kaedah dan juga peluang yang boleh dikenal pasti kerajaan untuk memastikan kelangsungan ekonomi negara. 


"Kerajaan tidak akan rugi dan sekiranya benarkan pengeluaran KWSP, tidak bermakna kita tiada peluang untuk pulihkan ekonomi kita. 


"Contohnya, kerajaan boleh menyarankan caruman bulanan pihak majikan dan pencarum untuk dinaikkan sekiranya kita tidak lagi mengalami krisis penularan wabak Covid-19. 


"Dengan mengambil langkah tersebut, ia dapat memulihkan dan meningkatkan kembali simpanan pada usia tua mereka nanti," katanya.


Bagaimanapun, pihak KWSP perlu membuat saringan kepada pencarum untuk memastikan hanya mereka yang benar-benar memerlukan sahaja dibolehkan membuat pengeluaran itu. Ini bagi mengelakkan ada yang menyalahgunaan wang caruman untuk tujuan yang tidak penting.


Untuk itu, pemohon perlu memberikan bukti yang menunjukkan mereka terjejas teruk akibat pandemik Covid-19. 


Penganalisis Ekonomi Bebas, Dr Baayah Baba juga bersetuju dengan pandangan itu. 


"Ia tidak perlu spesifik kepada kumpulan B40 mahupun M40 kerana ada antara mereka yang masih bekerja. Untuk yang itu, mereka tidak seharusnya dibenarkan. 


"Apa yang saya maksudkan sebagai golongan yang terjejas ialah mereka yang dibuang kerja ataupun bagi peniaga terjejas," katanya.


Selain itu, kaedah pengeluaran juga perlu diberi secara berperingkat, bukannya terus membenarkan pencarum mengeluarkan RM10,000 sekali gus. Sebagai contoh, pencarum hanya dibenarkan membuat pengeluaran RM400 ke RM500 setiap bulan sehingga situasi kewangan mereka kembali stabil. 


Sumber: Sinar Harian